Surah 64: At-Taghabun (1 – 4)

Kekuasaan Allah Swt Meliputi Segala Sesuatu

Surah 64: At-Taghabun (1 – 4)


Ayat 1

يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۖ لَهُ ٱلْمُلْكُ وَلَهُ ٱلْحَمْدُ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Sentiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Bagi-Nya-lah semua kerajaan dan bagi-Nya-lah segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Surah ini dimulakan dengan kata-kata tasbih dan pujian semua makhluk yang mensucikan Allah Swt daripada sebarang sifat kekurangan dan kecacatan.

Sesungguhnya Allah Swt adalah pencipta seluruh makhluk dan segala kekuasaan dan kerajaan adalah milik-Nya semata-mata.

Ayat 2

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ فَمِنكُمْ كَافِرٌ وَمِنكُم مُّؤْمِنٌ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Dia-lah yang menciptakan kamu, maka di antara kamu ada yang kafir dan di antara kamu ada yang beriman. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Allah Swt menjelaskan sebahagian daripada bukti kekuasaan-Nya iaitu:

▪️  Penciptaan manusia.

Allah Swt telah menciptakan manusia dalam bentuk seperti yang Dia kehendaki. Namun ada sebahagian daripada mereka beriman dan ada pula yang kafir berdasarkan pilihan dan usaha mereka sendiri.

Allah Swt Maha Melihat bermaksud Dia-lah Yang Maha Memahami siapa yang berhak mendapat petunjuk dan siapa yang berhak mendapat kesesatan. Dia juga Maha Menyaksikan semua amal perbuatan hamba-hamba-Nya, dan kelak Dia akan memberikan pembalasan terhadap mereka atas semuanya itu dengan pembalasan yang sempurna.

Ayat 3

خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ ۖ وَإِلَيْهِ ٱلْمَصِيرُ

Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar. Dia membentuk rupamu dan memperelokkan rupamu itu dan hanya kepada-Nya tempat kembali(mu).

▪️  Penciptaan alam semesta semuanya dengan hikmah yang agung.

Allah Swt menciptakan langit dan bumi dengan penciptaan yang sebenar-benarnya, jauh daripada perkara yang sia-sia, main-main atau batil. Dia telah membentuk manusia dari dalam rahim dan memperelokkan ciptaan-Nya serta menjadikannya indah sehingga menjadi makhluk yang paling sempurna di atas muka bumi. Oleh itu, Dia-lah yang paling layak disyukuri dan dipuji oleh para hamba-Nya.

Sesungguhnya hanya kepada Allah Swt tempat kembali. Dia akan membalas setiap diri manusia atas apa yang telah mereka lakukan ketika di dunia dahulu.

Ayat 4

يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُسِرُّونَ وَمَا تُعْلِنُونَ ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

▪️  Ilmu yang menyeluruh.

Allah Swt menegaskan bahawa Dia Maha Mengetahui segala sesuatu termasuklah apa yang disembunyikan oleh para hamba-Nya seperti niat, bisikan hati, rahsia dan keinginan mereka, ataupun apa yang mereka nampakkan seperti perbuatan dan perkataan mereka. Hanya bagi-Nya segala pujian dan kebaikan. Dia-lah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Wahai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat derhaka) terhadap Rabbmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa sahaja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.”

Al-Infitar 82:6-8

“Allah-lah yang menjadikan bumi bagi kamu tempat menetap dan langit sebagai atap, dan membentuk kamu lalu memperelokkan rupamu serta memberi kamu rezeki dengan sebahagian yang baik-baik. Yang demikian itu adalah Allah Rabbmu, Maha Agung Allah, Rabb seluruh alam.”

Ghafir 40:64