Surah 63: Al-Munafiqun (1 – 4)

Sikap Orang Munafik yang Tidak Menentu

Surah 63: Al-Munafiqun (1 – 4)


Ayat 1

إِذَا جَآءَكَ ٱلْمُنَـٰفِقُونَ قَالُوا۟ نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُۥ وَٱللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ لَكَـٰذِبُونَ

Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata, “Kami mengakui, bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah.” Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar rasul-Nya dan Allah menyaksi bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar pendusta.

Allah Swt menyatakan tentang sikap orang-orang munafik, iaitu ‘Abdullah bin Ubay dan teman-temannya yang ikut hadir dalam majlis Rasulullah saw.

Mereka mengaku bahawa Rasulullah saw adalah utusan Allah Swt dan mengucapkan perkataan yang baik-baik terhadap agama Islam. Mereka menampakkan seperti mereka benar-benar membuat pengakuan, padahal itu adalah ucapan lisan semata-mata yang tidak membenarkan dengan hati.

Sesungguhnya Allah Swt mengetahui bahawa Rasulullah saw adalah benar seorang rasul seperti yang orang-orang munafik ucapkan dan Dia juga mengetahui bahawa semua ucapan mereka itu adalah dusta belaka.

Ayat 2

ٱتَّخَذُوٓا۟ أَيْمَـٰنَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُمْ سَآءَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalang (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

Allah Swt menyatakan orang-orang munafik ini memanfaatkan sumpah mereka untuk menegaskan apa yang mereka ucapkan dan meyakinkan tentang kebenaran, ketulusan dan kesungguhan ucapan mereka.

Sesungguhnya orang-orang munafik menjadikan sumpah-sumpah palsu mereka di hadapan Rasulullah saw dan orang-orang beriman sebagai benteng untuk menyelamatkan diri mereka, isteri-isteri dan juga keturunan mereka daripada dibunuh atau ditawan dan harta mereka dirampas.

Namun sumpah palsu itu telah menghalang diri mereka sendiri dan juga orang lain yang mengikuti mereka daripada jalan Allah Swt. Ini kerana mereka menampakkan keimanan tetapi pada hakikatnya mereka kufur kepada Allah Swt dan rasul-Nya.

Ayat ini menunjukkan dua kejahatan besar yang dilakukan oleh orang-orang munafik iaitu:

▪️  Bersumpah dengan sumpah palsu.

▪️  Menghalang orang lain untuk masuk Islam dan berjihad pada jalan Allah Swt.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan betapa buruknya apa yang telah mereka kerjakan iaitu pura-pura beriman untuk menyelamatkan diri tetapi sebenarnya berusaha menghalang masyarakat agar tidak beriman.

Ayat 3

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ ءَامَنُوا۟ ثُمَّ كَفَرُوا۟ فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ

Yang demikian itu adalah kerana bahawa sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati, oleh itu mereka tidak dapat memahami.

Oleh sebab orang-orang munafik ini mengaku beriman secara zahir tetapi kafir secara batin, maka Allah Swt telah menutup hati mereka sehingga mereka tidak lagi dapat melihat kepentingan keimanan kepada manusia.

Ayat 4

وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ ۖ وَإِن يَقُولُوا۟ تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ ۖ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ ۖ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ ۚ هُمُ ٱلْعَدُوُّ فَٱحْذَرْهُمْ ۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُ ۖ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka menyangka bahawa tiap-tiap teriakan yang kuat ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka, semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?

Allah Swt menerangkan keadaan orang-orang munafik ini yang menyebabkan ada di kalangan masyarakat terpedaya dan tertipu.

Mereka memiliki penampilan yang menarik dan mengagumkan serta fasih berkata-kata sehingga orang yang mendengar pembicaraan mereka akan terpesona. Padahal kenyataannya mereka sangat lemah, ragu-ragu dan pengecut. Mereka seolah-olah seperti batang kayu yang tersandar. Ini kerana mereka memiliki tubuh yang tinggi dan gagah perkasa namun otak mereka kosong tidak memahami kebenaran.

Mereka merasakan setiap teriakan iaitu ungkapan amar makruf dan nahi mungkar yang diucapkan oleh Rasulullah saw dan orang-orang beriman ditujukan kepada mereka kerana rasa takut dan cemas yang tertanam dalam hati mereka akibat daripada kekufuran dan kebencian kepada Islam dan kaum muslimin yang mereka sembunyikan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Mereka bakhil terhadapmu. Apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbelalak seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk membuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan amalannya. Demikian itu mudah bagi Allah.”

Al-Ahzab 33:19

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw berwaspada terhadap orang-orang munafik kerana sebenarnya hati mereka bersama dengan musuh-musuh baginda dan mereka menunggu-nunggu kehancuran baginda. Sesungguhnya Allah Swt pasti akan mengazab mereka pada Hari Kiamat kelak kerana berpaling dan ingkar terhadap-Nya dan rasul-Nya. Hal ini disebabkan hati dan pendengaran mereka telah tertutup daripada kebenaran.