Surah 60: Al-Mumtahanah (4 – 6)

Nabi Ibrahim as dan Pengikutnya Adalah Teladan yang Baik bagi Orang Mukmin

Surah 60: Al-Mumtahanah (4 – 6)


Ayat 4

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِىٓ إِبْرَٰهِيمَ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ إِذْ قَالُوا۟ لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَءَٰٓؤُا۟ مِنكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ ٱلْعَدَٰوَةُ وَٱلْبَغْضَآءُ أَبَدًا حَتَّىٰ تُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَحْدَهُۥٓ إِلَّا قَوْلَ إِبْرَٰهِيمَ لِأَبِيهِ لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ وَمَآ أَمْلِكُ لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ ۖ رَّبَّنَا عَلَيْكَ تَوَكَّلْنَا وَإِلَيْكَ أَنَبْنَا وَإِلَيْكَ ٱلْمَصِيرُ

Sesungguhnya telah ada teladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia ketika mereka berkata kepada kaum mereka, “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja.” Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya, “Sesungguhnya aku akan memohonkan keampunan bagi kamu dan aku tidak dapat menolak sesuatu pun daripada kamu (seksaan) Allah.” (Ibrahim berkata), “Wahai Rabb kami, hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali.

Dalam ayat yang lepas, Allah Swt melarang orang-orang mukmin mengadakan hubungan baik dengan orang-orang kafir walaupun hal tersebut harus dilakukan sebagaimana alasan yang diberikan oleh Hathib bin Abi Balta’ah. Allah Swt menegaskan bahawa orang-orang mukmin wajib memusuhi dan berlepas diri daripada orang-orang kafir dalam keadaan apa sekalipun kerana ia boleh membahayakan akidah orang-orang mukmin dan hubungan dengan-Nya.

Dalam ayat ini pula, Allah Swt menyatakan bahawa pada diri Nabi Ibrahim as dan orang-orang yang beriman yang mengikuti baginda terdapat contoh yang baik untuk diteladani. Mereka berlepas diri daripada musuh-musuh-Nya iaitu meninggalkan segala bentuk hubungan dengan mereka.

Allah Swt menganjurkan supaya orang-orang beriman mencontohi Nabi Ibrahim as kecuali permohonannya untuk mendapatkan keampunan bagi ayahnya yang kufur kerana itu adalah sebuah janji yang terlanjur dia katakan kepada bapanya.

Ayat ini juga menjelaskan bahawa orang-orang yang beriman tidak boleh meminta keampunan untuk orang-orang musyrik. Selagi mereka masih hidup, dibolehkan berdoa supaya Allah Swt memberikan hidayah kepada orang-orang yang kufur itu. Begitu juga setelah mereka mati dan pada zahirnya mereka mati dalam keadaan kufur, tidak lagi dibolehkan meminta keampunan untuk mereka. Hukumnya adalah haram bagi orang mukmin meminta keampunan bagi pihak mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Tidaklah patut bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta keampunan (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni Neraka Jahannam. Dan permintaan ampun daripada Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas baginya (Ibrahim) bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.”

At-Taubah 9:113-114

Pada akhir ayat ini, Nabi Ibrahim as menyatakan dalam doanya bahawa hanya kepada Allah Swt mereka bertawakkal, bertaubat dan hanya kepada-Nya tempat mereka kembali.

Ayat 5

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَٱغْفِرْ لَنَا رَبَّنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Wahai Rabb kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang-orang kafir dan ampunkanlah kami wahai Rabb kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Allah Swt menyatakan sambungan doa Nabi Ibrahim as dan orang-orang yang bersama dengannya ketika mereka berlepas diri dan meninggalkan kaumnya. Mereka memohon perlindungan daripada-Nya agar tidak dipesongkan keimanan mereka dan tidak diseksa melalui tangan orang-orang kafir.

Ayat 6

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيهِمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ ۚ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ

Demi sesungguhnya pada mereka itu (Ibrahim dan umatnya) ada teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang-orang yang mengharapkan (pahala) Allah dan (keselamatan pada) Hari Kemudian. Dan siapa yang berpaling, maka sesungguhnya Allah Dia-lah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Allah Swt memulakan ayat ini dengan kata-kata sumpah bagi menegaskan atau menguatkan kenyataan-Nya dalam ayat sebelum ini bahawa pada diri Nabi Ibrahim as dan pengikut-pengikutnya terdapat contoh dan ikutan yang baik. Orang-orang beriman yang mengharapkan pahala dan keselamatan pada Hari Akhirat hendaklah mencontohi baginda dan pengikut-pengikutnya.

Sesiapa yang tidak mentaati Allah Swt, sesungguhnya Dia tidak berhajat kepada ketaatan mereka. Ini kerana Dia-lah Allah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji yang tidak memerlukan makhluk-Nya.