Surah 68: Al-Qalam (51)

Penyakit ‘Ain Adalah Sesuatu yang Benar

Surah 68: Al-Qalam (51)


Ayat 51

وَإِن يَكَادُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَـٰرِهِمْ لَمَّا سَمِعُوا۟ ٱلذِّكْرَ وَيَقُولُونَ إِنَّهُۥ لَمَجْنُونٌ

Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan engkau dengan pandangan mereka, tatkala mereka mendengar Al-Quran dan mereka berkata, “Sesungguhnya dia (Muhammad) benar-benar orang yang gila.”

Allah Swt menerangkan betapa hebatnya permusuhan kaum musyrikin terhadap Rasulullah saw.

Ibnu Qutaibah mengatakan bahawa maksud ayat ini bukanlah orang-orang kafir itu menimbulkan mudharat kepada Rasulullah saw sebagaimana orang yang memiliki ‘ain memudharatkan orang yang dikaguminya. Namun beliau mengatakan bahawa ayat ini bermaksud, ketika Rasulullah saw membaca Al-Quran, orang-orang kafir memandang tajam kepada baginda dengan pandangan permusuhan, kebencian kerana hasad, benci dan marah sehingga seakan-akan hampir sahaja menjatuhkan baginda.

Ayat ini juga merupakan dalil bahawa pengaruh ‘ain terhadap seseorang itu memang berlaku. Pandangan mata seseorang atau dikenali sebagai ‘ain dapat menyebabkan penyakit, kerosakan atau kebinasaan pada apa yang dilihatnya baik kepada diri sendiri, orang lain, binatang atau pun benda-benda mati seperti rumah dan lain-lain lagi. Ia timbul kerana perasaan kagum, membesar-besarkan sesuatu atau menyatakan kebaikan pada sesuatu sedangkan pada masa yang sama dia terlupa untuk bertasbih kepada Allah Swt dan memohon keberkatan daripada-Nya terhadap apa yang dikaguminya itu. ‘Ain juga boleh berlaku terhadap seseorang yang soleh ketika dia mengagumi dirinya atau barang-barang miliknya sendiri.

Daripada Umamah bin Sahl bahawa ayahnya Sahl bin Hanif memberitahu, ketika dia dan rombongan bersama dengan Rasulullah saw tiba di satu saliran air di Khirar, ayahnya iaitu Sahl yang berkulit putih mandi, sahabat lain iaitu ‘Amir bin Rabi’ah telah melihat dan berkata, “Tidak pernah kulihat seperti apa yang kulihat pada hari ini.” Lalu Sahl terjatuh ke tanah tidak sedarkan diri. Maka dia diangkat dan dibawa kepada baginda. Baginda lalu bertanya jika ada yang mengesyaki sesiapa berbuat sesuatu terhadap Sahl. Mereka berkata, “‘Amir bin Rabi’ah telah melihatnya (dengan ‘ain).” Rasulullah saw terus memanggil ‘Amir dan bersabda:

“Mengapa ada di antara kalian (hendak) membunuh saudaranya? Mengapa ketika melihat sesuatu yang mengagumkanmu, tidak kamu mendoakan keberkatan untuknya?” Kemudian baginda bersabda kepada ‘Amir, “Mandilah engkau untuk mengubatinya.” Maka ‘Amir pun mandi di dalam bekas yang besar. Setelah itu mereka menyiram air bekas mandian tadi ke atas Sahl. Lalu Sahl sedar tanpa menderita apa-apa pun sakit lagi.”

(HR. Ahmad)

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, Rasulullah saw pernah memohon perlindungan untuk cucunda-cucunda baginda, Al-Hasan ra dan Al-Husain ra:

“Aku memohon perlindungan untuk kalian berdua dengan kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan, binatang berbisa dan ‘ain (mata) yang menyakitkan.” Baginda bersabda, “Demikian dahulu Ibrahim as melindungkan Ishak as dan Ismail as.”

(HR. Al-Bukhari, Abu Daud, An-Nasa’i, At-Tirmizi dan Ibnu Majah)