Sumpah Setia (Bai’at) Kaum Muslimah
Surah 60: Al-Mumtahanah (12)
Ayat 12
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ إِذَا جَآءَكَ ٱلْمُؤْمِنَـٰتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَىٰٓ أَن لَّا يُشْرِكْنَ بِٱللَّهِ شَيْـًٔا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلَـٰدَهُنَّ وَلَا يَأْتِينَ بِبُهْتَـٰنٍ يَفْتَرِينَهُۥ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِى مَعْرُوفٍ ۙ فَبَايِعْهُنَّ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُنَّ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tidak akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampun kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ayat ini merupakan ayat berkenaan dengan bai’at (sumpah setia) para wanita. Rasulullah saw telah membai’at wanita-wanita Quraisy pada hari pembebasan Kota Mekah (Fathu Mekah). Ketika itu baginda duduk di atas Bukit Safa dan ‘Umar bin Khatthab ra berada di bawahnya. Wanita-wanita Quraisy itu meminta agar baginda menghulurkan tangannya tetapi baginda mengatakan bahawa sesungguhnya baginda tidak berjabat tangan dengan wanita.
Daripada ‘Urwah, dia mengatakan bahawa ‘Aisyah ra berkata, “Kepada perempuan yang lulus dan menerima syarat ini, Rasulullah saw bersabda:
‘Saya telah membai’atmu.’”
Demi Allah, ketika membai’at para wanita, baginda sama sekali tidak menyentuh tangan mereka. Baginda hanya mengatakan, ‘Saya telah membai’atmu atas itu.’”
(HR. Al-Bukhari)
Daripada ‘Ubadah bin As-Samit, dalam satu majlis bersama dengan Rasulullah saw, baginda bersabda:
“Berbai’atlah kalian kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kalian (baginda membaca ayat), “Apabila datang perempuan-perempuan beriman kepadamu,” siapa pun di antara kalian yang menepatinya maka pahalanya di sisi Allah. Siapa di antara kalian yang melakukan salah satu, lalu hukum ditegakkan kepadanya, maka itu adalah kaffarahnya. Siapa pun melakukan salah satu lalu Allah menutupinya, maka itu terserah kepada Allah, jika Dia berkehendak, akan diampuni-Nya, dan jika sebaliknya, Dia akan menyeksanya.”
(HR. Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)