Setiap Ketetapan yang Berlaku Adalah dengan Kehendak Allah Swt
Surah 64: At-Taghabun (11)
Ayat 11
مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ
Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah dan siapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.
Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada seorang manusia pun yang ditimpa musibah pada dirinya, anak atau hartanya melainkan semua itu adalah ketentuan dan takdir yang telah ditetapkan-Nya.
Oleh itu, setiap orang yang beriman dengan Allah Swt dan meyakini bahawa setiap musibah yang berlaku itu merupakan qadha dan qadar yang telah ditentukan-Nya, nescaya dia dikurniakan petunjuk agar bersabar, redha dan tabah dalam meneguhkan keimanannya. Maka jadilah dia seorang yang bersyukur apabila mendapat nikmat, sabar apabila diuji dan memaafkan apabila dizalimi.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”
Al-Hadid 57:22
Daripada Suhaib Ar-Rumi ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh mengagumkan orang yang beriman itu. Tidak ada satu ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah kepadanya, melainkan ketetapan itu sentiasa menjadi kebaikan kepadanya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Sebaliknya jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu pun menjadi kebaikan kepadanya. Keadaan ini hanya bagi orang yang beriman.”
(HR. Muslim)