Surah 6: Al-An’am (56 – 59)

Menetapkan Sesuatu Hukum adalah Hak Allah Swt

Surah 6: Al-An’am (56 – 59)


Ayat 56

قُلْ إِنِّى نُهِيتُ أَنْ أَعْبُدَ ٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ ۚ قُل لَّآ أَتَّبِعُ أَهْوَآءَكُمْ ۙ قَدْ ضَلَلْتُ إِذًا وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah”. Katakanlah lagi: “Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menyatakan kepada kaum musyrik bahawa Dia telah melarang Baginda menyembah berhala-berhala, patung-patung atau apa sahaja selain-Nya. Baginda sekali-kali tidak akan mengikuti keinginan-keinginan mereka kerana apa yang mereka lakukan itu adalah tersesat daripada jalan yang lurus dan tidak akan mendapat hidayah daripada-Nya. 

Ini kerana apa yang disembah oleh orang-orang musyrik itu adalah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat dan tidak juga dapat memberi mudarat sedikitpun, juga tidak dapat memberi pertolongan kepada orang-orang yang memohon kepadanya dan tidak pula sanggup mengelakkan suatu malapetaka pun yang menimpa penyembah-penyembahnya. Mereka melakukan semua itu adalah semata-mata mengikut hawa nafsu dan mengikut kebiasaan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka tanpa bukti-bukti dan dalil-dalil yang benar. 

Ayat 57

قُلْ إِنِّى عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّى وَكَذَّبْتُم بِهِۦ ۚ مَا عِندِى مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِۦٓ ۚ إِنِ ٱلْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۖ يَقُصُّ ٱلْحَقَّ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلْفَـٰصِلِينَ

Katakanlah: “Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Quran) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Ia menerangkan kebenaran, dan Dia-lah sebaik-baik yang memberi keputusan”.

Allah Ta’ala memerintahkan Nabi saw menyampaikan kepada orang-orang musyrik itu bahawa agama yang disampaikan oleh Baginda adalah disertai dengan dalil-dalil dan keterangan-keterangan yang kuat. Semuanya adalah berdasarkan apa yang diwahyukan-Nya yang terdapat di dalam Al-Quran sedangkan agama yang mereka anuti itu semuanya adalah dusta belaka. 

Allah Ta’ala juga memerintahkan Rasulullah saw menyatakan bahawa Baginda tidak mempunyai kemampuan untuk menurunkan seksaan yang diminta oleh orang-orang musyrik supaya disegerakan azabnya. Mereka dengan sombong meminta agar mempercepatkan turunnya azab tersebut. Firman-Nya: 

“Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata, ‘Ya Allah, jika betul (Al-Quran) ini, dialah yang benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.'” 

Al-Anfal 8:32 

Semua ketetapan dan penundaan kedatangan azab adalah bergantung kepada Allah Ta’ala. Dia menerangkan kebenaran dan Dia-lah sebaik-baik Zat yang memutuskan antara kebenaran dan kebatilan melalui keputusan dan hukum-Nya. 

Ayat 58

قُل لَّوْ أَنَّ عِندِى مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِۦ لَقُضِىَ ٱلْأَمْرُ بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Katakanlah: “Kalau ada padaku (kuasa menurunkan) azab seksa yang kamu minta disegerakan kedatangannya itu, nescaya selesailah perkara (yang sedang berbangkit) antaraku dengan kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim”.

Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw mengatakan bahawa sekiranya perkara azab itu berada dalam kekuasaannya, sudah pasti akan menimpa pada mereka azab tersebut. Baginda pasti akan menyelesaikannya dengan segera. 

Namun Allah Ta’ala lebih mengetahui keadaan orang-orang zalim yang melakukan perbuatan-perbuatan yang melampaui batas sehingga menyekutukan-Nya dengan selain-Nya. Oleh itu, menurunkan azab adalah kekuasaan-Nya dan bukan kekuasaan Rasulullah saw kerana Dia Maha Mengetahui bagaimana, bila dan bentuk apakah balasan yang sesuai bagi mereka. Firman-Nya: 

“Dan mereka meminta kepadamu agar azab itu disegerakan, padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janji-Nya. Sesungguhnya sehari di sisi Rabbmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu.” 

Al-Hajj 22:47 

Ayat 59

وَعِندَهُۥ مَفَاتِحُ ٱلْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَآ إِلَّا هُوَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ ۚ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِى ظُلُمَـٰتِ ٱلْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ مُّبِينٍ

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa hanya Dia yang mengetahui segala rahsia perkara-perkara yang ghaib. Dia-lah Pengatur kepada segala yang ghaib dan tiada seorang pun yang mengetahui selain-Nya. Antaranya adalah pengetahuan tentang waktu kedatangan hari kiamat, waktu turunnya hujan, janin dalam rahim, rezeki pada masa hadapan serta tempat kematian seseorang. Sabda Rasulullah saw: 

“Kunci-kunci alam ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah (sebagaimana firman-Nya), ‘Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi Pengetahuan-Nya.” (Surah Luqman 31: 34) 

(HR. Al-Bukhari) 

Allah Ta’ala juga mengetahui segala yang jelas mahupun yang ghaib, zahir mahupun batin, kering mahupun basah, yang tersembunyi dan tersimpan daripada segala sesuatu yang ada di alam semesta ini, bahkan mengetahuinya secara terperinci. Semuanya itu telah tertulis rapi dalam buku yang nyata, tidak ada tersembunyi sama sekali di dalamnya iaitu Lauh Mahfuzh. Firman-Nya: 

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” 

Al-Hadid 57:22