Surah 64: At-Taghabun (7 – 10)

Kehidupan Setelah Mati Adalah Benar

Surah 64: At-Taghabun (7 – 10)


Ayat 7

زَعَمَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَن لَّن يُبْعَثُوا۟ ۚ قُلْ بَلَىٰ وَرَبِّى لَتُبْعَثُنَّ ثُمَّ لَتُنَبَّؤُنَّ بِمَا عَمِلْتُمْ ۚ وَذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ

Orang-orang yang kafir mengatakan bahawa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan. Katakanlah, “Tidak demikian, demi Rabbku, benar-benar kamu akan dibangkitkan, kemudian akan diberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

Allah Swt menyatakan orang-orang kafir dan musyrik menyakini bahawa mereka tidak akan dibangkitkan kembali setelah mati. Lalu Dia menafikan keyakinan tersebut dengan menyatakan bahawa mereka benar-benar akan dihidupkan kembali untuk menerima balasan sama ada baik ataupun buruk. Sesungguhnya sangatlah mudah bagi-Nya membangkitkan manusia yang telah mati dan membalas amal perbuatan mereka.

Ayat ini juga merupakan ayat ketiga yang di dalamnya terdapat perintah Allah Swt kepada Rasulullah saw untuk mengungkapkannya dengan bersumpah atas nama Rabb-Nya, bahawa sesungguhnya Hari Kebangkitan itu benar-benar akan terjadi. Ayat pertama ada pada ayat 53 surah Yunus, dan yang kedua ada pada ayat 3 Surah Saba’ sebagaimana berikut:

“Dan mereka menanyakan kepadamu (Muhammad), ‘Benarkah (azab yang dijanjikan) itu?’ Katakanlah, ‘Ya, demi Rabbku, sesungguhnya azab itu adalah benar dan kamu sekali-kali tidak dapat menghindarinya.’”

Yunus 10:53

“Dan orang-orang yang kafir berkata, ‘Hari Berbangkit itu tidak akan datang kepada kami.’ Katakanlah, ‘Pasti datang, demi Rabbku Yang Mengetahui yang ghaib, sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang kepadamu…………’”

Saba’ 34:3

Ayat 8

فَـَٔامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَٱلنُّورِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلْنَا ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan kepada cahaya (Al-Quran) yang telah Kami turunkan. Dan Allah amat Mendalam Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.

Allah Swt menyeru hamba-hamba-Nya agar beriman terhadap keesaan-Nya, kebenaran rasul-Nya dan kitab yang diturunkan-Nya iaitu Al-Quran. Mereka juga diingatkan beramal soleh dan menjauhi keburukan kerana Dia akan membalas segala amalan yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya.

Ayat 9

يَوْمَ يَجْمَعُكُمْ لِيَوْمِ ٱلْجَمْعِ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ ٱلتَّغَابُنِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ وَيَعْمَلْ صَـٰلِحًا يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّـَٔاتِهِۦ وَيُدْخِلْهُ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

(Ingatlah) hari (ketika) Allah menghimpunkan kamu pada Hari Perhimpunan (untuk dihisab), itulah hari dinampakkan kesalahan-kesalahan. Dan siapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, nescaya Allah akan menutup kesalahan-kesalahannya dan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.

Hari Kiamat dinamakan juga dengan Hari Perhimpunan (At-Taghabun). Pada hari itu semua manusia daripada yang terawal hingga yang terakhir dihimpunkan oleh Allah Swt pada suatu tempat. Pada ketika itu suara penyeru dapat didengar dan mereka semua dapat melihatnya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“………………..iaitu Hari Kiamat itu adalah suatu hari yang semua manusia dikumpulkan (untuk dihisab), dan hari itu adalah suatu hari yang disaksikan (oleh segala makhluk).”

Hud 11:103

“Katakanlah, ‘Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu dan kemudian, pasti semua akan dikumpulkan pada waktu tertentu, pada hari yang sudah termaklum.’”

Al-Waqi’ah 56: 49-50

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa ٱلتَّغَابُنِ (At-Taghabun) merupakan salah satu nama lain bagi Hari Kiamat. Dikatakan demikian adalah kerana ٱلغَبُنِ bermaksud lalai, penipuan dan perbezaan. Pada saat itu, ahli syurga membuatkan ahli neraka berasa iri hati. Hal yang sama dikatakan oleh Qatadah dan Mujahid.

Muqatil ibnu Hayyan mengatakan bahawa tiada iri hati yang lebih besar daripada iri hati yang dirasakan oleh ahli neraka ketika ahli syurga dimasukkan ke dalam syurga. Maka pada saat itulah ahli neraka menyedari kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan di dunia dahulu.

Allah Swt akan menghapuskan kesalahan-kesalahan orang-orang yang beriman kepada-Nya dan mengerjakan amal soleh, serta memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar. Semoga kita semua termasuk dalam golongan ini. Allahumma amiin!

Ayat 10

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ

Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan keterangan-keterangan Kami, mereka itulah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Allah Swt menyatakan balasan bagi orang-orang kafir adalah dengan dimasukkan mereka ke dalam neraka dan mereka kekal di dalamnya. Itulah seburuk-buruk tempat kembali iaitu dalam Neraka Jahannam.