Perintah supaya Menjadi Penolong Agama-Nya
Surah 61: As-Saff (14)
Ayat 14
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوٓا۟ أَنصَارَ ٱللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّـۧنَ مَنْ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۖ قَالَ ٱلْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ۖ فَـَٔامَنَت طَّآئِفَةٌ مِّنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَكَفَرَت طَّآئِفَةٌ ۖ فَأَيَّدْنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ عَلَىٰ عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا۟ ظَـٰهِرِينَ
Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana ‘Isa Ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia, “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata, “Kamilah penolong-penolong agama Allah,” lalu segolongan daripada Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir. Maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.
Pada akhir surah ini, Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman supaya menjadi penolong-Nya. Hakikatnya Dia tidak memerlukan pertolongan manusia, Maha Suci Dia daripada sifat kekurangan tetapi Dia menyeru di kalangan hamba-hamba-Nya yang sanggup menerima tanggungjawab ini dengan menyebarkan agama-Nya walau di manapun mereka berada.
Mereka juga diseru supaya terus berjuang membela agama-Nya serta mentaati perintah-Nya dan rasul-Nya, sebagaimana para pengikut setia (Al-Hawariyyun) Nabi ‘Isa putera Maryam mematuhi seruan baginda.
Rasulullah saw bersabda:
“Siapakah yang akan menolongku sehingga aku dapat menyampaikan risalah Rabbku kerana orang-orang Quraisy telah menentangku untuk melakukannya?”
(HR. Ahmad)
Ketika Rasulullah saw berhijrah bersama-sama para sahabat, Allah Swt menetapkan kaum Aus dan Khazraj, penduduk Madinah sebagai penolong baginda. Mereka membai’at baginda, bahawa mereka akan melindungi baginda daripada gangguan bangsa Arab dan lain-lain. Sesungguhnya mereka menunaikan janji tersebut.
Oleh itu, mereka diberi nama oleh Allah Swt dan rasul-Nya dengan sebutan Ansar (penolong). Semoga Allah meredhai mereka. Allahumma aamiin.
Maksud “lalu segolongan daripada Bani Israil beriman dan segolongan lagi kafir” ialah ketika Nabi ‘Isa putera Maryam menyampaikan risalah Allah kepada kaumnya yang juga dibantu oleh para pengikut setianya, ada segolongan daripada Bani Israil yang mendapat petunjuk dengan apa yang dibawanya. Namun ada juga sebahagiannya yang tersesat. Mereka mengingkari kenabiannya serta menuduh Nabi ‘Isa as dan ibunya Maryam dengan tuduhan-tuduhan yang keji. Mereka itulah orang-orang Yahudi, semoga Allah melaknat mereka sepanjang zaman sehingga Hari Kiamat. Ada juga segolongan pengikutnya yang bersikap berlebih-lebihan terhadap dirinya dengan mengangkat dirinya melebihi batas kenabian yang telah diberikan oleh Allah Swt. Kemudian mereka terpecah menjadi beberapa kelompok. Ada di antara mereka mengatakan, Nabi ‘Isa as adalah anak Allah. Sebahagian yang lain pula mengatakan bahawa baginda termasuk salah satu daripada triniti (bapa, anak dan ruh Al-Qudus). Bahkan ada juga yang mengatakan bahawa baginda itulah Allah. Semuanya ini telah diterangkan dalam Surah An-Nisa’ ayat 171.
Begitu juga pada zaman Rasulullah saw, ketika baginda membuat tawaran menjadi penolong Allah Swt. ada di kalangan mereka yang menerima dan ada yang menolaknya.
Sesungguhnya Allah Swt akan menolong orang-orang yang beriman dengan memberikan kemenangan terhadap agama orang-orang kafir apabila diutusnya Nabi Muhammad saw. Maka akan ada umat baginda yang akan selalu membela kebenaran hingga Hari Kiamat.