Surah 62: Al-Jumu’ah (1 – 4)

Pengutusan Nabi Muhammad saw Adalah Kurniaan-Nya kepada Umat Manusia

Surah 62: Al-Jumu’ah (1 – 4)


Ayat 1

يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ٱلْمَلِكِ ٱلْقُدُّوسِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ

Sentiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Raja, Yang Maha Suci, yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah Swt memulai surah ini dengan menyatakan bahawa seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi, semuanya sentiasa bertasbih kepada-Nya. Dia memiliki sifat sempurna yang terhindar daripada segala kekurangan. Pengagungan Allah yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana telah dijelaskan dalam surah-surah sebelum ini.

Ayat 2

هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلْأُمِّيِّـۧنَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ

Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang rasul (Muhammad) di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, membersihkan mereka dan mengajarkan mereka kitab (Al-Quran) dan hikmah (As-Sunnah) dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengutuskan seorang rasul kepada bangsa Arab yang buta huruf daripada kalangan mereka sendiri iaitu Nabi Muhammad saw.

Kaum Quraisy sebelum itu hidup dalam kesesatan yang nyata. Lalu Allah Swt mengutuskan Nabi Muhammad saw untuk mengajar tentang ayat-ayat-Nya yang terkandung dalam Al-Quran dan pemahaman tentang agama.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……………Dan katakanlah kepada orang-orang yang telah diberi kitab dan kepada orang-orang yang ummi, “Apakah kamu (mahu) masuk Islam.” Jika mereka masuk Islam, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk, dan jika mereka berpaling, maka kewajipan engkau hanyalah menyampaikan (ayat-ayat Allah). Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.”

Ali ‘Imran 3:20

Ayat 3

وَءَاخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا۟ بِهِمْ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka dan Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah Swt juga telah mengutuskan Nabi Muhammad saw kepada umat dan bangsa lain yang datang selepas zaman sahabat sehinggalah ke Hari Kiamat.

Ayat 4

ذَٰلِكَ فَضْلُ ٱللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلْفَضْلِ ٱلْعَظِيمِ

Demikianlah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah mempunyai kurniaan yang besar.

Keistimewaan yang diberikan kepada penghulu sekalian nabi iaitu Nabi Muhammad saw dan diutuskan kepada seluruh umat merupakan kurniaan Allah Swt dan diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki. Dia memiliki kurniaan yang besar kepada seluruh makhluk-Nya sama ada di dunia mahupun di akhirat.