Buruknya Keadaan Orang yang Diberikan Kitab dari Sebelah Kiri
Surah 69: Al-Haqqah (25 – 37)
Ayat 25
وَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ بِشِمَالِهِۦ فَيَقُولُ يَـٰلَيْتَنِى لَمْ أُوتَ كِتَـٰبِيَهْ
Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata, “Wahai alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini).
Ayat 26
وَلَمْ أَدْرِ مَا حِسَابِيَهْ
Dan aku tidak mengetahui apa hisab terhadap diriku.
Ayat 27
يَـٰلَيْتَهَا كَانَتِ ٱلْقَاضِيَةَ
Wahai kiranya kematian itulah yang menyelesaikan segala sesuatu.
Ayat-ayat di atas menerangkan keadaan orang-orang yang celaka dan sengsara pada Hari Kiamat. Mereka berada dalam kerugian yang sangat besar.
Apabila salah seorang di antara mereka diberikan buku catatan amalnya dari sebelah kirinya, saat itu yang ada hanyalah penyesalan yang tidak terhingga. Pada saat itu juga dia berada dalam keadaan kesedihan dan kekecewaan yang teramat sangat kerana dia tidak mengetahui bagaimana hisab yang akan ditempuhinya.
Oleh itu, dia mengatakan alangkah baiknya jika dia tidak diberikan kitab itu dan dia benar-benar mengharapkan kematian yang tidak ada lagi kehidupan setelahnya.
Ayat 28
مَآ أَغْنَىٰ عَنِّى مَالِيَهْ
Hartaku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku.
Ayat 29
هَلَكَ عَنِّى سُلْطَـٰنِيَهْ
Telah hilang kekuasaanku daripadaku.”
Malah harta dan kekuasaannya tidak dapat menghindarkan dirinya daripada seksaan dan hukuman Allah Swt, bahkan semua urusan diserahkan kepada dirinya sendiri, tidak ada seorang pun penolong dan penyelamat baginya. Demikianlah keluhan penyesalan demi penyesalan daripada mereka.
Ayat 30
خُذُوهُ فَغُلُّوهُ
(Allah berfirman), “Peganglah dia lalu belenggulah tangannya ke lehernya.
Ayat 31
ثُمَّ ٱلْجَحِيمَ صَلُّوهُ
Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
Pada saat itulah Allah Swt memerintahkan malaikat Zabaniyah yang kasar lagi bengis untuk membelenggunya dengan rantai pada lehernya. Kemudian menyeretnya dari Masyar ke Neraka Jahannam dan dipanggang dengan suhu yang paling panas.
Ayat 32
ثُمَّ فِى سِلْسِلَةٍ ذَرْعُهَا سَبْعُونَ ذِرَاعًا فَٱسْلُكُوهُ
Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta.
Ka’ab Al-Ahbar mengatakan, setiap lingkaran rantai tersebut adalah sebanyak besi yang ada di dunia. Al-‘Aufi meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas dan Ibnu Juraij mengatakan rantai itu adalah sepanjang hasta malaikat.
Ibnu Jarij mengatakan Ibnu ‘Abbas ra berkata, maksud ‘Belitlah dia’ ialah dimasukkan rantai daripada duburnya hingga keluar daripada mulutnya, lalu disusun seperti sate belalang ketika dipanggang.
Ayat 33
إِنَّهُۥ كَانَ لَا يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ ٱلْعَظِيمِ
Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar.
Ayat 34
وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ
Dan dia juga tidak mendorong (orang lain) untuk memberi makan kepada orang miskin.
Inilah ancaman daripada Allah Swt yang menyebutkan bentuk-bentuk seksaan yang begitu dahsyat kepada orang-orang yang ketika di dunia dahulu tidak mahu beriman kepada Allah Yang Maha Besar dan juga dia tidak mendorong orang lain supaya memberi makan kepada orang miskin iaitu tidak mengeluarkan hak-hak yang wajib dikeluarkan daripada hartanya.
Ayat 35
فَلَيْسَ لَهُ ٱلْيَوْمَ هَـٰهُنَا حَمِيمٌ
Maka tiada seorang teman pun baginya pada hari ini di sini.
Ayat 36
وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنْ غِسْلِينٍ
Dan tiada (pula) makanan sedikit pun (baginya) kecuali daripada darah dan nanah.
Ayat 37
لَّا يَأْكُلُهُۥٓ إِلَّا ٱلْخَـٰطِـُٔونَ
Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa.
Dalam rangkaian ayat-ayat ini, Allah Swt menyatakan ketika itu tiada teman karib atau kaum kerabat yang dapat menolong meringankan seksaan-Nya kepada orang-orang kafir itu ketika dalam neraka.
Manakala makanan yang ada hanyalah nanah bercampur darah yang dimakan oleh orang-orang yang telah melakukan dosa.
Qatadah mengatakan itu merupakan makanan paling buruk bagi para penghuni neraka.
Manakala ‘Ali bin Abi Talhah mengatakan kalimah ‘ghislin’ (غسلين) itu bermaksud nanah para penghuni neraka. Wal’iyazubillahi min zalik!