Keadaan Orang Kafir pada Saat Kematian
Surah 6: Al-An’am (93 – 94)
Ayat 93
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوْ قَالَ أُوحِىَ إِلَىَّ وَلَمْ يُوحَ إِلَيْهِ شَىْءٌ وَمَن قَالَ سَأُنزِلُ مِثْلَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ ۗ وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلظَّـٰلِمُونَ فِى غَمَرَٰتِ ٱلْمَوْتِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ بَاسِطُوٓا۟ أَيْدِيهِمْ أَخْرِجُوٓا۟ أَنفُسَكُمُ ۖ ٱلْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ ٱلْهُونِ بِمَا كُنتُمْ تَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ غَيْرَ ٱلْحَقِّ وَكُنتُمْ عَنْ ءَايَـٰتِهِۦ تَسْتَكْبِرُونَ
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: “Telah diberi wahyu kepadaku”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyu pun kepadanya; dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakaratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keterangan-Nya”.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa pendustaan yang paling besar adalah apabila seseorang menjadikan sekutu bagi-Nya padahal Dia-lah yang menciptakan segala-galanya atau mengada-adakan pendustaan atas namaNya dan mengaku telah mendapat kenabian atau risalah padahal Dia tidak pun mengutusnya sebagai rasul kepada manusia. Boleh juga dia mengatakan bahawa dia telah diberi wahyu sedangkan dia tidak diberikan wahyu oleh-Nya.
Ini adalah ancaman terhadap sesiapa sahaja yang melakukan salah satu daripada tiga perkara di atas. Dua perkara pertama adalah membuat pendustaan atas nama Allah Ta’ala dan mengaku telah mendapat wahyu seperti Musailamah Al-Kazzab di Yamamah, Al-Aswad Al-‘Ansy di Yaman, Tulaihah Al-Asady daripada Bani Asad. Musailamah mengatakan bahawa Rasulullah saw adalah rasul Quraisy sedangkan dia adalah rasul Bani Hanifah.
Manakala perkara ketiga adalah ditujukan kepada orang-orang yang mengaku bahawa mereka boleh menandingi wahyu yang datang dari sisi Allah Ta’ala dengan perkataan yang diada-adakan seperti pendeta-pendeta Yahudi dan sasterawan Arab yang cuba menyusun kitab-kitab untuk menyamai Al-Quran seperti firman-Nya:
“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata, “Sesungguhnya kami telah mendengar (ayat-ayat yang seperti ini), kalau kami menghendaki nescaya kami dapat membacakan yang seperti ini, (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala.'”
Al-Anfal 8:31
Beginilah yang terjadi kepada Musailamah Al-Kazzab. Beliau mengaku mampu membuat kitab seperti Al-Quran namun semuanya adalah palsu dan tidak benar. Apa yang direkanya itu tidak setanding dengan ayat-ayat Allah Ta’ala yang sangat agung dan luar biasa.
Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan ancamanNya kepada orang-orang yang zalim seperti ini dengan kedahsyatan dan sakitnya sakaratulmaut. Malaikat maut datang mencabut nyawa mereka dengan pukulan dan paksaan sebagaimana firman-Nya:
“Bagaimanakah (keadaan mereka) apabila malaikat mencabut nyawa mereka seraya memukul-mukul muka mereka dan punggung mereka?”
Muhammad 47:27
Roh orang-orang kafir dicabut dengan keras sekali dan disertai dengan kata-kata bernada menghina dan mengejek. Ini kerana semasa hidup, mereka mengingkari Allah Ta’ala, mengatakan terhadap-Nya perkataan yang tidak benar dan menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya.
Manakala bagi orang-orang mukmin sakaratnya mudah dan lembut. Roh orang-orang mukmin keluar dengan penuh kegembiraan kerana mereka akan bertemu dengan Allah Ta’ala. Sabda Rasulullah saw:
“Sesiapa yang rindu bertemu Allah maka Allah juga rindu bertemu dengannya. Sesiapa yang enggan bertemu Allah, maka Allah juga enggan bertemu dengannya.”
(HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan Al-Baihaqi)
Ayat 94
وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَٰدَىٰ كَمَا خَلَقْنَـٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَـٰكُمْ وَرَآءَ ظُهُورِكُمْ ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَآءَكُمُ ٱلَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَـٰٓؤُا۟ ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ
Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa kelak orang-orang kafir ini akan kembali kepada-Nya tanpa sembahan, pelindung, pemberi syafaat, penolong dan tanpa harta sepertimana Dia menciptakan manusia dalam perut ibu masing-masing yang berkeadaan tidak beralas kaki, tidak berpakaian dan tidak bersunat (khitan). Semuanya yang dimiliki di dunia dahulu akan ditinggalkan dan ketika itu tiada seorang pun penolong.
Ayat ini ditutup dengan celaan dan hinaan terhadap sikap mereka yang telah membuat sekutu, berhala, patung-patung ketika di dunia. Mereka menyangka semua itu akan memberi manfaat kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka namun semuanya tidak berguna kepada mereka pada hari kiamat di hadapan Allah Ta’ala dan pada hari hisab. Firman-firman-Nya:
“Dan (ingatlah) hari (waktu) Allah menyeru mereka, seraya berkata, ‘Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang dahulu kamu katakan?'”
Al-Qasas 28:62
“Dan dikatakan kepada mereka, ‘Di manakah berhala-berhala yang dahulu kamu selalu menyembah(nya) selain Allah? Dapatkah mereka menolong kamu atau menolong diri mereka sendiri?'”
As-Syua’ra’ 26:92-93
“(Iaitu) hari (ketika) seseorang tidak berdaya sedikitpun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah.”
Al-Infitar 82:19