Surah 63: Al-Munafiqun (5 – 8)

Antara Sifat-sifat Orang Munafik

Surah 63: Al-Munafiqun (5 – 8)


Ayat 5

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا۟ يَسْتَغْفِرْ لَكُمْ رَسُولُ ٱللَّهِ لَوَّوْا۟ رُءُوسَهُمْ وَرَأَيْتَهُمْ يَصُدُّونَ وَهُم مُّسْتَكْبِرُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah (bertaubat), agar Rasulullah memintakan keampunan bagi kamu,” mereka menggeleng-gelengkan kepala mereka dan kamu lihat mereka berpaling sedang mereka menyombongkan diri.

Allah Swt menjelaskan bukti-bukti kebohongan orang-orang munafik dan sebab-sebab kemurkaan-Nya terhadap mereka, antaranya:

Pertama

Ini berlaku dalam satu peristiwa ketika ketua munafik iaitu ‘Abdullah bin Ubay dan kawan-kawannya telah menghasut kaum Ansar agar tidak membantu Rasulullah saw dan kaum Muhajirin dalam satu peperangan sehingga mereka meninggalkan baginda.

‘Abdullah bin Ubay juga mengucapkan seandainya mereka dan kaum Ansar telah kembali ke Madinah pastilah orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari sana. Hal ini telah didengar oleh Zaid bin Arqam ra lalu beliau menyampaikannya kepada Rasulullah saw. Apabila baginda memanggil ‘Abdullah bin Ubay, dia telah menafikannya dengan bersumpah atas nama Allah Swt bahawa dia tidak mengucapkan perkataan tersebut lalu baginda mempercayainya.

Namun Allah Swt membongkar rahsia ‘Abdullah bin Ubay yang cuba melaga-lagakan kaum Ansar dan Muhajirin serta niat buruknya untuk mengeluarkan Rasulullah saw dari Madinah. ‘Abdullah bin Ubay dan teman-temannya telah dinasihati oleh kaum kerabat mereka yang beriman agar berjumpa Rasulullah saw untuk mengakui kesilapan dan meminta baginda mendoakan keampunan kepada Allah. Namun mereka tidak menerima nasihat tersebut. Ini kerana sifat sombong dan angkuh yang ada pada mereka. Mereka mengetahui kebenaran yang dibawa oleh baginda tetapi tetap menolaknya, semoga laknat Allah menimpa mereka.

Ayat 6

سَوَآءٌ عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ لَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَهُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ

Sama sahaja bagi mereka, kamu mintakan ampunan atau tidak kamu mintakan ampunan bagi mereka Allah tidak akan sekali-kali mengampun mereka Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Ayat ini merupakan satu penghinaan daripada Allah Swt kepada kaum munafik. Dia menegaskan bahawa sekiranya Rasulullah saw memohon keampunan buat mereka maka ia tidaklah memberi manfaat dan merupakan pekerjaan yang sia-sia.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Engkau memohonkan ampun bagi mereka atau tidak engkau mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama sahaja). Meskipun engkau memohonkan ampun bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sekali-kali tidak akan memberi ampunan kepada mereka. Yang demikian itu adalah kerana mereka kafir kepada Allah dan rasul-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.”

At-Taubah 9:80

Ayat 7

هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُوا۟ عَلَىٰ مَنْ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّوا۟ ۗ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ لَا يَفْقَهُونَ

Merekalah orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar), “Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka beredar (meninggalkan Rasulullah).” Padahal kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami.

Kedua

Inilah hasutan ‘Abdullah bin Ubay kepada orang-orang Ansar agar menghentikan bantuan kepada Rasulullah saw dan kaum Muhajirin. Walaupun hal ini dirahsiakan dan dinafikan di hadapan baginda tetapi Allah Swt membuka rahsia itu kepada seluruh manusia sebagaimana yang telah dihuraikan dalam ayat 5 sebelum ini.

Kemudian Allah Swt membantah perbuatan mereka dengan menyatakan bahawa khazanah langit dan bumi ini adalah milik mutlak-Nya dan Dia-lah yang memberi rezeki kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki dan menghalangnya daripada siapa yang Dia kehendaki. Namun orang-orang munafik tidak memahaminya kerana jiwa mereka telah gelap dan hati mereka telah sakit.

Ayat 8

يَقُولُونَ لَئِن رَّجَعْنَآ إِلَى ٱلْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ ٱلْأَعَزُّ مِنْهَا ٱلْأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ ٱلْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَـٰكِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Mereka berkata, “Demi sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari padanya.” Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi rasul-Nya dan bagi orang-orang beriman, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui.

Ketiga

Telah berlaku peristiwa ketika Rasulullah saw mendapat tahu bahawa Bani Mustalik di bawah pimpinan Al-Harith bin Abi Dharar iaitu ayah kepada Juwairiyah (setelah peperangan ini, beliau menjadi isteri baginda) telah berkumpul untuk memerangi baginda. Baginda dan kaum muslimin segera keluar untuk memerangi mereka sehingga baginda menemui mereka di tempat mata air yang disebut Al-Muraisii’. Dalam peperangan itu, Bani Mustalik telah ditewaskan sehingga baginda dapat menawan anak-anak mereka, kaum wanita dan harta benda mereka dan menyerahkannya kepada orang mukmin.

Pada peperangan inilah berlaku persengketaan antara dua orang daripada kalangan Ansar dan Muhajirin tentang masalah perigi. Ketika itu orang Muhajirin telah menendang orang Ansar, lalu ‘Abdullah bin Ubay berkata dengan ucapan di atas yang bermaksud mereka (orang-orang munafik dan kaum Ansar) adalah orang-orang mulia dan kuat yang akan mengeluarkan orang-orang hina dan lemah iaitu Rasulullah saw dan para sahabat (kaum Muhajirin) dari Madinah. Padahal orang-orang munafik tidak menyedari bahawa semua kekuatan adalah milik Allah Swt, rasul-Nya dan orang-orang beriman. Ini bermakna kejayaan, kemenangan dan kemuliaan tidak akan sekali-kali diberikan kepada orang-orang munafik, orang-orang musyrik dan orang-orang kafir.