Kesabaran Para Nabi dalam Menghadapi Tentangan Umatnya
Surah 61: As-Saff (5 – 6)
Ayat 5
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦ يَـٰقَوْمِ لِمَ تُؤْذُونَنِى وَقَد تَّعْلَمُونَ أَنِّى رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيْكُمْ ۖ فَلَمَّا زَاغُوٓا۟ أَزَاغَ ٱللَّهُ قُلُوبَهُمْ ۚ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Wahai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.
Allah Swt mengingatkan umat Nabi Muhammad saw untuk tidak menentang dan melanggar perintah baginda sebagaimana umat Nabi Musa as melakukan penentangan kepada rasul mereka.
Ayat ini juga merupakan ayat tasliyah iaitu untuk menenangkan hati Rasululluh saw atas apa yang baginda alami daripada tindakan dan penerimaan kaum baginda terhadap seruannya, sekali gus terkandung perintah untuk bersabar menghadapi tentangan kaumnya, sebagaimana sabda baginda:
“Semoga Allah merahmati Musa kerana dia telah disakiti lebih dari ini dan dia tetap bersabar.”
(HR. Al-Bukhari)
Tatkala orang-orang kafir itu tidak mahu mengikuti kebenaran padahal mereka mengetahuinya, maka Allah Swt memalingkan hati mereka daripada petunjuk dan menanamkan dalam hati mereka keraguan dan kehinaan. Hal ini menjadi sunnatullah terhadap orang-orang yang telah dibimbing kepada kebenaran tetapi tetap menolaknya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al-Quran) pada permulaannya, dan Kami biarkan mereka bergelumang dalam kesesatan mereka yang sangat.”
Al-An’am 6:110
Ayat 6
وَإِذْ قَالَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ إِنِّى رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيْكُم مُّصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَىَّ مِنَ ٱلتَّوْرَىٰةِ وَمُبَشِّرًۢا بِرَسُولٍ يَأْتِى مِنۢ بَعْدِى ٱسْمُهُۥٓ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَآءَهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ قَالُوا۟ هَـٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Dan (ingatlah) ketika ‘Isa ibnu Maryam berkata, “Wahai Bani Israil, Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad).” Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, “Ini adalah sihir yang nyata.”
Dalam ayat ini dinyatakan pula bahawa Bani Israil bukan sahaja tidak taat dan menyakiti Nabi Musa as, malah mereka juga melakukan hal yang sama kepada Nabi ‘Isa as. Ayat ini merupakan ayat tasliyah iaitu untuk menghiburkan hati Rasulullah saw terhadap perlakuan buruk orang-orang Yahudi dan orang-orang kafir baik daripada kalangan kaumnya sendiri (Quraisy) mahu pun daripada pihak lain.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan sesungguhnya rasul-rasul sebelum engkau pun telah didustakan, akan tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sehingga datang pertolongan Kami kepada mereka. Dan tiada yang dapat mengubah kalimah-kalimah (ketetapan) Allah. Dan sesungguhnya telah datang kepadamu sebahagian daripada berita rasul-rasul itu.”
Al-An’am 6:34
Nabi ‘Isa as menyatakan kepada Bani Israil bahawa Taurat telah menyampaikan berita gembira tentang diutuskan baginda dan dirinya adalah bukti kepada berita gembira tentang akan diutuskan oleh Allah Swt seorang rasul selepas baginda. Rasul tersebut ialah nabi yang bernama Ahmad (Muhammad). Manakala Nabi ‘Isa putera Maryam adalah penutup nabi-nabi daripada Bani Israil.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jubair bin Muth’im beliau berkata bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya aku memiliki banyak nama. Aku adalah Muhammad, aku juga Ahmad dan aku adalah Al-Maahi (yang menghapuskan) denganku Allah menghapuskan kekufuran, dan aku adalah Al-Haasyir (yang mengumpulkan), seluruh manusia akan dikumpulkan (pada Hari Kiamat) di hadapanku, dan aku adalah Al-‘Aqib (penutup iaitu penutup para nabi dan rasul).”
(HR. Al-Bukhari)