Kegembiraan Orang yang Menerima Buku Catatan Amalnya dengan Tangan Kanan
Surah 69: Al-Haqqah (19 – 24)
Ayat 19
فَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَيَقُولُ هَآؤُمُ ٱقْرَءُوا۟ كِتَـٰبِيَهْ
Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata, “Ambillah, bacalah kitabku (ini).”
Allah Swt menceritakan tentang kegembiraan orang-orang yang menerima buku catatan amalan mereka pada Hari Kiamat kelak dengan tangan kanan.
Oleh sebab tersangat gembira, dia berkata kepada setiap orang yang ditemui, “Ambillah, bacalah kitabku ini.” Ini kerana dia mengetahui bahawa semua isinya adalah kebaikan sahaja dan dia termasuk orang yang segala keburukannya telah diganti oleh Allah Swt dengan kebaikan.
Ayat 20
إِنِّى ظَنَنتُ أَنِّى مُلَـٰقٍ حِسَابِيَهْ
“Sesungguhnya aku yakin, bahawasanya aku akan menemui hisab terhadap diriku.”
Ini merupakan ucapan ketika dia selamat daripada kehinaan pada Hari Kiamat. Ketika di dunia dahulu dia benar-benar yakin bahawa hari ini pasti akan terjadi, tidak mungkin tidak. Mereka juga yakin bahawa mereka akan bertemu dengan Rabb mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“(Iaitu) orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Rabb mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.”
Al-Baqarah 2:46
Daripada Ibnu ‘Umar ra, ketika dia ditanya tentang An-Najwa (ٱلنَّجْوَىٰ bisikan rahsia antara Allah Swt dan hamba-Nya yang mukmin dalam Surah Al-Mujadilah iaitu ketika Allah Ta’ala bertanya tentang dosa-dosa yang telah dilakukannya sebagai satu penghormatan baginya lalu Dia mengampuninya), maka dia menjawab, “Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda:
‘Allah mendekati hamba pada Hari Kiamat, lalu Dia menetapkan dosa-dosa hamba-Nya hingga ketika Dia telah melihat bahawa diri hamba-Nya benar-benar telah celaka, maka Allah Swt berfirman, ‘Sesungguhnya Aku telah menutupinya untukmu di dunia dan pada hari ini Aku telah mengampunimu.’ Adapun orang kafir dan munafik, maka para saksi akan mengatakan, ‘Merekalah yang telah mendustakan Rabb mereka.’ Ketahuilah, laknat Allah itu bagi orang-orang yang zalim.’”
(HR. Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Ayat 21
فَهُوَ فِى عِيشَةٍ رَّاضِيَةٍ
Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredhai.
Ayat 22
فِى جَنَّةٍ عَالِيَةٍ
Di dalam syurga yang tinggi (darjatnya).
Selanjutnya, Allah Swt menyatakan balasan kepada orang-orang yang mendapat buku catatan dengan tangan kanan. Mereka mendapat keredhaan Allah Swt. Oleh itu mereka dimasukkan ke dalam syurga yang tinggi, dikurniakan pula bidadari yang sangat cantik dan mereka mendapat kegembiraan yang kekal.
Daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya, di dalam syurga terdapat seratus tingkatan yang disediakan oleh Allah bagi orang-orang yang berjihad fi-sabilillah, jarak antara tingkatan yang satu dengan tingkatan yang lain sama dengan jarak antara langit dan bumi.”
(HR. Al-Bukhari dan Ahmad)
Ayat 23
قُطُوفُهَا دَانِيَةٌ
Buah-buahannya dekat.
Al-Barra’ bin ‘Azib mengatakan, buah-buahan itu begitu dekat sehingga salah seorang daripada mereka dapat memetiknya sambil berbaring di tempat tidurnya.
Ayat 24
كُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ هَنِيٓـًٔۢا بِمَآ أَسْلَفْتُمْ فِى ٱلْأَيَّامِ ٱلْخَالِيَةِ
(Kepada mereka dikatakan), “Makan dan minumlah dengan nikmat disebabkan amal yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah berlalu.”
Hal itu dikatakan kepada mereka sebagai penghormatan, pemberian nikmat, anugerah dan kebaikan disebabkan keimanan dan amalan-amalan soleh mereka ketika di dunia dahulu.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Beramallah dan kerjakanlah dengan penuh (apa yang diperintahkan oleh Allah) atau mendekatinya (jika tidak mencapai yang sebenarnya) dan ketahuilah bahawa tidak seorang pun di antara kalian yang akan masuk ke dalam syurga kerana amalnya.” Mereka berkata, “Begitu juga engkau wahai Rasulullah?” Baginda menjawab:
“Begitu juga aku, hanya sahaja Allah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepadaku.”
(HR. Al-Bukhari)