Surah 6: Al-An’am (74 – 79)

Nabi Ibrahim as dalam Menegakkan Tauhid

Surah 6: Al-An’am (74 – 79)


Nabi Ibrahim dalam menegakkan tauhid

Allah Swt memperlihatkan kepada Nabi Ibrahim as tanda-tanda keagungan-Nya melalui penciptaan bintang, bulan dan matahari

Ayat 74

وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِيمُ لِأَبِيهِ ءَازَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا ءَالِهَةً ۖ إِنِّىٓ أَرَىٰكَ وَقَوْمَكَ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw agar menyampaikan kepada orang-orang musyrik kisah nenek moyang mereka yang dimuliakan iaitu Nabi Ibrahim as yang menyeru manusia untuk beragama tauhid dan menghentikan perbuatan syirik. 

Nabi Ibrahim as bertanya kepada ayahnya dengan penuh kehairanan bagaimana ayahnya dan kaumnya bersungguh-sungguh menyembah berhala-berhala, sedangkan berhala-berhala itu mereka sendiri yang membuatnya. Baginda dapat merasakan bahawa tidak ada petunjuk yang benar menuju jalan yang mereka tempuhi, bahkan mereka berada dalam kebingungan, kebodohan dan kesesatan yang nyata pada pandangan setiap orang yang berakal sihat. Adakah lagi kesesatan yang lebih nyata daripada kesesatan mereka yang menyembah berhala-berhala yang dibuat daripada batu dan kayu yang dipahat sendiri dengan tangan mereka kemudian mereka menyembah dan mensucikannya? Firman Allah Swt: 

“(Ibrahim) berkata, “Apakah kamu menyembah patung-patung yang kamu pahat itu? Padahal Allah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu.'” 

As-Saffat 37:95-96 

Bagaimana mereka boleh menyembah berhala-berhala sedangkan mereka adalah manusia yang lebih mulia dan lebih tinggi kedudukannya daripada berhala-berhala tersebut. Manusia mempunyai akal sedangkan berhala-berhala itu tuli dan bisu serta tidak berakal. Tambahan pula berhala-berhala itu langsung tidak mampu membela diri daripada bahaya. 

Ayat 75

وَكَذَٰلِكَ نُرِىٓ إِبْرَٰهِيمَ مَلَكُوتَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ ٱلْمُوقِنِينَ

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia memperlihatkan kepada Nabi Ibrahim as tanda-tanda keagungan-Nya melalui penciptaan langit dan bumi berserta seluruh isinya yang merupakan penciptaan yang hebat dan menakjubkan. 

Kesemuanya itu menjadi bukti adanya keesaan Allah Swt dalam kekuasaan-Nya bahkan menjadi dalil bahawa tiada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar melainkan Dia. 

Ayat 76

فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ ٱلَّيْلُ رَءَا كَوْكَبًا ۖ قَالَ هَـٰذَا رَبِّى ۖ فَلَمَّآ أَفَلَ قَالَ لَآ أُحِبُّ ٱلْـَٔافِلِينَ

Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.

Ketika malam tiba, Nabi Ibrahim as melihat bintang sambil berkata untuk menarik kaumnya secara perlahan-lahan daripada keyakinan mereka menyembah berhala dan menuntut mereka agar bertauhid kepada Allah Ta’ala dengan mengatakan bintang itulah tuhannya pada saat Baginda ternampak sebuah bintang terang dan bercahaya. 

Namun apabila bintang itu tenggelam, Baginda berkata itu bukanlah tuhannya, dan mengatakan lagi bahawa Baginda tidak menyukai tuhan yang boleh lenyap. Ini kerana Baginda tidak suka kepada yang tenggelam dan menghilang apatah lagi untuk dianggap sebagai Tuhan. 

Kenyataan Nabi Ibrahim as ini adalah merupakan bantahan terhadap kaumnya agar mereka tersentak untuk memperhatikan alasan-alasan yang akan dikemukakan. Ini adalah alasan Baginda untuk mematahkan iktikad kaumnya bahawa apa sahaja yang mengalami perubahan itu tidak layak dianggap sebagai Tuhan. Oleh itu sesiapa yang berfikiran seperti Baginda akan menerima kenyataan tersebut. 

Ayat 77

فَلَمَّا رَءَا ٱلْقَمَرَ بَازِغًا قَالَ هَـٰذَا رَبِّى ۖ فَلَمَّآ أَفَلَ قَالَ لَئِن لَّمْ يَهْدِنِى رَبِّى لَأَكُونَنَّ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلضَّآلِّينَ

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.

Apabila Nabi Ibrahim as melihat bulan yang cahayanya lebih terang dan lebih besar sedang terbit, Baginda berkata kepada kaumnya sebagai cara untuk menarik perhatian mereka terhadap penentangannya secara perlahan-lahan daripada keyakinan yang salah. Baginda mengatakan bahawa bulan itulah tuhannya, namun ketika bulan itu juga tenggelam maka Baginda mengatakan, bulan itu juga bukanlah Tuhannya. 

Sindiran yang bertahap ini adalah sebagai sindiran untuk mematahkan pendapat-pendapat kaumnya. Sindiran yang pertama adalah lembut, kemudian diikuti dengan sindiran yang kedua yang sedikit tegas, adalah untuk menyanggah fikiran kaumnya secara halus agar terbuka hati mereka untuk memahami kebenaran yang sebenarnya. 

Lalu Nabi Ibrahim as mengatakan bahawa sekiranya Tuhannya tidak memberi petunjuk kepadanya, tentulah Baginda termasuk dalam golongan yang sesat daripada jalan yang lurus. 

Ayat 78

فَلَمَّا رَءَا ٱلشَّمْسَ بَازِغَةً قَالَ هَـٰذَا رَبِّى هَـٰذَآ أَكْبَرُ ۖ فَلَمَّآ أَفَلَتْ قَالَ يَـٰقَوْمِ إِنِّى بَرِىٓءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: `Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

Ketika Nabi Ibrahim as melihat matahari yang sedang terbit, Baginda berkata kepada kaumnya bahawa itulah tuhannya kerana matahari lebih besar daripada bintang dan bulan. Matahari juga adalah objek langit yang paling cerah cahayanya menurut pandangan mata. Namun ketika matahari tenggelam, Baginda mengatakan bahawa dia berlepas diri daripada apa yang kaumnya sekutukan dengan Allah Swt iaitu dengan menyembah berhala-berhala, bintang-bintang dan patung-patung. 

Sindiran ini adalah sindiran yang paling tajam untuk mematikan hujjah kaumnya agar mereka tidak mengajukan alasan lagi untuk mengingkari kebenaran yang dibawa oleh Baginda. 

Ayat 79

إِنِّى وَجَّهْتُ وَجْهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ حَنِيفًا ۖ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Ibrahim as berpegang kepada agama tauhid dan menyatakan bahawa agama lainnya adalah batil dan Baginda bukanlah termasuk golongan orang-orang yang musyrik. Baginda adalah seorang yang semata-mata berserah diri kepada-Nya. Firman-firman-Nya: 

“Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) Allah menjadikan Ibrahim kesayangan-Nya.” 

An Nisa’ 4:125 

“Dan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang kukuh…………….” 

Luqman 31:22 

Sikap Nabi Ibrahim as menangani kaumnya itu memberikan teladan yang baik dalam berdebat. Baginda seolah-olah tampil sebagai orang yang tidak beriman padahal hakikatnya Baginda tidak meragui kebenaran Allah Ta’ala sebagimana firman-Nya: 

“Dan sesungguhnya telah Kami anugerahkan kepada Ibrahim hidayah kebenaran sebelum (Musa dan Harun), dan adalah Kami mengetahui (keadaan)nya. (Ingatlah), ketika (Ibrahim) berkata kepada bapanya dan kaumnya, ‘Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadat kepadanya?'” 

Al-Anbiya’ 21:51-52 


Infografik Kisah Nabi Ibrahim