Peringatan Melalui Kisah Umat Terdahulu yang Mendustakan Hari Kiamat
Surah 69: Al-Haqqah (4 – 12)
Ayat 4
كَذَّبَتْ ثَمُودُ وَعَادٌۢ بِٱلْقَارِعَةِ
Kaum Thamud dan ‘Aad telah mendustakan Hari Kiamat.
Allah Swt menyebutkan beberapa bentuk seksaan yang telah menimpa kaum terdahulu dan membinasakan mereka kerana mendustakan Hari Kiamat. Ini adalah untuk menakut-nakutkan dan juga sebagai peringatan kepada orang-orang kafir Mekah dan yang lainnya.
Perkataan Al-Qari’ah (ٱلْقَارِعَةِ) dalam ayat ini menurut bahasa bererti yang menggetarkan hati. Oleh itu, Hari Kiamat juga dinamakan sebagai Al-Qari’ah kerana hal itu sangat menggetarkan hati, mengerikan dan keadaan pada hari itu tersangat huru-hara.
Ayat 5
فَأَمَّا ثَمُودُ فَأُهْلِكُوا۟ بِٱلطَّاغِيَةِ
Maka adapun kaum Thamud, maka mereka telah dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa.
Kaum Thamud adalah kaum Nabi Saleh as yang mendustakan Hari Kebangkitan dan Hari Pembalasan.
Mereka dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa iaitu petir yang amat kuat dan sangat menggerunkan.
Ayat 6
وَأَمَّا عَادٌ فَأُهْلِكُوا۟ بِرِيحٍ صَرْصَرٍ عَاتِيَةٍ
Adapun kaum ‘Aad, maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang.
Ayat 7
سَخَّرَهَا عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَـٰنِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى ٱلْقَوْمَ فِيهَا صَرْعَىٰ كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ
Yang Allah timpakan kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus. Maka kamu lihat kaum ‘Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk).
Kaum ‘Aad pula adalah kaum Nabi Hud as. Mereka juga mendustakan Hari Kebangkitan dan Hari Pembalasan lalu dibinasakan dengan angin yang sangat dingin, kuat bunyinya dan sangat kencang.
Angin yang membinasakan mereka itu berterusan selama lapan hari tujuh malam tidak berhenti-henti. Oleh itu mereka tidak dapat berlepas diri untuk berlindung. Lalu mereka mati bergelimpangan seperti pohon-pohon kurma yang reput.
Rasulullah saw bersabda:
“Saya telah ditolong (ketika Perang Ahzab) dengan angin timur dan kaum ‘Aad telah dihancurkan dengan angin barat.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 8
فَهَلْ تَرَىٰ لَهُم مِّنۢ بَاقِيَةٍ
Maka adakah engkau dapat melihat walaupun seorang yang masih tersisa di antara mereka?
Allah Swt menyatakan sekiranya mereka ada ketika itu, mereka akan melihat keadaan kaum itu terkapar mati di tanah seakan-akan mereka adalah tunggul-tunggul pohon kurma yang tumbang dan rosak. Semuanya mati dan tidak ada yang tersisa sedikit pun.
Ayat 9
وَجَآءَ فِرْعَوْنُ وَمَن قَبْلَهُۥ وَٱلْمُؤْتَفِكَـٰتُ بِٱلْخَاطِئَةِ
Dan telah datang Firaun dan orang-orang yang sebelumnya dan (penduduk) negeri-negeri yang ditunggang terbalikkan kerana kesalahan yang besar.
Allah Swt menyatakan bahawa bukan sahaja kaum ‘Aad dan Thamud yang dibinasakan, tetapi Firaun dan kaumnya yang ingkar serta kaum Nabi Lut as juga dibinasakan kerana mengingkari para rasul yang diutuskan kepada mereka dan mendustakan Hari Kiamat.
Ayat 10
فَعَصَوْا۟ رَسُولَ رَبِّهِمْ فَأَخَذَهُمْ أَخْذَةً رَّابِيَةً
Maka mereka menderhakai utusan Rabb mereka, lalu Allah menyeksa mereka dengan seksaan yang sangat keras.
Kaum tersebut telah menyekutukan Allah Swt dan bermaksiat kepada-Nya. Oleh itu, Dia telah menimpakan seksaan yang sangat keras, tiada bandingnya.
Kaum-kaum dahulu yang telah mendustakan para rasul disebutkan dalam firman Allah Swt:
“Juga penduduk Aikah dan kaum Tubba’. Semuanya telah mendustakan para rasul, maka berlakulah ancaman-Ku ke atas mereka.“
Qaf 50:14
“Kaum Nuh telah mendustakan para rasul.“
Asy-Syu’ara’ 26:105
“Kaum ‘Aad telah mendustakan para rasul.“
Asy-Syu’ara’ 26:123
“Kaum Thamud telah mendustakan para rasul.“
Asy-Syu’ara’ 26:141
Ayat 11
إِنَّا لَمَّا طَغَا ٱلْمَآءُ حَمَلْنَـٰكُمْ فِى ٱلْجَارِيَةِ
Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik (sampai ke gunung) Kami bawa (nenek moyang) kamu, ke dalam kapal.
Allah Swt menyatakan banjir besar telah menghancurkan kaum Nabi Nuh as yang mengingkari ajaran baginda dan mendustakan Hari Kiamat.
Hanya orang-orang yang dibawa dalam kapal baginda sahaja yang terselamat. Mereka adalah orang-orang yang beriman dan keluarga baginda namun tidak termasuk anaknya yang derhaka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan suatu tanda (kebesaran Allah) bagi mereka adalah Kami bawa keturunan mereka dalam kapal yang penuh dengan muatan. Dan Kami ciptakan (juga) untuk mereka (pengangkutan lain) seperti apa yang mereka naiki.”
Yasin 36:41-42
Ayat 12
لِنَجْعَلَهَا لَكُمْ تَذْكِرَةً وَتَعِيَهَآ أُذُنٌ وَٰعِيَةٌ
Agar Kami jadikan peristiwa itu peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.
Allah Swt menceritakan kebinasaan kaum-kaum terdahulu dalam ayat-ayat sebelum ini adalah untuk menjadikannya sebagai peringatan dan pengajaran kepada hamba-hamba-Nya. Kebinasaan mereka adalah benar. Ini kerana mereka telah mengingkari adanya Hari Kiamat.
Peristiwa-peristiwa yang menimpa kaum terdahulu itu dapat memberi manfaat kepada orang-orang yang mahu mengambil peringatan dan mensyukuri nikmat-nikmat-Nya.