Surah 7: Al-A’raf (1 – 3)

Al-Quran adalah Peringatan bagi Manusia

Surah 7: Al-A’raf (1 – 3)


Ayat 1

الٓمٓصٓ

Alif, Laam, Miim, Saad.

Allah Ta’ala memulai surah ini dengan huruf Hijaiyyah yang muqatta’aah, sebagaimana surah-surah lain yang diturunkan di Mekah untuk membuktikan kenabian dan wahyu daripadaNya. 

Pengertian tentang huruf-huruf muqatta’ah ini telahpun dihuraikan dalam surah Al-Baqarah. 

Ayat 2

كِتَـٰبٌ أُنزِلَ إِلَيْكَ فَلَا يَكُن فِى صَدْرِكَ حَرَجٌ مِّنْهُ لِتُنذِرَ بِهِۦ وَذِكْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa kitab Al-Quran ini adalah kitab yang agung yang diturunkan kepada Rasulullah saw dari sisiNya untuk tujuan hidayah dan kebaikan. Oleh itu, janganlah ada perasaan berat pada diri Rasulullah saw untuk memberi peringatan dan menyampaikannya kepada manusia dan mengingatkan orang-orang yang mengimaninya agar menjadi peringatan yang bermanfaat bagi mereka. 

Menurut Mujahid dan Qatadah “perasaan bimbang dalam dada” bermaksud ragu terhadapnya. Manakala pendapat lain bermaksud jangan berasa sukar untuk menyampaikan dan memberi peringatan. 

Ayat 3

ٱتَّبِعُوا۟ مَآ أُنزِلَ إِلَيْكُم مِّن رَّبِّكُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ ۗ قَلِيلًا مَّا تَذَكَّرُونَ

(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan”.

Ayat ini merupakan suruhan Allah Ta’ala agar mengikuti risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw dan jangan mengikuti ajaran selain daripadanya. 

Ini kerana jalan selain yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah bahaya kerana ia boleh membawa kepada kerosakan, keburukan dan kerugian yang amat besar pada diri sendiri. Namun, Allah Ta’ala menyatakan bahawa sedikit sekali hamba-hambaNya yang mengambil pelajaran sehingga mereka tidak kembali ke jalan yang benar.