Surah 6: Al-An’am (95 – 99)

Dalil Keesaan Allah Swt pada Ciptaan-Nya

Surah 6: Al-An’am (95 – 99)


Ayat 95

إِنَّ ٱللَّهَ فَالِقُ ٱلْحَبِّ وَٱلنَّوَىٰ ۖ يُخْرِجُ ٱلْحَىَّ مِنَ ٱلْمَيِّتِ وَمُخْرِجُ ٱلْمَيِّتِ مِنَ ٱلْحَىِّ ۚ ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ ۖ فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembah-Nya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutu-Nya)?

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia-lah Pencipta semua kehidupan di alam semesta ini. Dia-lah yang menumbuhkan benih dan biji-bijian iaitu Dia menjadikan benih dan biji-bijian itu terbelah ketika berada di dalam tanah dengan kekuasaan-Nya. Kemudian tumbuhlah pelbagai jenis tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan dan terhasillah pelbagai jenis buah-buahan dengan pelbagai warna, bentuk dan rasa. 

Allah Ta’ala juga menjelaskan kelangsungan hidup serta perputarannya secara umum, iaitu Dia menciptakan segala bentuk kehidupan daripada benda yang tidak bergerak, seperti menciptakan segala jenis tumbuh-tumbuhan daripada benih dan manusia daripada air mani. Dan selanjutnya Allah Swt mengeluarkan yang mati daripada yang hidup seperti Dia mengeluarkan benih yang mati daripada pokok yang hidup atau mengeluarkan telur daripada ayam yang hidup. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia-lah yang menghidupkan dan yang mematikan dan Dia-lah satu-satunya Pencipta, tidak ada sekutu bagi-Nya. Segala ciptaanNya itu adalah bukti kekuasaan dan keagungan-Nya. Namun masih ada manusia  yang menyembah dan menyekutukan-Nya dengan selain-Nya yang tidak memiliki kekuasaan apa pun. Alangkah bodoh dan kejinya sesiapa yang berbuat demikian. 

Ayat 96

فَالِقُ ٱلْإِصْبَاحِ وَجَعَلَ ٱلَّيْلَ سَكَنًا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ حُسْبَانًا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ

Allah jualah yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

Allah Ta’ala menjelaskan tentang kekuasaan-Nya dalam menciptakan perkara-perkara yang berlawanan dan beraneka ragam. Ini menunjukkan keagungan-Nya yang sempurna dan kekuasaan-Nya yang sangat besar. 

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia-lah yang menyingsingkan waktu pagi dengan terbitnya matahari menyinari alam, lalu lenyaplah kegelapan malam dan keadaan menjadi terang. Malam berlalu dengan kegelapannya dan siang pula menjelang dengan cahayanya seperti firman-Nya dalam surah yang lain: 

“Sesungguhnya Rabb kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Rabb semesta alam.” 

Al-A’raf 7:54 

Allah Ta’ala juga menggantikan waktu siang dengan waktu malam yang gelap membawa suasana ketenangan dan hamba-hamba-Nya dapat beristirahat. Firman-Nya: 

“Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirahat, dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan.” 

An-Naba’ 78:9-11 

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menjadikan sistem peredaran matahari dan bulan untuk menghitung jumlah bulan dan tahun. Kedua-duanya berjalan dengan hitungan yang rapi dan putaran yang terjadi dalam masa dua puluh empat jam untuk menghitung bilangan hari. Manakala putaran yang terjadi dalam setahun mencakupi empat musim untuk menghitung tahun Masihi. Masing-masing mempunyai garisan orbit yang telah ditentukan-Nya sebagaimana firman-Nya: 

“Matahari dan bulan (beredar) menurut perhitungan.” 

Ar-Rahman 55:5 

Dalam ayat ini Allah Ta’ala menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya yang ada di langit dan di bumi: 

  • Hadirnya waktu pagi dengan pancaran matahari yang merupakan fenomena keindahan alam sebagai sarana untuk merenungkan ciptaan Allah Ta’ala. 
  • Dijadikan malam sebagai waktu yang tenang sebagai nikmat daripada Allah Ta’ala agar tubuh dapat beristirahat, jiwa menjadi tenang dan rehat daripada aktiviti siangnya yang memenatkan. 
  • Dijadikan matahari dan bulan sebagai perhitungan bagi keperluan manusia untuk mereka beribadah dan bermuamalah (urusan sesama manusia). 

Setiap kali Allah Ta’ala menyebutkan penciptaan malam dan siang, matahari dan bulan, Dia selalu menutupnya dengan penegasan mengenai keagungan dan ilmu-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa dalam menentukan segala urusan dan Maha Mengetahui segala sesuatu. 

Ayat 97

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلنُّجُومَ لِتَهْتَدُوا۟ بِهَا فِى ظُلُمَـٰتِ ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ ۗ قَدْ فَصَّلْنَا ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Dan Dia-lah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menjadikan bintang-bintang bagi manusia sebagai petunjuk arah pada waktu malam sekiranya tersesat jalan akibat kegelapan malam yang pekat di darat mahupun di lautan. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menerangkan petunjuk-petunjuk yang sangat jelas kepada orang-orang yang berakal dan terpelihara daripada pengaruh-pengaruh hawa nafsu iaitu orang-orang yang meneliti benda-benda ciptaan-Nya dan mencari kebenaran serta menjauhi kebatilan. Ini kerana mereka itulah yang akan dapat menemukan jawapan rahsia di sebalik kejadian alam semesta yang akhirnya mereka dapat menemukan siapa Pencipta iaitu Tuhan Yang Maha Esa. 

Ayat 98

وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنشَأَكُم مِّن نَّفْسٍ وَٰحِدَةٍ فَمُسْتَقَرٌّ وَمُسْتَوْدَعٌ ۗ قَدْ فَصَّلْنَا ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍ يَفْقَهُونَ

Dan Dia-lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat menetap, dan tempat simpanan. Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).

Allah Ta’ala menjelaskan tanda kebesaran, ilmu, hikmah dan keesaan-Nya yang ada pada diri manusia. Dia menciptakan mereka pada mulanya daripada satu jiwa iaitu Nabi Adam as kemudian berkembang biak seperti dalam firman-Nya: 

“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Rabbmu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya, dan daripada kedua-duanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” 

An-Nisa’ 4:1 

Para ulama tafsir berbeza pendapat tentang maksud, “Tempat menetap dan tempat simpanan.” Daripada Ibnu Mas’ud, ibnu ‘Abbas, Abu ‘Abdir Rahman as-Sulami, Qais bin Abi Hazim, Muhahid, ‘Atha’, Ibrahim an-Nakha’i, adh-Dhahhak, Qatadah, as-Suddi, ‘Atha’ al-Khurasani dan juga ulama lainnya mengatakan, tempat menetap ialah di dalam rahim. Manakala menurut majoriti daripada mereka mengatakan, tempat simpanan ialah di dalam tulang sulbi. Diriwayatkan pula oleh Ibnu Mas’ud dan segolongan mufassir mengatakan, tempat menetap ialah di dunia dan tempat simpanan adalah tempat ketika mati iaitu kubur. 

Allah Ta’ala menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya kepada makhluk-Nya yang memahami dan menghayati Al-Quran serta mengetahui maknanya. Hanya yang memahaminya sahaja yang dapat mengambil pengajaran. 

Ayat 99

وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ نَبَاتَ كُلِّ شَىْءٍ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُّتَرَاكِبًا وَمِنَ ٱلنَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّـٰتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ وَٱلزَّيْتُونَ وَٱلرُّمَّانَ مُشْتَبِهًا وَغَيْرَ مُتَشَـٰبِهٍ ۗ ٱنظُرُوٓا۟ إِلَىٰ ثَمَرِهِۦٓ إِذَآ أَثْمَرَ وَيَنْعِهِۦٓ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكُمْ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Dan Dia-lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.

Allah Ta’ala menyebutkan salah satu tanda kebesaran-Nya iaitu turunnya air dari langit dengan kadar tertentu dan dijadikannya air tersebut sebagai penyebab tumbuhnya tanam-tanaman sebagai pembawa keberkatan dan rezeki kepada makhluk ciptaan-Nya. Ini merupakan tanda kasih sayangNya. Melalui hujan ini juga, Dia menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dengan pelbagai bentuk, warna, rupa dan buahnya sebagaimana dalam firman-Nya: 

“Dan di bumi ini terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” 

Ar-Ra’d 13:4 

Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan pula secara terperinci daripada tumbuh-tumbuhan yang beraneka ragam itu, antaranya ialah rumput-rumput yang tumbuh berumpun-rumpun sehingga kelihatan menghijau. Tumbuh-tumbuhan jenis ini mengeluarkan buah yang berbentuk bijian-bijian kecil yang terkumpul dalam sebatang tangkai seperti gandum dan padi. Jenis yang lain daripada tumbuh-tumbuhan itu ialah pohon palma yang mengeluarkan buah yang terkumpul dalam sebuah tandan yang menjulai rendah sehingga mudah dipetik seperti pohon kurma. 

Jenis tumbuh-tumbuhan yang lain ialah anggur, zaitun, dan delima. Masing-masing mempunyai persamaan dan perbezaan dari segi sifat, bentuk dan rasanya, sehingga ada yang berwarna kehitam-hitaman dan ada pula yang berwarna kehijau-hijauan, ada yang berdaun agak lebar, dan ada pula yang berdaun agak kecil, begitu pula ada yang rasanya manis dan ada yang masam. 

Kesemuanya itu adalah untuk menunjukkan kekuasaan, kesempurnaan dan rahmat Allah Swt yang menciptakan tumbuh-tumbuhan yang beraneka ragam itu.