Perintah untuk Bertakwa kepada Allah Swt dan Anjuran Bersedekah
Surah 64: At-Taghabun (16 – 18)
Ayat 16
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ وَٱسْمَعُوا۟ وَأَطِيعُوا۟ وَأَنفِقُوا۟ خَيْرًا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu. Dan sesiapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.
Allah Swt memerintahkan orang-orang beriman agar bertakwa kepada-Nya dalam melaksanakan hukum-hukum-Nya dengan mengikuti apa yang disampaikan oleh rasul-Nya dan mengeluarkan sebahagian harta mereka yang dikurniakan-Nya di jalan kebaikan dan tidak bersikap kedekut. Mereka diperintahkan melaksanakan perkara ini mengikut kesanggupan masing-masing.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Apabila saya memerintahkan sesuatu kepada kalian, maka lakukanlah semampunya dan apa yang saya larang, maka jauhilah.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya berinfak untuk kemaslahatan ummah dan agama adalah lebih baik dan merupakan kebahagiaan bagi diri mereka di dunia dan di akhirat.
Sesiapa yang dipelihara oleh Allah Swt daripada penyakit kedekut, lalu dia berinfak di jalan-Nya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.
Ayat 17
إِن تُقْرِضُوا۟ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَـٰعِفْهُ لَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۚ وَٱللَّهُ شَكُورٌ حَلِيمٌ
Jika kamu memberi pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya Allah melipatgandakan (pembalasannya) kepadamu dan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Mensyukuri (membalas kebaikan) lagi Maha Penyantun.
Ayat ini merupakan ayat motivasi kepada orang-orang yang beriman agar berinfak di jalan Allah. Allah Swt menyebutkannya sebagai pinjaman kerana kebiasaannya pinjaman akan dikembalikan semula kepada pemberi pinjaman.
Allah Swt juga berjanji untuk melipatgandakan balasan kepada orang-orang yang berinfak serta memberikan tambahan yang lain iaitu pengampunan terhadap dosa-dosa. Inilah antara sifat-sifat-Nya, Yang Maha Penyayang dan Maha Mensyukuri dengan memberikan balasan yang berganda-ganda banyaknya. Dia juga Maha Penyantun yang tidak akan menyegerakan seksaan-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Siapa yang memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya pada jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak………….”
Al-Baqarah 2:245
Ayat 18
عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Allah Swt menutup surah ini dengan menyatakan bahawa sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala apa yang tersembunyi mahupun yang jelas kelihatan. Dia Maha Perkasa memerintah kerajaan-Nya dan Maha Bijaksana dalam mengatur urusan makhluk-Nya. Sesungguhnya Allah Swt meletakkan sesuatu pada tempat benar dan selayaknya.