Peristiwa pada Saat Terjadinya Kiamat
Surah 69: Al-Haqqah (13 – 18)
Ayat 13
فَإِذَا نُفِخَ فِى ٱلصُّورِ نَفْخَةٌ وَٰحِدَةٌ
Maka apabila sangkakala ditiup dengan sekali tiupan (tiupan pertama).
Kegemparan Hari Kiamat bermula apabila sangkakala ditiup pada kali pertama oleh malaikat Israfil. Ketika itu hancurlah alam.
Ayat 14
وَحُمِلَتِ ٱلْأَرْضُ وَٱلْجِبَالُ فَدُكَّتَا دَكَّةً وَٰحِدَةً
Dan diangkatlah bumi dan gunung-gunung, lalu dihancurkan kedua-duanya dengan sekali hentaman.
Bumi dan gunung-gunung terangkat dari tempatnya. Semuanya terpelanting berterbangan dan saling berlanggar antara satu sama lain di angkasa menyebabkan semuanya pecah hancur lalu menjadi debu.
Ayat 15
فَيَوْمَئِذٍ وَقَعَتِ ٱلْوَاقِعَةُ
Maka pada hari itu terjadilah Hari Kiamat.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa itulah permulaan Hari Kiamat.
Ayat 16
وَٱنشَقَّتِ ٱلسَّمَآءُ فَهِىَ يَوْمَئِذٍ وَاهِيَةٌ
Dan terbelahlah langit, kerana pada hari itu langit menjadi lemah.
Allah Swt menyatakan bahawa langit pula terbelah kerana pada hari itu langit menjadi lemah.
Ibnu Juraij mengatakan, ayat 16 ini sama dengan firman-Nya dalam ayat 19 Surah An-Naba’, “Dan dibukalah langit, maka terdapatlah beberapa pintu.”
Ibnu ‘Abbas ra pula mengatakan, langit terpecah-pecah hancur berserakan, sedangkan ‘Arasy Allah tetap berada pada tempatnya.
Ayat 17
وَٱلْمَلَكُ عَلَىٰٓ أَرْجَآئِهَا ۚ وَيَحْمِلُ عَرْشَ رَبِّكَ فَوْقَهُمْ يَوْمَئِذٍ ثَمَـٰنِيَةٌ
Dan para malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu lapan malaikat menjunjung ‘Arasy Rabbmu di atas (kepala) mereka.
Ketika berlakunya Hari Kiamat, malaikat berada di penjuru langit. Mereka tunduk, patuh dan menjunjung perintah Allah Swt. Pada hari itu para malaikat menjunjung ‘Arasy Allah di atas kepala mereka.
Ar-Rabi’ bin Anas mengatakan, para malaikat berada pada bahagian kecil di langit dan mereka memandang penghuni dunia.
Daripada Jabir bin ‘Abdillah bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Telah diizinkan kepadaku untuk membicarakan tentang salah satu malaikat pembawa ‘Arasy. Sesungguhnya jarak antara daun telinga dan bahunya sejauh perjalanan selama 700 tahun.”
(HR. Abu Daud)
Ayat 18
يَوْمَئِذٍ تُعْرَضُونَ لَا تَخْفَىٰ مِنكُمْ خَافِيَةٌ
Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Rabbmu), tiada sesuatu pun daripada kamu yang tersembunyi bagi Allah.
Ketika semua manusia telah dibangkitkan iaitu selepas tiupan kedua, mereka akan dihalau untuk dihadapkan kepada Rabb Yang Maha Mengetahui setiap bisikan dan rahsia yang tersembunyi. Saat ini merupakan saat yang sungguh mengerikan kepada semua manusia.
Daripada Abu Musa ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Pada Hari Kiamat kelak, umat manusia akan dihadapkan tiga kali persidangan. Dua persidangan pertama mencakup perdebatan dan penyampaian alasan. Sedangkan persidangan ketiga, pada saat itu lembaran-lembaran catatan berterbangan ke tangan umat manusia, sehingga ada yang menerimanya dengan tangan kanan dan ada pula yang menerimanya dengan tangan kiri.”
(HR. Ahmad, Ibnu Majah dan At-Tirmizi)