Larangan Menjadikan Orang Kafir sebagai Teman Setia
Surah 60: Al-Mumtahanah (1 – 3)
Ayat 1
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ عَدُوِّى وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَآءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِٱلْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا۟ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلْحَقِّ يُخْرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَن تُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَـٰدًا فِى سَبِيلِى وَٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِى ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِٱلْمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعْلَمُ بِمَآ أَخْفَيْتُمْ وَمَآ أَعْلَنتُمْ ۚ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang, padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Rabbmu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredhaan-Ku. Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Dan siapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.
Permulaan Surah Al-Mumtahanah ini adalah berkaitan dengan kisah Hathib bin Abu Balta’ah, seorang sahabat daripada kalangan Muhajirin yang juga turut menyertai Perang Badar. Dia mempunyai keluarga dan harta benda di Mekah. Dia bukanlah daripada keturunan Quraisy.
Ketika Rasulullah saw memerintahkan kaum muslimin bersiap sedia untuk memerangi penduduk Mekah yang telah melanggar perjanjian, sambil bersabda, “Ya Allah sembunyikanlah berita (penyerangan ini) daripada mereka.” Doa ini telah didengari oleh Hathib. Lalu beliau mengirimkan surat amaran melalui seorang perempuan Quraisy, untuk diberikan kepada keluarganya di Mekah. Tujuannya adalah supaya mereka mengambil langkah berhati-hati. Allah Ta’ala pun mewahyukan kepada Rasulullah saw tentang pengiriman surat tersebut sebagai jawapan kepada doa baginda. Baginda mengutuskan ‘Ali ra, Az-Zubair dan Miqdad pergi ke kebun Khakh untuk mengambil balik surat itu daripada perempuan tersebut. Setelah surat itu sampai ke tangan Rasulullah saw, baginda bersabda, “Wahai Hathib, apakah ini?” Hathib menjawab, “Jangan tergesa-gesa (berprasangka buruk) terhadapku. Saya hanyalah seseorang yang dekat dengan kaum Quraisy, tetapi bukan seperti mereka. Orang-orang Muhajirin yang bersamamu sentiasa menjaga kerabat mereka di Mekah. Oleh sebab saya tidak mampu membantu mereka secara langsung, maka saya hanya ingin memberi amaran. Saya melakukan ini bukan kerana kufur atau murtad dan bukan juga kerana redha terhadap kekufuran setelah masuk Islam.” Lalu baginda bersabda, “Dia telah jujur kepada kalian.” Tetapi ‘Umar ra berkata, “Biarkan saya memenggal leher orang munafik ini.” Niat ‘Umar telah dihalang oleh baginda, “Sesungguhnya dia adalah ahli Badar. Tahukah kamu Allah mengetahui keadaan ahli Badar dan berfirman (untuk ahli Badar), ‘Perbuatlah sesuka kalian kerana sesungguhnya Aku telah mengampunkan kalian.’”
(HR. Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i dan At-Tirmizi)
Ayat ini juga merupakan teguran yang keras kepada orang-orang mukmin agar memutuskan hubungan dengan orang-orang kafir. Sekiranya mereka benar-benar keluar untuk berjihad pada jalan Allah dan mencari keredhaan-Nya maka janganlah mengambil orang-orang kafir sebagai teman setia. Siapa yang melakukannya maka dia telah menyimpang dari petunjuk-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang membuat agamamu sebagai ejekan dan permainan jadi pemimpinmu, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman.”
Al-Ma’idah 5:57
Ayat 2
إِن يَثْقَفُوكُمْ يَكُونُوا۟ لَكُمْ أَعْدَآءً وَيَبْسُطُوٓا۟ إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ وَأَلْسِنَتَهُم بِٱلسُّوٓءِ وَوَدُّوا۟ لَوْ تَكْفُرُونَ
Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak sebagai musuh bagimu dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepadamu dengan menyakiti(mu), dan mereka ingin supaya kamu (kembali) kafir.
Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya orang-orang kafir adalah musuh yang nyata bagi orang-orang beriman. Dalam hati mereka tidak ada sedikitpun perasaan belas kasihan kepada orang-orang beriman. Bahkan jika mereka dapat menawan orang-orang beriman, mereka akan memukul dan membunuh dengan tangan mereka. Lidah-lidah mereka akan mengucapkan kata-kata celaan dan mereka juga mengharapkan agar orang mukmin kembali menjadi kufur.
Ayat 3
لَن تَنفَعَكُمْ أَرْحَامُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ ۚ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ يَفْصِلُ بَيْنَكُمْ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Kaum kerabat dan anak-anakmu sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Kiamat. Dia akan memisahkan antara kamu. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Allah Swt menyatakan kaum kerabat dan anak-anak orang-orang mukmin yang tidak beriman sekali-kali tidak dapat memberikan manfaat kepada diri orang-orang mukmin untuk menolak azab pada Hari Akhirat kelak. Ini kerana pada Hari Kiamat nanti Allah akan memisahkan mereka. Orang-orang mukmin berada di dalam syurga sedangkan saudara mara mereka yang kafir bersama dengan orang-orang kafir lain di dalam neraka.
Allah Swt mengingatkan bahawa hubungan kekeluargaan atau kaum kerabat dan anak cucu tidak boleh diutamakan daripada kepentingan agama. Mereka tidak dapat memberikan manfaat untuk menolong seseorang pada Hari Kiamat sekiranya dia menjadikan orang-orang kafir itu pemimpin kerana hendak membela mereka.
Daripada Anas ra, bahawasanya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, di manakah ayahku?” Baginda menjawab, “Di neraka.” Setelah itu dia pergi sambil menunduk, Rasulullah saw memanggilnya dan bersabda:
“Sesungguhnya ayahku dan ayahmu ada di neraka.”
(HR. Ahmad, Muslim dan Abu Dawud)