Surah 65: At-Talaq (8 – 11)

Hukum-hukum yang Dibawa oleh Rasulullah saw Mendatangkan Kebahagiaan kepada Manusia

Surah 65: At-Talaq (8 – 11)


Ayat 8

وَكَأَيِّن مِّن قَرْيَةٍ عَتَتْ عَنْ أَمْرِ رَبِّهَا وَرُسُلِهِۦ فَحَاسَبْنَـٰهَا حِسَابًا شَدِيدًا وَعَذَّبْنَـٰهَا عَذَابًا نُّكْرًا

Dan betapa banyaknya (penduduk) negeri yang menderhakai perintah Rabb mereka dan rasul-rasul-Nya, maka Kami hisab penduduk negeri itu dengan hisab yang keras, dan Kami azab mereka dengan azab yang mengerikan.

Ayat 9

فَذَاقَتْ وَبَالَ أَمْرِهَا وَكَانَ عَـٰقِبَةُ أَمْرِهَا خُسْرًا

Lalu mereka merasai kesan yang buruk daripada perbuatan derhaka mereka, dan perbuatan mereka itu adalah satu kerugian yang besar.

Dalam ayat 8 dan 9 di atas, Allah Swt memberitahu bahawa telah ramai orang-orang terdahulu yang menentang perintah-Nya, mendustakan para rasul-Nya, dan menempuh jalan yang tidak disyariatkan oleh-Nya dihisab dan dihukum sebagai pembalasan terhadap penderhakaan dan kesombongan mereka terhadap perintah-Nya. Ini merupakan ancaman yang keras kepada orang-orang yang ingkar.

Umat-umat terdahulu yang ingkar lagi sombong itu telah ditimpakan azab yang sangat mengerikan ketika masih di dunia lagi. Manakala di akhirat kelak mereka akan dikenakan azab yang lebih keras lagi. Mereka merasakan akibat yang buruk setelah penentangan yang mereka lakukan dan mereka pun akhirnya menyesal pada saat penyesalan itu tidak lagi bermanfaat.

Ayat 10

أَعَدَّ ٱللَّهُ لَهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ۚ قَدْ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيْكُمْ ذِكْرًا

Allah menyediakan bagi mereka azab yang keras, maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan peringatan kepadamu.

Kemudian Allah Swt menegaskan lagi ancaman-Nya bahawa Dia menyediakan azab yang sangat pedih bagi sesiapa yang berterusan dalam kekafiran dan keingkaran mereka.

Allah Swt mengingatkan orang-orang beriman agar bertakwa kepada-Nya sehingga tidak tertimpa musibah seperti yang berlaku kepada umat terdahulu yang telah menderhaka.

Sesungguhnya Allah Swt telah menurunkan peringatan kepada manusia dengan menurunkan Al-Quran sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.”

Al-Hijr 15:9

Ayat 11

رَّسُولًا يَتْلُوا۟ عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ مُبَيِّنَـٰتٍ لِّيُخْرِجَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ ۚ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ وَيَعْمَلْ صَـٰلِحًا يُدْخِلْهُ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۖ قَدْ أَحْسَنَ ٱللَّهُ لَهُۥ رِزْقًا

(Dan mengutus) seorang rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan (berbagai-bagai hukum) supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kegelapan kepada cahaya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan mengerjakan amal yang soleh nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah memberikan rezeki yang baik kepadanya.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengutuskan Rasulullah saw untuk membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada umatnya. Al-Quran mengandungi pelbagai hukum yang sangat jelas halal dan haramnya. Al-Quran juga dapat mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kesesatan) kepada cahaya (petunjuk), daripada kejahilan kepada berilmu dan daripada kekufuran kepada keimanan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“……….(Ini adalah) kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar engkau mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang benderang……….”

Ibrahim 14:1

“Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) roh (Al-Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya engkau tidaklah mengetahui apakah kitab (Al-Quran), dan apakah iman itu, tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya, dengan itu Kami memberi petunjuk kepada siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau benar-benar membimbing (manusia) ke jalan yang lurus.”

Asy-Syura 42:52