Allah Swt Mengetahui Segala yang Tersembunyi dan yang Nyata
Surah 67: Al-Mulk (13 – 14)
Ayat 13
وَأَسِرُّوا۟ قَوْلَكُمْ أَوِ ٱجْهَرُوا۟ بِهِۦٓ ۖ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
Dan rahsiakanlah perkataan kamu atau nyatakanlah, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati.
Allah Swt mengingatkan bahawa Dia mengetahui segala yang tersembunyi dan yang dizahirkan. Dia Maha Mengetahui apa yang terlintas di dalam hati hamba-hamba-Nya.
Ayat 14
أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلْخَبِيرُ
Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu zahirkan atau rahsiakan), sedangkan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui.
Kemudian Allah Swt menyatakan tidak mungkin Dia sebagai Pencipta tidak mengetahui ciptaan-Nya padahal Dia Maha Halus terhadap segala amal perbuatan mereka dan Maha Mengetahui segala gerak geri mereka sama ada yang mereka nampakkan atau sembunyikan.