Sikap Orang Yahudi yang Tidak Mengamalkan Taurat
Surah 62: Al-Jumu’ah (5 -8)
Ayat 5
مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُوا۟ ٱلتَّوْرَىٰةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا ۚ بِئْسَ مَثَلُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan (dipertanggungjawabkan dan ditugaskan) kepadanya Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas) itu samalah seperti keldai yang memikul (membawa) kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
Allah Swt mencela orang-orang Yahudi yang telah diberikan kitab Taurat dan dipertanggungjawabkan kepada mereka untuk diamalkan, tetapi mereka tidak melaksanakan perintah-Nya dan tidak beriman kepada Rasulullah saw padahal mereka telah diperintahkan untuk beriman dan mengikutinya apabila baginda telah diutuskan.
Oleh itu, mereka diumpamakan seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal di atas belakangnya tetapi hanya sekadar membawanya sahaja tanpa mengetahui kebaikan dan memahami isi kandungannya.
Demikianlah keadaannya orang-orang Yahudi yang telah diberikan kitab Taurat kepada mereka, lalu mereka menghafal lafaznya sahaja dan mereka sama sekali tidak mahu memahaminya serta tidak mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya.
Bahkan mereka mentakwilkan, menyelewengkan dan mengubah isi kandungannya. Mereka sebenarnya lebih teruk daripada keldai kerana keldai itu memang tidak mampu berfikir, sedangkan mereka sebenarnya mampu berfikir tetapi tidak mahu memahaminya. Oleh itu, Allah Swt tidak akan memberi petunjuk kepada mereka disebabkan kezaliman dan kekufuran mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”
Al-A’raf 7:179
Ayat 6
قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ هَادُوٓا۟ إِن زَعَمْتُمْ أَنَّكُمْ أَوْلِيَآءُ لِلَّهِ مِن دُونِ ٱلنَّاسِ فَتَمَنَّوُا۟ ٱلْمَوْتَ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai orang-orang yang menganut agama Yahudi, jika kamu mendakwakan bahawa sesungguhnya kamu sahajalah kekasih Allah bukan manusia-manusia yang lain, maka harapkanlah kematianmu, jika kamu adalah orang-orang yang benar.”
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada orang-orang yang menganut agama Yahudi, jika mereka mengaku bahawa mereka berada dalam petunjuk, umat yang dicintai-Nya dan syurga hanya layak untuk mereka manakala baginda dan para shahabatnya berada dalam kesesatan, maka harapkanlah kematian sekiranya pengakuan mereka benar. Ini kerana kematian itu adalah menuju negeri akhirat agar mereka akan hidup senang, tenang, istirahat daripada kesusahan dan ujian dunia.
Ayat 7
وَلَا يَتَمَنَّوْنَهُۥٓ أَبَدًۢا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِٱلظَّـٰلِمِينَ
Mereka tidak akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka lakukan dengan tangan mereka sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang Yahudi tidak akan pernah mengharapkan kematian. Ini kerana mereka mengetahui segala dosa yang telah mereka lakukan akan dibalas dengan azab Allah.
Hal ini telah disebutkan dalam surah Al-Baqarah iaitu tentang mubahalah dengan orang-orang Yahudi iaitu masing-masing yang berbeza pendapat, berdoa kepada Allah Swt dengan bersungguh-sungguh agar Dia membinasakan pihak yang berdusta.
Ini bermaksud mereka meminta kebinasaan daripada Allah Swt ke atas diri mereka kerana mereka telah berdusta. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui perbuatan yang telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Dia akan membalas mereka dengan azab neraka kerana kezaliman mereka sendiri.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika kamu (menganggap bahawa) kampung akhirat (syurga) itu khusus untukmu sahaja di sisi Allah, bukan untuk orang lain, maka harapkanlah kematian(mu), jika kamu memang benar. Dan sekali-kali mereka tidak akan mengingini kematian itu selama-lamanya, kerana kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh tangan mereka (sendiri), dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang aniaya. Dan sungguh kamu akan mendapati mereka (orang-orang Yahudi), manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) daripada orang-orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksaan. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.’
Al-Baqarah 2:94-96
Ayat 8
قُلْ إِنَّ ٱلْمَوْتَ ٱلَّذِى تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُۥ مُلَـٰقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad), “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”
Selanjutnya, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menyatakan bahawa kematian yang mereka hindari dan takut untuk menghadapinya, benar-benar akan mereka tempuhi walau di mana pun mereka berada.
Kematian akan menjemput mereka dan akan dikembalikan kepada Allah Yang Maha Mengetahui hal-hal yang ghaib dan yang nyata. Dia mengetahui apa yang dirahsiakan oleh hamba-hamba-Nya dan apa yang mereka nampakkan. Di akhirat kelak Dia akan memperlihatkan satu persatu perbuatan mereka dan memberi balasan yang adil sehingga tiada seorang pun akan teraniaya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh…………..”
An-Nisa’ 4:78