Surah 68: Al-Qalam (8 – 16)

Larangan Memenuhi Permintaan Orang yang Mendustakan Ayat-ayat Allah Swt dan Sifat-sifat Mereka

Surah 68: Al-Qalam (8 – 16)


Ayat 8

فَلَا تُطِعِ ٱلْمُكَذِّبِينَ

Maka janganlah engkau ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).

Allah Swt melarang Rasulullah saw mengikuti kemahuan orang-orang yang mendustakan-Nya dan mendustakan ajaran yang dibawa oleh baginda.

Ini adalah larangan yang jelas daripada Allah Swt agar tidak bersikap lembut kepada orang-orang musyrik dan para pemimpin Mekah yang mengajak baginda mengikuti agama nenek moyang mereka yang sesat.

Ayat 9

وَدُّوا۟ لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ

Maka mereka menginginkan supaya engkau bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).

Sesungguhnya orang-orang musyrik mengharapkan Rasulullah saw bersikap lembut kepada mereka dan tidak mencela sembahan-sembahan mereka sama ada dengan ucapan atau perbuatan. Sekiranya ini berlaku, mereka akan berlembut pula dengan baginda. Namun baginda diperintahkan oleh Allah Swt agar terus menyampaikan kebenaran agama-Nya serta menerangkan perintah-perintah dan larangan-larangan-Nya.

Para mufassir mengatakan bahawa orang-orang musyrik menginginkan agar Rasulullah saw menyembah Allah Swt dalam satu masa dan tuhan-tuhan mereka dalam satu masa yang lain. Lalu Allah Swt menurunkan ayat ini.

Ayat 10

وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَّهِينٍ

Dan janganlah engkau ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina.

Kemudian Allah Swt menyebutkan secara khusus beberapa sifat yang hina yang ada pada orang-orang yang mendustakan-Nya dan kafir kepada-Nya iaitu:

▪️  Banyak bersumpah dalam kebatilan.

Allah Swt melarang Rasulullah saw mengikuti setiap orang yang banyak bersumpah dengan cara yang batil dan suka menghina orang lain kerana tiada kebaikan sama sekali yang boleh diharapkan daripada mereka.

Ini kerana orang-orang seperti mereka adalah lemah dan hanya berlindung dengan sumpah palsu. Mereka berani menggunakan nama Allah Swt bukan pada tempatnya.

Ayat 11

هَمَّازٍ مَّشَّآءٍۭ بِنَمِيمٍ

Yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menghambur fitnah.

▪️  Mencela dan memfitnah serta mengadu domba (menghasut).

Orang-orang yang banyak mencela atau sering mengumpat dengan berjalan ke sana dan ke sini untuk menabur fitnah dan mengadu domba.

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Rasulullah saw melalui dua kubur lalu bersabda:

‘Kedua-dua penghuni kubur ini sedang diseksa tetapi bukan disebabkan dosa besar. Salah seorang tidak menutup diri ketika kencing, manakala seorang lagi suka menyebarkan fitnah (mengadu domba).’”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim).  Diriwayatkan juga oleh para pencatat hadis yang lain iaitu, Abu Daud, An-Nasa’i, At-Tirmizi dan Ibnu Majah.

Daripada Huzaifah ra, dia mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba.”

(HR. Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i dan At-Tirmizi)

Ayat 12

مَّنَّاعٍ لِّلْخَيْرِ مُعْتَدٍ أَثِيمٍ

Yang banyak menghalang perbuatan baik, yang melampaui batas lagi banyak dosa.

▪️  Suka menghalang orang-orang lain untuk melakukan kebaikan.

Inilah orang-orang yang sangat kedekut dengan harta. Mereka tidak mahu membelanjakannya kepada hak-hak yang diwajibkan atau yang disyariatkan atas diri mereka.

▪️  Melampaui batas.

Mereka melampaui batas dengan melanggar syariat Allah Swt.

▪️   Banyak dosa.

Mereka juga banyak melakukan perbuatan dosa iaitu perkara yang diharamkan.

Ayat 13

عُتُلٍّۭ بَعْدَ ذَٰلِكَ زَنِيمٍ

Yang bersikap kasar, dan terkenal dengan kejahatan.

▪️  Berakhlak buruk, kasar dan tidak memiliki sifat santun sedikit pun.

Daripada Harithah bin Wahb ra, Rasulullah saw bersabda:

“Mahukah kalian aku khabarkan tentang penghuni syurga? Mereka ialah orang lemah yang dizalimi, yang apabila bersumpah dengan nama Allah pasti dia akan tepati. Mahukah kalian aku khabarkan tentang penghuni neraka? Mereka ialah orang yang kaku, kasar dan sombong.”

(HR. Ahmad)

▪️  Terkenal dengan kejahatannya.

Lebih buruk lagi adalah dia terkenal dengan kejahatannya.

Ayat 14

أَن كَانَ ذَا مَالٍ وَبَنِينَ

Kerana dia mempunyai (banyak) harta dan (ramai) anak.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan antara faktor yang menyebabkan seseorang itu berperangai buruk adalah kerana dia telah diberikan nikmat harta yang banyak dan anak-anak yang ramai.

Kebiasaannya orang yang mempunyai harta yang banyak dan anak-anak yang ramai ini lebih mudah mempengaruhi masyarakat dan mendapatkan pengikut menyebabkan dia merasakan dirinya paling kaya dan mulia di sisi masyarakat sehingga berani mendustakan ayat-ayat Allah dan rasul-Nya.

Ayat 15

إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِ ءَايَـٰتُنَا قَالَ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ

Apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata, “(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu.”

▪️  Mengatakan bahawa ayat-ayat Al-Quran adalah bohong dan batil.

Ucapan ini merupakan penolakan mereka terhadap ayat-ayat Allah Swt dengan mendakwa semua itu adalah cerita dongeng orang-orang terdahulu.

Ayat 16

سَنَسِمُهُۥ عَلَى ٱلْخُرْطُومِ

Nanti dia akan Kami berikan tanda pada belalainya (hidung).

Allah Swt mengancam orang-orang yang mempunyai sifat-sifat seperti yang disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini.

Ibnu Jarir mengatakan bahawa kelak pada Hari Kiamat, Allah Swt akan memberikan tanda pada muka mereka supaya jelas kelihatan dan tidak dapat dihapuskan daripadanya selama-lamanya. Pengertian wajah diungkapkan dengan kata belalai (hidung) sebagai penghinaan Allah Swt kepada mereka. Tidak ada yang tersembunyi sebagaimana tidak dapat disembunyikan tanda yang ada pada belalai gajah.

Manakala pendapat yang lain pula mengatakan bahawa Allah Swt memberikan tanda kepada penghuni neraka dengan dihitamkan muka mereka.