Kengerian Hari Kiamat dan Ancaman yang Keras kepada Orang yang Mendustakan Al-Quran
Surah 68: Al-Qalam (42 – 47)
Ayat 42
يَوْمَ يُكْشَفُ عَن سَاقٍ وَيُدْعَوْنَ إِلَى ٱلسُّجُودِ فَلَا يَسْتَطِيعُونَ
Pada hari betis disingkapkan dan mereka dipanggil untuk bersujud, maka mereka tidak berdaya.
Ayat 43
خَـٰشِعَةً أَبْصَـٰرُهُمْ تَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ ۖ وَقَدْ كَانُوا۟ يُدْعَوْنَ إِلَى ٱلسُّجُودِ وَهُمْ سَـٰلِمُونَ
(Dalam keadaan) pandangan mereka tunduk ke bawah, lagi mereka diliputi kehinaan dan sesungguhnya mereka dahulu (di dunia) diseru untuk bersujud, dan mereka dalam keadaan sejahtera.
Dalam ayat-ayat ini, Allah Swt mengingatkan orang-orang kafir tentang azab yang akan menimpa mereka pada Hari Kiamat nanti.
Allah Swt menyebut, “Pada hari betis disingkapkan,” bagi menggambarkan keadaan orang yang sedang dalam keadaan sangat ketakutan hendak melarikan diri kerana segala sesuatu yang terjadi pada hari itu berupa kengerian, huru-hara, goncangan-goncangan, malapetaka, ujian dan peristiwa-peristiwa besar yang lainnya tersangat dahsyat.
Mereka tertunduk kerana teramat takut dan terhina. Apabila diperintahkan agar bersujud, mereka tidak berdaya disebabkan azab telah meliputi mereka. Ketika di dunia dahulu mereka pernah diajak untuk sujud kepada Allah Swt dalam keadaan mereka sihat tubuh badan namun mereka menolaknya kerana sombong dan ingkar terhadap perintah dan syariat-Nya.
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra, dia mengatakan dia pernah mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Allah menyingkapkan betis-Nya, maka setiap orang mukmin lelaki dan perempuan bersujud kepada-Nya. Maka orang-orang yang bersujud di dunia kerana riya’ (ingin dilihat) dan sum’ah (ingin didengar), tidak dapat bersujud. Mereka berusaha untuk sujud tetapi punggung mereka kembali lurus (tidak mampu sujud).”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 44
فَذَرْنِى وَمَن يُكَذِّبُ بِهَـٰذَا ٱلْحَدِيثِ ۖ سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maka serahkanlah (wahai Muhammad) kepada-Ku (urusan) orang-orang yang mendustakan perkataan ini (Al-Quran). Nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dari arah yang tidak mereka ketahui.
Allah Swt menenangkan hati Rasulullah saw dan memberi amaran yang keras kepada orang-orang musyrik yang mendustakan ayat-ayat-Nya.
Allah Swt menyatakan kepada Rasulullah saw agar menyerahkan urusan orang-orang musyrik itu kepada-Nya dan Dia sendiri yang akan menghukum mereka.
Kemudian Allah Swt menyebutkan pula cara menyeksa orang-orang musyrik tersebut. Mereka akan ditarik secara beransur-ansur dengan tidak mereka sedari. Pada mulanya mereka dibiarkan dalam keadaan yang baik seperti sihat, kaya dan mendapat pelbagai kenikmatan sehingga mereka merasakan diri mereka lebih baik daripada orang-orang beriman. Namun sebenarnya apa yang mereka nikmati itu akan ditarik pada bila-bila masa sahaja. Inilah yang dinamakan istidraj.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Adakah mereka fikir bahawa Kami memberikan harta dan anak-anak kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? (Tidak), tetapi mereka tidak menyedarinya.”
Al-Mu’minun 23:55-56
“Maka ketika mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka. Kami pun membukakan semua pintu (kesenangan) untuk mereka. Sehingga ketika mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka secara tiba-tiba, maka ketika itu mereka terdiam putus asa.”
Al-An’am 6:44
Ayat 45
وَأُمْلِى لَهُمْ ۚ إِنَّ كَيْدِى مَتِينٌ
Dan Aku memberi tangguh kepada mereka. Sesungguhnya perancangan-Ku amat teguh.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia menangguhkan azab kepada mereka serta memberikan kepada mereka apa yang mereka inginkan itu adalah termasuk perancangan-Nya terhadap mereka.
Sesungguhnya perancangan Allah Swt pasti amat besar terhadap orang-orang yang menentang perintah-Nya dan mendustakan rasul-rasul-Nya.
Ayat 46
أَمْ تَسْـَٔلُهُمْ أَجْرًا فَهُم مِّن مَّغْرَمٍ مُّثْقَلُونَ
Atau apakah engkau (Muhammad) meminta upah daripada mereka, sehingga mereka dibebankan dengan hutang?
Ayat 47
أَمْ عِندَهُمُ ٱلْغَيْبُ فَهُمْ يَكْتُبُونَ
Atau apakah ada pada mereka ilmu tentang perkara ghaib lalu mereka menulis (padanya apa yang mereka tetapkan)?
Kedua-dua ayat 46 dan 47 ini telah disebutkan tafsirnya dalam ayat 40 dan 41 Surah At-Tur dan Allah Swt mengulanginya lagi dalam surah ini sebagai penegasan bahawa sesungguhnya Rasulullah saw menyeru mereka menyembah-Nya tanpa mengambil upah daripada mereka.
Baginda hanya mengharapkan pahala di sisi Allah Swt, sedangkan merekalah yang mendustakan apa yang baginda sampaikan disebabkan kebodohan, kekufuran dan keingkaran mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat 40 dan 41 Surah At-Tur:
“Atau apakah engkau (Muhammad) meminta bayaran kepada mereka sehingga mereka dibebankan dengan hutang? Atau apakah di sisi mereka mempunyai (pengetahuan) tentang yang ghaib lalu mereka menulisnya?”
At-Tur 52:40-41