Surah 6: Al-An’am (66 – 70)

Perintah untuk Menjauhi Majlis yang Memperolok-olokkan Ayat Allah

Surah 6: Al-An’am (66 – 70)


Ayat 66

وَكَذَّبَ بِهِۦ قَوْمُكَ وَهُوَ ٱلْحَقُّ ۚ قُل لَّسْتُ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍ

Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar. Katakanlah: “Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang kafir Quraisy mendustakan Al-Quran, petunjuk dan penjelasan daripada Rasulullah saw atau azab yang diancamkan kepada mereka. Sedangkan semua yang ada di dalam Al-Quran adalah benar. 

Oleh itu, tiada paksaan bagi mereka sama ada mereka mahu beriman atau tidak kerana Rasulullah saw hanyalah ditugaskan untuk menyampaikan berita gembira dan pemberi peringatan. Sesiapa yang mengikuti Baginda akan bahagia di dunia dan di akhirat. Manakala yang ingkar akan celakalah hidupnya di dunia dan di akhirat. Firman-firman Allah swt: 

“Sesungguhnya telah datang daripada Rabb kamu bukti-bukti yang terang, maka sesiapa melihat (kebenaran itu), maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri, dan sesiapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemudharatannya kembali kepadanya. Dan aku (Muhammad) sekali-kali bukanlah pemelihara(mu).” 

Al-An’am 6:104 

“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.” 

Al-Ghasiyah 88:21-22 

Ayat 67

لِّكُلِّ نَبَإٍ مُّسْتَقَرٌّ ۚ وَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.

Ayat ini merupakan ancaman dan teguran keras daripada Allah Ta’ala kepada orang-orang yang mendustakan Al-Quran dan azabNya. Ini kerana setiap berita mempunyai batas waktu kejadiannya. Meskipun setelah beberapa lama masa berlalu, kelak mereka akan mengetahui janji dan ancaman tersebut. Itulah janjiNya untuk memberikan kemenangan kepada RasulNya, sedangkan kepada mereka dijanjikan azab di dunia dan di akhirat. FirmanNya: 

“Dan sesungguhnya kamu akan mengetahui (kebenaran) berita Al-Quran setelah beberapa waktu lagi.” 

Sad 38:88 

Ayat 68

وَإِذَا رَأَيْتَ ٱلَّذِينَ يَخُوضُونَ فِىٓ ءَايَـٰتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا۟ فِى حَدِيثٍ غَيْرِهِۦ ۚ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ ٱلشَّيْطَـٰنُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ ٱلذِّكْرَىٰ مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

Allah swt mengajar Rasulullah saw dan orang-orang beriman apabila mereka melihat orang-orang yang berkumpul untuk mendustakan dan menghina Al-Quran, maka berpalinglah daripada kumpulan tersebut. Ini termasuklah orang-orang yang mengubah dan mentakwilkan ayat-ayat Al-Quran mengikut hawa nafsu dan akal logik mereka. 

Namun sekiranya mereka berkumpul untuk membicarakan hal-hal yang lain maka tiada larangan bagi Rasulullah saw dan orang-orang beriman untuk menyertai mereka. 

Ketika syaitan membuat mereka lupa tentang larangan tersebut lalu mereka duduk berkumpul bersama dengan orang-orang yang memperolok-olokkan Al-Quran maka ketika sedar hendaklah mereka meninggalkan kelompok tersebut. 

Ayat 69

وَمَا عَلَى ٱلَّذِينَ يَتَّقُونَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَىْءٍ وَلَـٰكِن ذِكْرَىٰ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikit pun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.

Ayat ini menjelaskan bahawa sekiranya orang-orang yang bertakwa menjauhi orang-orang yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah Ta’ala (para pendusta) dan tidak duduk bersama dengan mereka maka sesungguhnya yang demikian itu sudah pun menjadikan mereka (orang-orang yang bertakwa) terbebas daripada perbuatan dan dosa mereka. 

Perintah berpaling daripada para pendusta tersebut pada ketika itu adalah sebagai bentuk peringatan kepada mereka atas perbuatan buruk yang telah mereka lakukan agar mereka tidak mengulanginya lagi. 

Ayat 70

وَذَرِ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِۦٓ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلِىٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَآ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ أُبْسِلُوا۟ بِمَا كَسَبُوا۟ ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

Allah Ta’ala menegaskan lagi perintahNya kepada orang-orang mukmin agar meninggalkan orang-orang yang memperolok-olokkan agama Islam dengan menjadikannya sebagai main-mainan dan senda gurau. Mereka itu telah terpedaya oleh kesenangan hidup duniawi dan telah lupa bahawa kehidupan yang sebenarnya ialah di akhirat nanti. 

Mereka lalai dan lupa akan pertemuan dengan Allah Ta’ala di akhirat kelak lalu menyebabkan mereka mensia-siakan waktu yang berharga dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. 

Oleh itu, orang-orang mukmin diperintahkan memberi peringatan kepada mereka dengan Al-Quran dan menasihati mereka agar berhati-hati terhadap azab Allah Ta’ala yang tersangat pedih pada hari kiamat kelak. Ini adalah supaya mereka tidak terjerumus ke dalam neraka akibat perbuatan buruk mereka itu. Begitu juga mereka diperintahkan agar mengingatkan para pendusta tersebut bahawa pada hari kiamat kelak tiada sesuatu pun yang dapat memberikan pertolongan, mendatangkan kebaikan atau menolak kejahatan dan kesengsaraan yang mereka hadapi selain Allah swt. Pada hari itu tidak ada suatu pun yang dapat dijadikan penebus diri agar terhindar daripada azab Allah swt. FirmanNya: 

“Dan takutlah kamu kepada suatu hari pada waktu seseorang itu tidak dapat menggantikan seseorang lain sedikitpun dan tidak akan diterima suatu tebusan daripadanya dan tidak akan memberi manfaat sesuatu syafaat kepadanya dan tidak (pula) mereka akan ditolong.” 

Al-Baqarah 2:123 

Ketika di akhirat nanti orang-orang yang mempermain-mainkan agama ini akan diberikan minuman yang mendidih iaitu air yang sangat panas dan boleh membakar perut serta memutuskan usus-usus mereka seperti dalam firman Allah swt yang lain: 

“(Apakah) perumpamaan (penghuni) Jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring dan mereka memperoleh di dalamnya pelbagai jenis buah-buahan dan keampunan daripada Rabb mereka, sama dengan orang yang kekal dalam Jahannam dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?” 

Muhammad 47:15