Wanita yang Derhaka dan Solehah Dijadikan Perumpamaan bagi Orang Kafir dan Orang Mukmin
Surah 66: At-Tahrim (10 – 12)
Ayat 10
ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱمْرَأَتَ نُوحٍ وَٱمْرَأَتَ لُوطٍ ۖ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَـٰلِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ ٱللَّهِ شَيْـًٔا وَقِيلَ ٱدْخُلَا ٱلنَّارَ مَعَ ٱلدَّٰخِلِينَ
Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang kafir iaitu isteri Nuh dan isteri Lut. Kedua-duanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami, lalu kedua-dua isteri itu berlaku khianat kepada suami (masing-masing), maka suami mereka itu tidak dapat membantu mereka sedikitpun daripada (seksaan) Allah, dan dikatakan (kepada kedua-duanya), “Masuklah ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (neraka).”
Allah Swt memberikan perumpamaan tentang tidak bermanfaatnya hubungan kerabat antara orang-orang kafir dengan orang-orang mukmin walaupun hubungan tersebut sangat rapat.
Perumpamaan itu ialah tentang isteri Nabi Nuh as dan isteri Nabi Lut as yang berada di bawah pengawasan dua orang hamba-hamba-Nya yang soleh. Kedua-dua orang nabi dan rasul as ini selalu berada bersama dengan mereka siang dan malam, memberi makan, mencampuri dan menggauli mereka dengan perlakuan yang mesra serta menyenangkan.
Namun kedua-dua orang isteri kepada dua orang nabi yang soleh ini telah mengkhianati suami masing-masing disebabkan mereka tidak mahu beriman. Oleh itu, pertalian mereka berdua dengan suami mereka yang soleh itu tidak dapat membantu mereka sedikitpun daripada azab Allah Swt. Mereka akan dimasukkan ke neraka bersama dengan orang-orang yang masuk neraka.
Maksud “berlaku khianat” dalam ayat ini bukanlah pada perbuatan keji seperti perzinaan, tetapi pada masalah agama. Ini kerana isteri-isteri nabi itu terpelihara daripada perbuatan keji tersebut bagi menjaga kehormatan para nabi.
Ad-Dahhak telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa tiada seorang wanita pun daripada isteri seorang nabi yang berbuat serong (zina), melainkan pengkhianatan yang dilakukannya hanyalah dalam masalah agama. Hal yang sama dikatakan oleh Ikrimah, Sa’id bin Jubair dan lain-lain.
Ayat 11
وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱمْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ٱبْنِ لِى عِندَكَ بَيْتًا فِى ٱلْجَنَّةِ وَنَجِّنِى مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِۦ وَنَجِّنِى مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, iaitu isteri Firaun ketika dia berkata, “Wahai Rabbku, binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.”
Selanjutnya, Allah Swt membuat perumpamaan lain untuk memberikan gambaran kepada orang-orang mukmin, bahawa pergaulan mereka dengan orang-orang kafir tidak akan mendatangkan mudharat kepada mereka.
Qatadah mengatakan, “Dahulu, Firaun adalah orang yang paling zalim dan paling kafir di muka bumi, tetapi demi Allah, kekufurannya itu tidak memberikan mudharat kepada isterinya yang taat kepada Rabbnya. Hal ini adalah untuk menyatakan bahawa Allah Swt adalah Maha Bijaksana dan Maha Adil. Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan disebabkan dosa sendiri.”
Doa pada ayat di atas adalah ucapan isteri Firaun iaitu Asiyah binti Muzahim, yang memohon supaya diselamatkan daripada Firaun yang zalim.
Ayat 12
وَمَرْيَمَ ٱبْنَتَ عِمْرَٰنَ ٱلَّتِىٓ أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَـٰتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِۦ وَكَانَتْ مِنَ ٱلْقَـٰنِتِينَ
Dan (ingatlah) Maryam binti ‘Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada roh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimah Rabbnya dan kitab-kitab-Nya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.
Allah Swt menceritakan pula kisah perempuan mukmin yang kedua yang dijadikan perumpamaan iaitu Maryam puteri ‘Imran setelah kisah Asiyah isteri Firaun.
Allah Swt menyatakan bahawa Maryam sentiasa memelihara dan menjaga kesuciannya bukan sebagaimana yang dituduh telah melakukan perzinaan. Dia telah meniupkan ke dalam rahim Maryam sebahagian daripada roh (ciptaan)-Nya melalui Jibril yang datang kepadanya dalam rupa seorang manusia yang sempurna. Kemudian Maryam mulai mengandungkan Nabi ‘Isa as. Maryam membenarkan ketetapan yang ditentukan oleh Allah Swt dan juga kitab-kitab-Nya.
Ayat ini juga merupakan pujian Allah Swt kepada Maryam yang menunjukkan bahawa dia adalah perempuan yang kuat beribadah serta taat kepada-Nya.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, Rasulullah saw membuat empat garisan di atas tanah dan bersabda:
“Tahukah kalian apa ini?” Mereka berkata, “Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui.” Lalu baginda bersabda, “Perempuan-perempuan terbaik penghuni syurga adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti ‘Imran dan isteri Firaun iaitu Asiyah binti Muzahim.”
(HR. Ahmad)
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari, Rasulullah saw bersabda:
“Lelaki yang telah mencapai kesempurnaan itu banyak, dan yang sempurna daripada kaum perempuan hanyalah Asiyah isteri Firaun, Maryam binti ‘Imran dan Khadijah binti Khuwailid. Sesungguhnya keutamaan ‘Aisyah daripada perempuan yang lain seperti ath-tharid (roti berkuah) ke atas makanan-makanan yang lainnya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)