Perniagaan yang Dapat Menyelamatkan Manusia daripada Seksaan yang Pedih
Surah 61: As-Saff (10 – 13)
Ayat 10
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu daripada seksa yang pedih?
Ayat 11
تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
(Iaitu) kamu beriman dengan Allah dan rasul-Nya dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Dalam ayat-ayat ini, Allah Swt menunjukkan sebuah perniagaan yang menguntungkan dan menyelamatkan diri seseorang daripada azab yang pedih lagi memilukan di akhirat kelak. Perniagaan itu adalah keimanan kepada Allah Swt dan rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya dengan harta serta jiwa.
Ayat 12
يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً فِى جَنَّـٰتِ عَدْنٍ ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.
Sesungguhnya manfaat daripada keimanan dan jihad pada jalan Allah Swt di akhirat kelak adalah diampuni dosa-dosa dan dimasukkan ke dalam syurga yang mempunyai pelbagai kenikmatan. Mereka akan kekal di dalamnya menikmati kebahagiaan yang abadi. Ini adalah keuntungan di akhirat.
Ayat 13
وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا ۖ نَصْرٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan (ada lagi) kurniaan lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
Allah Swt menyatakan sekiranya mereka berperang, mereka akan mendapat pertolongan-Nya dan keuntungan di dunia iaitu kemenangan dan penaklukan yang segera seperti penaklukan kota Mekah dan kerajaan yang lainnya seperti kerajaan Parsi dan Rom.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
Muhammad 47:7
Maksud “Dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya),” ialah tambahan kenikmatan yang merupakan kebaikan yang mereka terima di dunia berterusan hingga ke akhirat. Ini dijanjikan oleh Allah Swt kepada sesiapa sahaja yang mentaati-Nya dan rasul-Nya serta menolong-Nya dan agama-Nya.