Perintah agar Berjihad Melawan Orang Kafir dan Orang Munafik
Surah 66: At-Tahrim (9)
Ayat 9
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ جَـٰهِدِ ٱلْكُفَّارَ وَٱلْمُنَـٰفِقِينَ وَٱغْلُظْ عَلَيْهِمْ ۚ وَمَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ
Wahai Nabi, berjihadlah melawan orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah Jahannam dan itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw berjihad melawan musuh-musuh-Nya yang terdiri daripada orang-orang kafir dan orang-orang munafik.
Golongan kafir diperangi menggunakan senjata dan pertempuran. Manakala orang-orang munafik pula dengan mengemukakan hujjah dan dalil yang terang. Ini kerana orang-orang munafik ini zahirnya sahaja beriman sedangkan hati mereka tidak beriman. Oleh itu tidak diperintahkan memerangi mereka dengan senjata.
Selain itu, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw bersikap keras kepada golongan munafik semasa bertutur kata, iaitu tidak berlemah lembut atau menunjukkan belas kasihan. Ini bertujuan menggerunkan mereka agar hati mereka yang keras bertukar menjadi lembut.
Kelak di akhirat mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam, seburuk-buruk tempat kembali sekiranya mereka mati dalam keadaan munafik atau kafir.