Surah 6: Al-An’am (42 – 44)

Hikmah Diberikan Ujian dalam Bentuk Kesusahan dan Kesenangan

Surah 6: Al-An’am (42 – 44)


Ayat 42

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَآ إِلَىٰٓ أُمَمٍ مِّن قَبْلِكَ فَأَخَذْنَـٰهُم بِٱلْبَأْسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ

Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).

Allah Swt menegaskan bahawa sebenarnya Dia telah mengutus rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu untuk menyeru manusia kepada agama tauhid dan semata-mata menyembah-Nya. Para rasul tersebut telah menyambut berita gembira dan peringatan-Nya itu tetapi kebanyakan orang-orang kafir mengingkari. Oleh itu, Dia menimpakan kesengsaraan, malapetaka dan permusuhan di antara mereka supaya menjadi pelajaran bagi mereka sehingga mereka bertaubat dan mengikuti seruan para rasul. 

Dalam ayat ini juga, Allah Swt menyatakan bahawa keadaan orang-orang musyrik, apabila mereka ditimpa azab, mereka akan kembali kepada fitrah iaitu mereka tidak akan meminta pertolongan dan perlindungan kepada selain-Nya. Ini menunjukkan sikap orang-orang musyrik dan juga manusia pada umumnya apabila berada dalam keadaan senang mereka tidak ingat kepada Allah Swt tetapi apabila dalam keadaan kesulitan mereka akan mengingati dan menyembahNya. Firman-Nya: 

“Dan apabila mereka dilambung ombak yang (besar) seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya, maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi ingkar.” 

Luqman 31:32 

Fitrah manusia yang sebenarnya ialah percaya kepada Allah Yang Maha Esa, Penguasa dan Pemilik semesta alam. Fitrah ini dapat berkembang dan tumbuh dengan subur dan dapat pula tertutup perkembangan dan pertumbuhannya oleh pengaruh persekitaran dan sebagainya. 

Selain pengaruh-pengaruh yang disebutkan di atas, keinginan hawa nafsu juga dapat mempengaruhi atau menutup fitrah manusia. Oleh sebab itu, manusia tidak mengingati Allah Swt ketika senang, sebaliknya akan mengingati-Nya ketika ditimpa musibah. 

Ayat 43

فَلَوْلَآ إِذْ جَآءَهُم بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا۟ وَلَـٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.

Ayat ini menyatakan bahawa ketika mereka diuji, mereka tidak memohon pertolongan kepada Allah Swt dengan tunduk merendahkan diri dan mendekatkan diri kepada-Nya. Mereka tidak berbuat demikian adalah disebabkan hati mereka telah keras kerana sentiasa membangkang. Syaitan pula menjadikan kemusyrikan, keingkaran dan perbuatan-perbuatan maksiat yang mereka lakukan itu nampak indah. 

Ayat 44

فَلَمَّا نَسُوا۟ مَا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَٰبَ كُلِّ شَىْءٍ حَتَّىٰٓ إِذَا فَرِحُوا۟ بِمَآ أُوتُوٓا۟ أَخَذْنَـٰهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).

Orang-orang yang telah dipalingkan oleh syaitan itu akan melupakan peringatan-peringatan dan ancaman-ancaman Allah Swt. Oleh itu, apabila semakin bertambah keingkaran, mereka diuji oleh Allah Swt dengan mendatangkan kebaikan kepada mereka seperti menambah rezeki, menyihatkan tubuh badan dan lain-lain sehingga mereka lupa bahawa nikmat yang mereka terima dan rasakan itu datang daripada Allah Ta’ala. Sebaliknya mereka mengatakan nikmat yang mereka terima itu adalah semata-mata daripada usaha mereka sendiri. Mereka bertambah sombong dan tidak bersyukur kepada Allah Swt, bahkan nikmat itu mereka jadikan sebagai alat untuk menambah kekuasaan dan kejahatan mereka. 

Ketika mereka bergembira dan bersenang hati dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah Swt itu dengan menganggap bahawa apa yang mereka peroleh itu benar-benar merupakan hak mereka, maka Allah Ta’ala menimpakan azab kepada mereka dengan tiba-tiba sehingga mereka berdukacita dan putus asa daripada rahmat-Nya. 

Daripada ayat ini dapatlah difahami bahawa ujian Allah Swt kepada manusia itu boleh jadi dalam bentuk kesenangan dan boleh jadi juga dalam bentuk kesusahan. 

Ayat ini juga merupakan peringatan dan pelajaran kepada orang-orang yang beriman bahawa apa sahaja yang didatangkan Allah Swt kepada mereka, baik berupa malapetaka dan penderitaan mahupun yang berupa kesenangan dan kemewahan, semua itu adalah ujian bagi mereka agar iman mereka bertambah kuat. Rasulullah saw bersabda: 

“Keadaan orang yang beriman itu benar-benar ajaib. Sesungguhnya semua keadaan yang menimpanya adalah baik baginya, tiadalah yang demikian itu terdapat pada seseorang pun kecuali bagi orang yang beriman. Jika kegembiraan menimpanya dia bersyukur, maka itu adalah baik baginya. Jika kesusahan menimpanya dia bersabar, maka yang demikian adalah baik baginya pula.” 

(HR. Muslim)