Larangan Menjadikan Orang Kafir sebagai Penolong
Surah 60: Al-Mumtahanah (13)
Ayat 13
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَوَلَّوْا۟ قَوْمًا غَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ قَدْ يَئِسُوا۟ مِنَ ٱلْـَٔاخِرَةِ كَمَا يَئِسَ ٱلْكُفَّارُ مِنْ أَصْحَـٰبِ ٱلْقُبُورِ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah. Sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa.
Pada akhir surah ini, Allah Swt melarang menjadikan orang-orang kafir sebagai penolong, sebagaimana Dia telah melarangnya pada permulaan surah.
Maksud kaum yang dimurkai Allah Swt ialah orang-orang Yahudi dan Nasrani serta seluruh orang kafir yang dimurkai dan dilaknat oleh-Nya.
Bagaimana mungkin menjadikan mereka sebagai penolong dan teman rapat sedangkan mereka telah berputus asa daripada kehidupan akhirat, iaitu berputus asa daripada pahala dan kenikmatan yang ada di dalamnya sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur terhadap segala kebaikan.
Diriwayatkan oleh At-Tabari, bahawa Al-A’masy menceritakan daripada Abudh Dhuha, daripada Masruq, daripada Ibnu Mas’ud tentang ayat, “Sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur,” Dia mengatakan, “Sebagaimana orang kafir ini berputus asa jika sudah meninggal dunia dan melihat serta mengetahui balasan yang akan dia terima.” Ini juga adalah pendapat Mujahid, ‘Ikrimah, Muqatil, Ibnu Zaid, Al-Kilabi, Manshur, dan menjadi pilihan Ibnu Jarir.