Surah 68: Al-Qalam (34 – 41)

Keadaan Orang yang Bertakwa Tidaklah Sama seperti Orang yang Menentang Allah Swt

Surah 68: Al-Qalam (34 – 41)


Ayat 34

إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ

Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Rabb mereka.

Allah Swt menyebutkan bahawa di akhirat kelak orang-orang yang bertakwa kepada-Nya dan taat kepada perintah-Nya akan mendapat syurga yang penuh kenikmatan. Kenikmatan itu tidak akan musnah dan tidak akan berakhir selama-lamanya.

Ayat 35

أَفَنَجْعَلُ ٱلْمُسْلِمِينَ كَٱلْمُجْرِمِينَ

Maka apakah patut Kami menjadikan orang-orang Islam itu sama dengan orang-orang yang berdosa (orang kafir)?

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia sama sekali tidak akan menyamakan orang-orang muslim dengan orang-orang kafir dalam hal pembalasan.

Ayat 36

مَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ

Mengapa kamu (berbuat demikian). Bagaimanakah kamu mengambil keputusan?

Allah Swt menempelak orang-orang musyrik dengan mengatakan bagaimana mereka boleh memutuskan bahawa mereka akan mendapat kebaikan sama sebagaimana orang-orang muslim.

Ayat 37

أَمْ لَكُمْ كِتَـٰبٌ فِيهِ تَدْرُسُونَ

Atau adakah kamu mempunyai sebuah kitab (yang diturunkan oleh Allah) yang kamu membacanya?

Ayat 38

إِنَّ لَكُمْ فِيهِ لَمَا تَخَيَّرُونَ

Bahawa di dalamnya kamu benar-benar boleh memilih apa yang kamu sukai untuk kamu.

Ayat 39

أَمْ لَكُمْ أَيْمَـٰنٌ عَلَيْنَا بَـٰلِغَةٌ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۙ إِنَّ لَكُمْ لَمَا تَحْكُمُونَ

Atau apakah kamu memperoleh janji yang diperkuat dengan sumpah daripada Kami, yang tetap berlaku sampai Hari Kiamat, sesungguhnya kamu benar-benar dapat mengambil keputusan (sekehendak kamu)?

Dalam ayat 37 hingga 39 ini, Allah Swt bertanya apakah mereka telah memiliki kitab yang diturunkan dari langit, yang mereka pelajari, hafalkan dan disampaikan secara turun-temurun dari dahulu sampai ke generasi berikutnya, yang isinya terdapat hukum seperti apa yang mereka sangkakan itu.

Ayat 40

سَلْهُمْ أَيُّهُم بِذَٰلِكَ زَعِيمٌ

Tanyakanlah kepada mereka, “Siapakah di antara mereka yang bertanggungjawab terhadap keputusan yang diambil itu?”

Kemudian Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw bertanyakan kepada orang-orang kafir siapakah yang akan menjamin dan bertanggungjawab terhadap keputusan ini untuk diri mereka bahawa mereka akan menerima balasan yang lebih baik daripada orang-orang yang beriman.

Ayat 41

أَمْ لَهُمْ شُرَكَآءُ فَلْيَأْتُوا۟ بِشُرَكَآئِهِمْ إِن كَانُوا۟ صَـٰدِقِينَ

Atau apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu? Maka hendaklah mereka mendatangkan sekutu-sekutunya jika mereka adalah orang-orang yang benar.

Adakah mereka memiliki sekutu-sekutu yang menyetujui keputusan mereka bahawa sekutu-sekutu itulah yang akan bertanggungjawab terhadap mereka?

Semua pertanyaan ini merupakan celaan dan hinaan daripada Allah Swt sebagai bentuk bantahan terhadap kebatilan yang mereka ciptakan bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Sebenarnya keadaannya bukanlah seperti yang mereka sangkakan dan putuskan.