Surah 64: At-Taghabun (5 – 6)

Umat Terdahulu Ditimpa Azab kerana Mendustakan Para Rasul

Surah 64: At-Taghabun (5 – 6)


Ayat 5

أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَبَؤُا۟ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَبْلُ فَذَاقُوا۟ وَبَالَ أَمْرِهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Apakah belum datang kepadamu (wahai orang-orang kafir) berita orang-orang kafir terdahulu? Maka mereka telah merasakan akibat yang buruk daripada perbuatan mereka dan mereka memperoleh azab yang pedih.

Allah Swt mengingatkan orang-orang kafir tentang apa yang telah menimpa umat-umat terdahulu seperti kaum ‘Aad, Thamud dan penduduk Madyan yang telah ditimpa azab akibat daripada tindakan mereka yang mengingkari kebenaran.

Sesungguhnya mereka mendapat seksaan dan penghinaan di dunia. Manakala di akhirat kelak mereka akan mendapat azab yang lebih pedih lagi.

Ayat 6

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُۥ كَانَت تَّأْتِيهِمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَقَالُوٓا۟ أَبَشَرٌ يَهْدُونَنَا فَكَفَرُوا۟ وَتَوَلَّوا۟ ۚ وَّٱسْتَغْنَى ٱللَّهُ ۚ وَٱللَّهُ غَنِىٌّ حَمِيدٌ

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan lalu mereka berkata, “Apakah manusia yang akan memberi petunjuk kepada kami?” Lalu mereka ingkar dan berpaling, dan Allah tidak memerlukan (mereka). Dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Kemudian Allah Swt menjelaskan bahawa kaum terdahulu ditimpakan azab ke atas mereka adalah kerana mereka menentang para rasul dan mendustakan kebenaran serta tidak mempercayai adanya Hari Pembalasan.

Mereka menganggap tidak mungkin risalah Allah Swt berada di tangan manusia yang sama seperti mereka. Padahal para rasul yang diutuskan kepada mereka itu membawa hujjah-hujjah, dalil-dalil serta bukti-bukti yang nyata bahawa mereka adalah para utusan Allah Swt yang diutuskan kepada mereka.

Oleh itu apabila disampaikan kepada mereka, mereka mendustakan kebenaran, mengejeknya dan berpaling serta mengingkarinya. Sesungguhnya Allah Swt tidak memerlukan mereka kerana Dia Maha Kaya dan Maha Terpuji dalam semua perbuatan-Nya yang menjadi bukti atas kesempurnaan, kemuliaan dan keindahan-Nya.