Sifat Neraka Jahannam dan Penghuninya
Surah 67: Al-Mulk (6 – 11)
Ayat 6
وَلِلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِرَبِّهِمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ
Dan orang-orang yang ingkar kepada Rabb mereka, akan mendapat azab Jahannam. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia menyediakan seksaan dalam neraka bagi jin dan manusia yang ingkar kepada-Nya dan mendustakan para rasul-Nya. Itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Ayat 7
إِذَآ أُلْقُوا۟ فِيهَا سَمِعُوا۟ لَهَا شَهِيقًا وَهِىَ تَفُورُ
Apabila mereka dilemparkan ke dalamnya mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedangkan neraka itu menggelegak.
Betapa hinanya keadaan orang-orang yang kufur kepada Allah Swt. Mereka sebenarnya tidak mahu dimasukkan ke dalam neraka itu, tetapi mereka dicampakkan ke dalamnya dengan keadaan yang sangat hina. Pada hari itu mereka tidak berdaya untuk melawan, menolak dan cuba untuk melarikan diri lagi.
Kemudian Allah Swt menyatakan beberapa sifat neraka iaitu:
▪️ Bunyi suara jeritan yang sangat menggerunkan.
Apabila mereka dilemparkan ke dalam neraka mereka mendengar suara jeritan neraka yang sangat mengerikan. Suaranya meraung itu dengan begitu hebat dan amat menyeramkan. Setiap kali ahli neraka dicampak masuk ke dalam neraka maka neraka itu semakin panas dan membara.
Ayat 8
تَكَادُ تَمَيَّزُ مِنَ ٱلْغَيْظِ ۖ كُلَّمَآ أُلْقِىَ فِيهَا فَوْجٌ سَأَلَهُمْ خَزَنَتُهَآ أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌ
Hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, “Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?”
▪️ Kemarahan neraka.
Neraka hampir-hampir terpecah-pecah iaitu hampir sahaja sebahagiannya terpisah dari sebahagian yang lainnya akibat kemarahannya yang memuncak dan kekesalannya kepada mereka.
▪️ Layanan yang bengis daripada penjaga neraka.
Setiap kali sekumpulan ahli neraka dilemparkan ke dalam neraka, penjaga-penjaga neraka akan bertanya kepada mereka sama ada mereka pernah didatangi seorang pemberi peringatan ataupun tidak semasa di dunia dahulu. Ini merupakan teguran keras dan celaan terhadap mereka.
Ayat 9
قَالُوا۟ بَلَىٰ قَدْ جَآءَنَا نَذِيرٌ فَكَذَّبْنَا وَقُلْنَا مَا نَزَّلَ ٱللَّهُ مِن شَىْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا فِى ضَلَـٰلٍ كَبِيرٍ
Mereka menjawab, “Benar ada, sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan(nya) dan kami katakan, ‘Allah tidak menurunkan sesuatu pun, kamu tidak lain hanyalah dalam kesesatan yang besar.’”
Mereka membuat pengakuan bahawa memang telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan ketika di dunia dahulu. Namun mereka telah mendustakannya dan menuduh para rasul yang memberi peringatan sebagai orang yang sesat. Oleh itu, mereka dijauhkan daripada rahmat Allah dan tergolong dalam kalangan ahli neraka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“………Sehingga apabila mereka sampai ke pintu-pintu neraka, lalu dibukakan dan penjaga-penjaga neraka berkata kepada mereka, “Apakah belum pernah datang kepadamu rasul-rasul daripada kalangan kamu untuk membacakan ayat-ayat Rabbmu dan memperingatkan kepadamu akan pertemuan pada hari ini?” Mereka menjawab, “Benar, ada,” tetapi ketetapan azab pasti berlaku terhadap orang-orang kafir.”
Az-Zumar 39: 71
Ayat ini menunjukkan keadilan Allah Swt bahawa Dia tidak akan menyeksa sesiapa kecuali setelah ditegakkan hujjah ke atasnya dan diutuskan rasul kepadanya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….tetapi Kami tidak akan menyeksa sebelum Kami mengutus seorang rasul.”
Al-Isra’ 17:15
Ayat 10
وَقَالُوا۟ لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِىٓ أَصْحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ
Dan mereka berkata, “Sekiranya kami (dahulu) mendengar atau memikirkan (peringatan itu) nescaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.”
Ayat 11
فَٱعْتَرَفُوا۟ بِذَنۢبِهِمْ فَسُحْقًا لِّأَصْحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ
Mereka mengakui dosa mereka. Maka kebinasaanlah bagi penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.
Ketika itu jelas penyesalan yang teramat sangat pada perkataan orang-orang kafir itu.
Mereka mengakui dosa-dosa mereka pada saat tiada gunanya lagi pengakuan. Mereka telah mendustakan peringatan-peringatan Allah Swt. Oleh itu, binasalah mereka sebagai penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala kerana mereka telah dijauhkan daripada rahmat-Nya.