Surah 68: Al-Qalam (1 – 7)

Allah Swt Bersumpah dengan Pena dalam Menegaskan Kenabian dan Budi Pekerti Rasulullah saw yang Agung

Surah 68: Al-Qalam (1 – 7)


Ayat 1

نٓ ۚ وَٱلْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ

Nun. Demi pena dan apa yang mereka tuliskan.

Allah Swt memulai surah ini dengan huruf ن yang merupakan huruf muqatta’ah.

Kemudian Allah Swt bersumpah dengan pena yang digunakan untuk menulis dan dengan ilmu pengetahuan yang ditulis oleh manusia dengan pena.

Sekaligus ayat ini adalah sebagai peringatan Allah Swt kepada makhluk-Nya atas apa yang telah Dia anugerahkan kepada mereka, berupa pengajaran tulis-menulis yang dengannya ilmu pengetahuan diperolehi.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Bacalah, dan Rabbmulah Yang Maha Pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan pena. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Al-‘Alaq 96:3-5

As-Suddi mengatakan maksud ayat, “Dan apa yang mereka tuliskan,” ialah malaikat mencatat perbuatan para hamba Allah. Ada juga berpendapat maksud ayat ini ialah pena yang digunakan untuk menulis takdir para makhluk 50,000 tahun sebelum diciptakan-Nya langit dan bumi.

Ibnu Abu Hatim meriwayatkan daripada Walid bin ‘Ubadah bin As-Samit, dia memberitahu bahawa ketika ayahnya menghadapi sakaratul maut, dia memanggilnya dan berkata, “Sesungguhnya saya mendengar Rasulullah saw bersabda:

‘Sesungguhnya yang pertama kali dicipta oleh Allah adalah pena, maka Allah berfirman kepadanya, ‘Tulislah!’ Pena itu menjawab, ‘Rabbku, apa yang akan kutulis?’ Allah berfirman, ‘Tulislah qadar dan semua yang terjadi sampai waktu yang panjang (Hari Kiamat).’”

(HR. Ahmad)

Ayat 2

مَآ أَنتَ بِنِعْمَةِ رَبِّكَ بِمَجْنُونٍ

Berkat nikmat Rabbmu engkau (Muhammad) sekali-kali bukanlah orang gila.

Allah Swt menegaskan bahawa Rasulullah saw bukanlah orang gila seperti yang dikatakan oleh orang-orang yang menentangnya. Tuduhan yang dibuat adalah disebabkan mereka mendustakan petunjuk yang dibawa oleh baginda. Tuduhan ini juga merupakan bentuk permusuhan dan kedengkian orang-orang kafir Quraisy terhadap baginda.

Ayat 3

وَإِنَّ لَكَ لَأَجْرًا غَيْرَ مَمْنُونٍ

Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya.

Allah Swt menyatakan bahawa Rasulullah saw akan mendapat pahala yang melimpah dan tidak putus-putus kerana baginda telah menyampaikan risalah Rabbnya kepada manusia serta bersabar menerima tentangan daripada kaumnya.

Ayat 4

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang agung.

Sesungguhnya Rasulullah saw benar-benar mempunyai budi pekerti yang agung. Dalam diri baginda terdapat adab yang mulia, rasa malu yang bertempat, keberanian, kelembutan, pemaaf dan akhlak-akhlak mulia yang lain.

Imam At-Tabari meriwayatkan daripada Qatadah bahawa Sa’d bin Hisyam telah bertanya kepada ‘Aisyah ra tentang akhlak Rasulullah saw. Maka ‘Aisyah ra berkata, “Bukankah kamu membaca Al-Quran?” Sa’d berkata, “Tentu.” ‘Aisyah ra berkata, “Sesungguhnya akhlak baginda adalah Al-Quran.”

Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas ra, dia berkata, “Saya telah melayani Rasulullah saw selama sepuluh tahun tetapi baginda tidak pernah berkata ‘Ah!’ kepadaku dan tidak pernah menanyakan sesuatu yang aku buat dengan berkata, ‘Kenapa engkau lakukan ini?’ dan terhadap yang tidak aku lakukan, ‘Kenapa engkau tidak melakukannya?’ Baginda adalah orang yang paling berakhlak mulia. Aku tidak pernah menyentuh sutera yang lebih halus ataupun sesuatu selain daripada tapak tangan baginda, dan aku tidak pernah mencium harum minyak wangi yang lebih wangi daripada peluh baginda.”

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya saya diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik.”

(HR. Ahmad)

Ayat 5

فَسَتُبْصِرُ وَيُبْصِرُونَ

Maka kelak engkau akan melihat dan mereka (orang-orang kafir) pun akan melihat.

Ayat 6

بِأَييِّكُمُ ٱلْمَفْتُونُ

Siapakah di antara kamu yang gila?

Dalam ayat 5 dan 6 ini, Allah Swt menyatakan bahawa kelak di akhirat orang-orang yang menentang dan mendustakan Rasulullah saw akan mengetahui dan melihat siapakah di antara mereka yang gila, sesat lagi sombong.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Kelak mereka akan mengetahui siapa yang sebenarnya sangat pendusta lagi sombong itu.”

Al-Qamar 54:26

Ayat 7

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Sesungguhnya Rabbmu, Dia-lah yang paling mengetahui siapa yang sesat daripada jalan-Nya dan Dia-lah yang paling mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

Ayat ini menjelaskan kebijaksanaan Allah Swt, Dia memberi petunjuk dan menyesatkan orang yang layak mendapatkannya.