Surah 60: Al-Mumtahanah (10 – 11)

Wanita yang Berhijrah Tidak Boleh Dikembalikan kepada Kaum Kafir

Surah 60: Al-Mumtahanah (10 – 11)


Ayat 10

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا جَآءَكُمُ ٱلْمُؤْمِنَـٰتُ مُهَـٰجِرَٰتٍ فَٱمْتَحِنُوهُنَّ ۖ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِإِيمَـٰنِهِنَّ ۖ فَإِنْ عَلِمْتُمُوهُنَّ مُؤْمِنَـٰتٍ فَلَا تَرْجِعُوهُنَّ إِلَى ٱلْكُفَّارِ ۖ لَا هُنَّ حِلٌّ لَّهُمْ وَلَا هُمْ يَحِلُّونَ لَهُنَّ ۖ وَءَاتُوهُم مَّآ أَنفَقُوا۟ ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ أَن تَنكِحُوهُنَّ إِذَآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۚ وَلَا تُمْسِكُوا۟ بِعِصَمِ ٱلْكَوَافِرِ وَسْـَٔلُوا۟ مَآ أَنفَقْتُمْ وَلْيَسْـَٔلُوا۟ مَآ أَنفَقُوا۟ ۚ ذَٰلِكُمْ حُكْمُ ٱللَّهِ ۖ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka. Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka, maka jika kamu telah mengetahui bahawa mereka (benar-benar) beriman maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada (suami-suami mereka) orang-orang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu dan orang-orang kafir itu tidak halal pula bagi mereka. Dan berikanlah kepada (suami-suami) mereka, mahar yang telah mereka bayar. Dan tiada dosa atasmu mengahwini mereka apabila kamu bayar kepada mereka maharnya. Dan janganlah kamu tetap berpegang pada tali (perkahwinan) dengan perempuan-perempuan kafir dan hendaklah kamu minta mahar yang telah kamu bayar dan hendaklah mereka meminta mahar yang telah mereka bayar. Demikianlah hukum Allah yang ditetapkan-Nya di antara kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Dalam Surah Al-Fath disebutkan tentang Perjanjian Hudaibiyah. Antara isi perjanjian tersebut ialah lelaki dari Mekah yang datang kepada Rasulullah saw di Madinah akan dikembalikan ke Mekah walaupun lelaki itu telah memeluk Islam dan sesiapa dari Madinah pergi ke Mekah tidak berkewajipan untuk dikembalikan ke Madinah. Namun dalam perjanjian ini tidak disebutkan tentang wanita. Pada saat itu datanglah Ummu Kulthum binti ‘Uqbah bin Abi Mut’ih ikut berhijrah dari Mekah ke Madinah. Dua orang saudaranya iaitu ‘Umarah dan Al-Walid datang menemui Rasulullah saw. Mereka berdua meminta supaya baginda mengembalikan Ummu Kulthum kepada suaminya iaitu orang kafir Quraisy. Lalu turunlah ayat ini.

Ayat ini mengecualikan wanita yang berhijrah yang telah diuji keimanananya untuk dikembalikan semula, sehingga Rasulullah saw tidak menyerahkannya kepada kedua-dua saudaranya itu.

Dalam ayat ini terdapat beberapa hukum berkaitan dengan wanita yang beriman kemudian berhijrah ke Madinah:

▪️  Wanita-wanita yang telah berhijrah ke Madinah dan telah dikenal pasti keimanan mereka, tidak boleh dikembalikan kepada suami mereka yang masih musyrik.

▪️  Apabila seorang suami atau isteri telah memeluk Islam maka terputuslah ikatan perkahwinan mereka sekiranya pasangan mereka masih lagi murtad atau syirik.

▪️  Sekiranya suaminya yang masih musyrik datang untuk menjemputnya maka hendaklah diberikan atau dipulangkan mahar yang pernah diterima daripada suaminya sebelum ini.

▪️  Wanita-wanita yang telah memeluk agama Islam halal untuk dikahwini oleh orang-orang beriman dan diberikan mahar untuknya. Mereka juga dikehendaki mengikut syarat-syarat nikah seperti ada wali, dua orang saksi dan wanita tersebut telah selesai tempoh iddahnya.

▪️  Apabila seorang lelaki memeluk Islam sedangkan isterinya masih kufur, maka hendaklah suami meminta kembali mahar yang dahulunya telah diberikan kepada isterinya itu.

▪️ Mahar dikembalikan kepada suami-suami yang masih kafir daripada isteri-isteri yang telah masuk Islam dan berhijrah.

Maksud ayat, “Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu dan orang-orang kafir itu tidak halal pula bagi mereka,” ialah perempuan muslim diharamkan bernikah dengan lelaki musyrik.

Diriwayatkan oleh Abu Daud, pada awal kedatangan Islam, lelaki musyrik boleh menikahi perempuan muslim. Oleh itu Abu Al-‘Ash bin Ar-Rabi’ seorang musyrik telah menikahi puteri Rasulullah saw seorang muslimah iaitu Zainab ra. Ketika Abu Al-‘Ash menjadi salah seorang tawanan perang Badar, (isterinya) Zainab ra menebus suaminya itu dengan rantai leher pemberian ibunya, Khadijah ra. Ketika Rasulullah saw melihatnya, baginda sangat tersentuh dan pilu. Baginda berkata, “Bagaimana menurut kamu seandainya kamu melepaskan tawanan dan mengembalikan rantai leher itu kepada Zainab?” Mereka mengatakan, “Ya.” Rasulullah saw pun melepaskan Abu Al-‘Ash dengan syarat dia mengirim Zainab kembali kepada baginda. Abu Al-‘Ash bersetuju dan dia telah mengutuskan Zainab bersama dengan Zaid bin Harithah ra kepada Rasulullah saw. Zainab akhirnya tinggal di Madinah sehingga suaminya itu masuk Islam dan menikahi Zainab kembali dengan mas kahwin yang lama.

Ayat 11

وَإِن فَاتَكُمْ شَىْءٌ مِّنْ أَزْوَٰجِكُمْ إِلَى ٱلْكُفَّارِ فَعَاقَبْتُمْ فَـَٔاتُوا۟ ٱلَّذِينَ ذَهَبَتْ أَزْوَٰجُهُم مِّثْلَ مَآ أَنفَقُوا۟ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِىٓ أَنتُم بِهِۦ مُؤْمِنُونَ

Dan jika seseorang daripada isteri-isterimu lari kepada orang-orang kafir, lalu kamu mengalahkan mereka maka bayarkanlah kepada orang-orang yang lari isterinya itu mahar sebanyak yang telah mereka bayar. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu beriman.

Allah Swt menyatakan sekiranya ada di kalangan isteri orang beriman yang murtad melarikan diri ke tempat orang-orang kafir dan telah diminta dikembalikan semula maharnya tetapi mereka menolak untuk memberinya kepada suaminya yang telah beriman, mahar tersebut boleh diambil daripada harta ghanimah (hasil dari kemenangan dalam peperangan) sebanyak mahar yang telah diberikannya dahulu kepada isterinya yang murtad.

Kemudian pada akhir ayat ini, Allah Swt mengingatkan orang-orang mukmin agar takut kepada seksaan-Nya, mentaati-Nya dalam mengerjakan semua perintah dan meninggalkan segala larangan serta tidak bermaksiat kepada-Nya.