Kekuasaan dan Kebesaran Allah Swt
Surah 67: Al-Mulk (1 – 5)
Ayat 1
تَبَـٰرَكَ ٱلَّذِى بِيَدِهِ ٱلْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Maha Berkat Allah yang di tangan-Nya-lah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Allah Swt mengagungkan diri-Nya yang mulia dan memberitahu bahawa kekuasaan itu hanya berada di tangan-Nya. Ini bermaksud bahawa Dia-lah yang satu-satunya mengendalikan urusan semua makhluk sesuai dengan kehendak-Nya. Tidak ada seorang pun yang boleh menolak ketetapan-Nya dan Dia tidak akan disoal atas apa yang Dia lakukan kerana keperkasaan, kebijaksanaan dan keadilan-Nya.
Ayat 2
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ
Yang menciptakan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
Ayat ini bermaksud Allah Swt telah mengadakan (menghidupkan) makhluk ini dan meniadakan (mematikan) adalah untuk menguji mereka, siapakah di antara mereka yang lebih ‘baik’ amalannya dan Dia tidak mengatakan, yang paling ‘banyak’ amalannya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya kembali, kemudian kepada-Nya-lah kamu dikembalikan?”
Al-Baqarah 2:28
Allah Maha Perkasa, Maha Agung, Maha Kuat bagi menyeksa sesiapa yang berdosa. Meskipun demikian, Dia mengampuni, merahmati, memaafkan dan menghapuskan dosa orang-orang yang bertaubat (kembali kepada-Nya).
Ayat 3
ٱلَّذِى خَلَقَ سَبْعَ سَمَـٰوَٰتٍ طِبَاقًا ۖ مَّا تَرَىٰ فِى خَلْقِ ٱلرَّحْمَـٰنِ مِن تَفَـٰوُتٍ ۖ فَٱرْجِعِ ٱلْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ
Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Engkau sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah engkau lihat sebarang kecacatan?
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menciptakan langit yang berlapis-lapis iaitu tingkat demi tingkat. Ada dua pendapat berkaitan dengan langit yang berlapis-lapis ini iaitu sama ada lapisan-lapisan itu bersambung atau pun terdapat ruang pemisah. Pendapat yang paling benar ialah terdapat ruang pemisah antara lapisan-lapisan langit, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Isra’ Mi’raj dan hadis-hadis yang lain.
Ayat 4
ثُمَّ ٱرْجِعِ ٱلْبَصَرَ كَرَّتَيْنِ يَنقَلِبْ إِلَيْكَ ٱلْبَصَرُ خَاسِئًا وَهُوَ حَسِيرٌ
Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu kecacatan dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah.
Kemudian Allah Swt menyatakan sekiranya manusia mengulang-ulang memandang langit dan melihatnya berulang kali serta mengamatinya, pasti mereka tidak akan menemui ketidakseimbangan atau sebarang kecacatan dalam ciptaan-Nya itu. Semakin lama mereka memandang, semakin mereka mengetahui bahawa ciptaan-Nya adalah sempurna.
Ayat 5
وَلَقَدْ زَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنْيَا بِمَصَـٰبِيحَ وَجَعَلْنَـٰهَا رُجُومًا لِّلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ ٱلسَّعِيرِ
Dan demi sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang dan Kami jadikan (bintang-bintang) itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka seksa neraka yang menyala-nyala.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang menghiasi langit yang dekat dengan bumi sehingga dapat dilihat dengan pandangan mata secara langsung. Dia menghiaskannya dengan bintang-bintang dan menjadikan bintang-bintang itu sebagai alat-alat pelempar syaitan daripada golongan jin. Dia juga menjadikan syaitan-syaitan itu hina di dunia dan disediakan bagi mereka di akhirat nanti azab api neraka yang menyala-nyala.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit dunia (yang terdekat), dengan hiasan bintang-bintang. Dan (Kami) telah menjaganya daripada setiap syaitan yang derhaka. Mereka (syaitan-syaitan itu) tidak dapat mendengar (perbicaraan) para malaikat, dan mereka direjam pada segala penjuru. Untuk mengusir mereka dan mereka akan mendapat azab yang kekal. Kecuali (syaitan) yang mencuri perbicaraan, maka ia dikejar oleh bintang yang menyala.”
As-Saffat 37:6-10
Qatadah mengatakan, Allah Swt menciptakan bintang-bintang itu dengan tiga kegunaan iaitu sebagai:
1. Perhiasan langit.
2. Pelontar syaitan.
3. Penunjuk jalan.