Antara Hak-hak Wanita apabila Diceraikan oleh Suami
Surah 65: At-Talaq (6 – 7)
Ayat 6
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَآرُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا۟ عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُو۟لَـٰتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا۟ عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَـَٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا۟ بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍۢ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُۥٓ أُخْرَىٰ
Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya, dan bermusyawarahlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik, dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.
Allah Swt menjelaskan tentang perkara yang perlu dilakukan oleh para suami apabila mereka menceraikan isteri mereka iaitu mereka hendaklah:
▪️ Menempatkannya di dalam rumah yang didiami oleh suami mengikut kemampuannya sehingga habis iddahnya.
Ibnu ‘Abbas Ra, Mujahid, dan beberapa ulama lainnya mengatakan, mengikut kemampuannya bahkan Qatadah mengatakan, apabila suami hanya mendapat tempat di sebelah rumahnya maka tempatkanlah isterinya di sana.
Para suami dilarang daripada menyusahkan isteri yang dalam iddah dengan segala bentuk penderitaan sama ada dari segi tempat tinggal, nafkah, kata-kata yang menyakitkan dan sebagainya dengan tujuan agar isteri keluar dari tempat tinggal yang didiaminya atau pun setelah menceraikannya kemudian merujuknya semula dua hari sebelum tamat tempoh iddah dengan tujuan untuk menyusahkannya.
▪️ Memberi nafkah kepada isteri sehingga isterinya melahirkan anak.
Apabila isteri yang ditalak sedang hamil, selain disediakan tempat tinggal, suami juga wajib memberinya nafkah sehingga isterinya itu melahirkan anak.
▪️ Membayarkan upah atas penyusuan anaknya.
Apabila isteri telah melahirkan anaknya sedangkan dia telah diceraikan dan iddahnya selesai pada saat itu, dia boleh meneruskan penyusuan atau pun menolaknya. Jika ibu itu memilih untuk meneruskan penyusuan, maka dia berhak mendapat upah yang setimpal, juga dibolehkan membuat perjanjian dengan bekas suami tentang upah yang disepakati oleh kedua-dua pihak. Jika kedua-dua pihak mengalami kesulitan, maka bolehlah mengupah perempuan lain menyusukannya.
Ayat 7
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِۦ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُۥ فَلْيُنفِقْ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَا ۚ سَيَجْعَلُ ٱللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Hendaklah orang yang mampu, memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Kelak Allah akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.
Selanjutnya, Allah Swt memerintahkan orang-orang yang beriman apabila menceraikan isterinya, hendaklah bertanggungjawab memberi nafkah isteri yang menyusukan anaknya atau yang sedang berada dalam iddah di rumahnya sesuai dengan kemampuannya (miskin atau kaya). Allah tidak akan membebani seseorang. Sesiapa yang bertakwa kepada-Nya, Dia akan menggantikan kesusahan dengan kemudahan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya……….”
Al-Baqarah 2:286