Surah 67: Al-Mulk (16 – 18)

Ancaman Allah Swt kepada Orang yang Mendustakan Peringatan-Nya

Surah 67: Al-Mulk (16 – 18)


Ayat 16

ءَأَمِنتُم مَّن فِى ٱلسَّمَآءِ أَن يَخْسِفَ بِكُمُ ٱلْأَرْضَ فَإِذَا هِىَ تَمُورُ

Apakah kamu berasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit jika Dia membenamkan kamu ke dalam bumi, maka tiba-tiba bumi itu bergegar?

Ayat ini merupakan ancaman dan peringatan daripada Allah Swt bahawa Dia Berkuasa untuk menyeksa orang-orang yang kufur dan menyekutukan-Nya.

Namun Allah Swt tidak menyegerakan seksaan tersebut tetapi memberi peluang agar mereka bertaubat. Ini merupakan kelembutan dan kasih sayang-Nya terhadap makhluk-Nya.

Ayat 17

أَمْ أَمِنتُم مَّن فِى ٱلسَّمَآءِ أَن يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا ۖ فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ

Atau apakah kamu berasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan mengirimkan ribut yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku?

Manakala pertanyaan Allah Swt dalam ayat ini pula adalah ancaman kepada orang-orang yang melanggar perintah-Nya serta mendustakan-Nya. Adakah mereka ini berasa aman dengan kekuasaan-Nya mengirimkan angin kencang yang membawa batu menimpa mereka. Kelak mereka akan mengetahui bagaimana akibat penentangan mereka terhadap peringatan-Nya.

Ayat 18

وَلَقَدْ كَذَّبَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ

Dan sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka pun telah mendustakan (para rasul-Nya) dan telah dibinasakan. Maka alangkah hebatnya kemurkaan-Ku.

Kemudian Allah Swt memberi amaran dan peringatan kepada kaum yang mendustakan para rasul-Nya bahawa umat-umat terdahulu pun telah menerima seksaan disebabkan kemurkaan-Nya.

Kaum yang dimaksudkan itu ialah Kaum ‘Aad dan Thamud serta kaum-kaum lain yang mendustakan Allah dan para rasul-Nya. Setelah mereka diberikan peringatan serta bukti-bukti yang jelas, mereka masih melakukan kemusyrikan dan kekufuran. Oleh itu, Allah Swt telah membinasakan mereka kerana telah menyebabkan kemurkaan-Nya.