Sumpah Allah Swt yang Menegaskan bahawa Al-Quran Adalah Firman dan Wahyu-Nya
Surah 69: Al-Haqqah (38 – 52)
Ayat 38
فَلَآ أُقْسِمُ بِمَا تُبْصِرُونَ
Maka Aku bersumpah dengan apa yang kamu lihat.
Ayat 39
وَمَا لَا تُبْصِرُونَ
Dan dengan apa yang tidak kamu lihat.
Ayat 40
إِنَّهُۥ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ
Sesungguhnya (Al-Quran) itu adalah benar-benar wahyu (yang diturunkan kepada) rasul yang mulia.
Dalam ayat 38-40 ini, Allah Swt bersumpah bahawa Al-Quran itu benar-benar wahyu daripada-Nya dan diturunkan kepada Rasulullah saw yang mulia melalui malaikat Jibril as.
Sumpah ini adalah untuk mengukuhkan lagi kebenaran Al-Quran kerana orang-orang musyrik selalu mengejek-ejek dan menolak apa yang disampaikan oleh baginda.
Oleh itu, Allah Swt bersumpah dengan apa yang mereka dapat saksikan di dunia ini seperti dalil daripada ayat-ayat-Nya yang terdapat pada segala ciptaan-Nya dan begitu juga dengan segala yang ghaib yang mereka tidak dapat saksikan kecuali Dia, Rabb Yang Maha Mengetahui.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya (Al-Quran) itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan-Nya yang mulia (Jibril) yang memiliki kekuatan, memiliki kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang memiliki ‘Arasy yang di sana (alam malaikat) ditaati dan dipercayai. Dan temanmu (Muhammad) itu bukanlah orang gila. Dan sungguh, dia (Muhammad) telah melihatnya (Jibril) di kaki langit yang nyata. Dan dia (Muhammad) bukanlah orang yang boleh disangka buruk dalam menerangkan perkara-perkara yang ghaib. Dan (Al-Quran) itu bukanlah perkataan syaitan yang terkutuk.”
At-Takwir 81:19-25
Ayat 41
وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَاعِرٍ ۚ قَلِيلًا مَّا تُؤْمِنُونَ
Dan (Al-Quran) itu bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya.
Ayat 42
وَلَا بِقَوْلِ كَاهِنٍ ۚ قَلِيلًا مَّا تَذَكَّرُونَ
Dan bukan pula perkataan tukang tilik. Sedikit sekali kamu mengambil pengajaran daripadanya.
Ayat 43
تَنزِيلٌ مِّن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Ia adalah wahyu yang diturunkan daripada Rabb seluruh alam.
Dalam ayat-ayat ini, Allah Swt menegaskan bahawa Al-Quran bukanlah perkataan seorang penyair dan juga bukan perkataan tukang tilik. Ia adalah benar-benar firman-Nya yang diwahyukan kepada rasul-Nya.
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Umar ra berkata, “Suatu hari, sebelum aku masuk Islam, aku pernah pergi ke kota Mekah untuk mengintip Rasulullah saw. Ketika itu aku melihat baginda telah mendahului aku ke Masjidil Haram. Kemudian aku berdiri di belakang baginda. Baginda membacakan surah Al-Haqqah yang membuatku takjub terhadap susunan dan gaya bahasa Al-Quran. Aku pun berkata dalam hati, “Demi Allah, Muhammad adalah seorang penyair!” Ketika itu baginda membaca, “Dan (Al-Quran) bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya,” maka aku pun berkata dalam hatiku, “Muhammad adalah seorang tukang tilik!” Kemudian baginda melanjutkan bacaannya, “Dan bukan pula perkataan tukang tilik. Sedikit sekali yang mahu mengambil pelajaran. Al-Quran diturunkan dari sisi Rabb seluruh alam.” Baginda membacanya sehingga akhir Surah Al-Haqqah. Setelah itu hatiku berkecamuk dengan pelbagai perasaan.”
Ayat 44
وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ ٱلْأَقَاوِيلِ
Sekiranya dia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami.
Ayat 45
لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِٱلْيَمِينِ
Nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya.
Ayat 46
ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ ٱلْوَتِينَ
Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya.
Ayat 47
فَمَا مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَـٰجِزِينَ
Maka sekali-kali tidak ada seorang pun daripada kamu yang dapat menghalang (Kami), daripada pemotongan urat nadi itu.
Ayat 44 hingga 47 mengandungi ancaman yang sangat keras oleh Allah Swt kepada Rasulullah saw sekiranya baginda mereka-reka isi kandungan Al-Quran. Ini adalah untuk meyakinkan orang-orang musyrik bahawa sekiranya baginda mengada-adakan isi Al-Quran maka baginda akan dibinasakan.
Namun telah terbukti bahawa baginda adalah seorang yang amanah, mulia dan jujur dalam menyampaikan risalah-Nya kerana baginda tidak pernah mereka-reka perkataan atas nama-Nya. Ini juga merupakan ancaman kepada sesiapa sahaja yang memandai-mandai menokok tambah dalam syariat agama-Nya.
Ayat 48
وَإِنَّهُۥ لَتَذْكِرَةٌ لِّلْمُتَّقِينَ
Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar suatu pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa.
Allah Swt menyatakan bahawa Al-Quran adalah nasihat, peringatan dan pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa yang takut kepada seksaan-Nya dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Antara kelebihan Al-Quran terhadap orang-orang beriman dan juga kesan terhadap orang-orang kafir adalah seperti firman Allah Swt dalam ayat:
“………… Katakanlah, ‘Al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman. Bagi orang-orang yang tidak beriman, pada telinga mereka ada sumbatan, dan Al-Quran itu merupakan kegelapan buat mereka……..’”
Fussilat 41:44
Ayat 49
وَإِنَّا لَنَعْلَمُ أَنَّ مِنكُم مُّكَذِّبِينَ
Dan sesungguhnya Kami benar-benar mengetahui bahawa di antara kamu ada orang yang mendustakan(nya).
Sesungguhnya Allah Swt Maha Mengetahui bahawa sebahagian daripada hamba-hamba-Nya mendustakan Al-Quran, maka Dia akan menyeksa mereka.
Ayat 50
وَإِنَّهُۥ لَحَسْرَةٌ عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ
Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar menjadi penyesalan bagi orang-orang kafir (di akhirat).
Adalah satu penyesalan yang sangat besar bagi orang-orang kafir pada Hari Kiamat kelak apabila mereka melihat orang-orang beriman masuk ke syurga sedangkan mereka diseret ke neraka kerana mendustakan ayat-ayat Allah.
Ayat 51
وَإِنَّهُۥ لَحَقُّ ٱلْيَقِينِ
Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini.
Al-Quran itu merupakan kebenaran yang meyakinkan. Isi kandungannya adalah berita yang benar, ilmu yang tetap, tiada keraguan dan tiada kebimbangan sama sekali padanya.
Ayat 52
فَسَبِّحْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلْعَظِيمِ
Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang Maha Agung.
Maka pada akhir surah ini, Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya agar bertasbih dengan mensucikan-Nya daripada segala sifat-sifat kekurangan yang tidak layak dengan keagungan-Nya. Ini kerana Dia-lah Rabb Yang Maha Agung dengan segala sifat kesempurnaan-Nya dan Dia-lah yang telah menurunkan Al-Quran yang agung ini.