Cahaya Islam Tetap Akan Menang
Surah 61: As-Saff (7 – 9)
Ayat 7
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ وَهُوَ يُدْعَىٰٓ إِلَى ٱلْإِسْلَـٰمِ ۚ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.
Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada orang yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap-Nya dan mengadakan bagi-Nya tandingan. Padahal mereka telah diajak untuk mentauhidkan dan mengikhlaskan amalan hanya untuk-Nya. Oleh itu, Dia tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang menzalimi diri sendiri dengan kekafiran mereka.
Ayat 8
يُرِيدُونَ لِيُطْفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفْوَٰهِهِمْ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْكَـٰفِرُونَ
Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah (tetap) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang kafir ini berusaha sedaya upaya mereka untuk menghalang dakwah Islam dan menyingkirkan Islam dengan mulut-mulut mereka.
Mereka berusaha menolak kebenaran dengan kebatilan iaitu dengan berdusta atas nama Allah Swt dan melemparkan tuduhan bahawa Rasulullah saw adalah seorang penyihir dan Al-Quran berisi ajaran sihir.
Perumpamaan mereka ini sama seperti orang yang ingin memadamkan cahaya matahari dengan mulut mereka. Sebagaimana perkara itu mustahil dapat dilakukan, begitulah pula untuk memadamkan cahaya (agama) Allah dengan ucapan-ucapan mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Orang-orang Yahudi berkata, “‘Uzair itu putera Allah,” dan orang-orang Nasrani berkata, “Al-Masih itu putera Allah.” Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka, bagaimana mereka sampai berpaling?”
At-Taubah 9:30
Ayat 9
هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلْهُدَىٰ وَدِينِ ٱلْحَقِّ لِيُظْهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْمُشْرِكُونَ
Dia-lah yang mengutus rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.
Allah Swt menerangkan cara Dia menyempurnakan agama-Nya iaitu dengan mengutuskan Nabi Muhammad saw yang membawa bersama dengannya Al-Quran dan agama yang benar mengatasi agama-agama lain di dunia ini.
Janji Allah Swt ditunaikan sehingga Islam menjadi agama yang unggul. Dia menyempurnakan agama-Nya meskipun orang-orang musyrikin Mekah membencinya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dia-lah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan ke atas semua agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”
At-Taubah 9:33
“Dia-lah yang mengutus rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi.”
Al-Fath 48:28