Kekuasaan Allah Swt dalam Penciptaan dan Semuanya Akan Kembali kepada-Nya
Surah 67: Al-Mulk (23 – 24)
Ayat 23
قُلْ هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمْعَ وَٱلْأَبْصَـٰرَ وَٱلْأَفْـِٔدَةَ ۖ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ
Katakanlah (Muhammmad), “Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati. (Tetapi) sangat sedikit kamu bersyukur.”
Allah Swt sekali lagi menyebutkan bukti yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaan-Nya.
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw agar menerangkan kepada orang-orang kafir bahawa Dia telah memulai penciptaan manusia yang sebelumnya sama sekali tidak ada. Dia menjadikan bagi mereka pendengaran, penglihatan dan hati iaitu akal dan fikiran.
Namun hanya sedikit sekali yang bersyukur dengan menggunakan kekuatan yang telah dikurniakan oleh-Nya untuk berbuat ketaatan dan menjalankan perintah-perintah-Nya serta meninggalkan larangan-larangan-Nya.
Ayat 24
قُلْ هُوَ ٱلَّذِى ذَرَأَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَإِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
Katakanlah (Muhammad), “Dia-lah Yang menjadikan kamu berkembang biak di muka bumi, dan kepada-Nya kamu akan dikumpulkan.”
Rasulullah saw diperintahkan supaya menerangkan kepada orang-orang kafir bahawa Allah-lah yang mengembang-biakkan manusia sehingga ke seluruh penjuru bumi dengan pelbagai perbezaan bahasa, warna kulit dan bentuk tubuh mereka. Kelak Dia akan mengumpulkan mereka semula dan memberikan balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.