Surah 6: Al-An’am (36 – 39)

Al-Quran Merupakan Petunjuk kepada Orang Mukmin

Surah 6: Al-An’am (36 – 39)


Ayat 36

إِنَّمَا يَسْتَجِيبُ ٱلَّذِينَ يَسْمَعُونَ ۘ وَٱلْمَوْتَىٰ يَبْعَثُهُمُ ٱللَّهُ ثُمَّ إِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Bahawasanya orang-orang yang menyahut seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran); sedang orang-orang yang mati Allah bangkitkan mereka semula (pada hari kiamat kelak), kemudian mereka dikembalikan kepadaNya untuk menerima balasan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang menyambut seruan Rasulullah saw hanyalah orang-orang yang mendengar apa yang disampaikan oleh Baginda daripadaNya dengan penuh pemahaman, renungan dan kesedaran. Mereka mendengar dengan tujuan untuk mengikutinya. Ini kerana mereka memiliki hati yang hidup untuk menerima hidayah. 

Manakala orang-orang kafir yang berpaling daripada mendengar apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw sebenarnya adalah seperti orang-orang yang telah mati yang tidak mendengar, tidak memahami dan tidak merenungkan seruan serta bukti-bukti dan dalil-dalil daripadaNya. Ini kerana hati mereka telah mati dan tidak mungkin akan mendapat petunjuk. 

Pada akhir ayat, Allah Ta’ala mencela orang-orang kafir yang memiliki hati yang mati dan menyatakan bahawa Dia lah yang membangkitkan mereka dari kubur pada hari kiamat kelak dan semuanya akan kembali kepadaNya untuk diberikan balasan masing-masing. 

Ayat 37

وَقَالُوا۟ لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ ءَايَةٌ مِّن رَّبِّهِۦ ۚ قُلْ إِنَّ ٱللَّهَ قَادِرٌ عَلَىٰٓ أَن يُنَزِّلَ ءَايَةً وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Dan mereka (golongan kafir musyrik) berkata: “Alangkah eloknya kalau diturunkan kepada Muhammad satu mukjizat dari Tuhannya?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah berkuasa menurunkan mukjizat”, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (balasan yang akan menimpa mereka kalau mereka enggan beriman).

Allah Ta’ala menceritakan bentuk penentangan orang-orang kafir terhadap seruan Nabi Muhammad saw. Mereka meminta agar diturunkan kepada mereka bukti-bukti dan keterangan-keterangan tentang kebenaran kenabian Baginda sebagaimana yang pernah diturunkan kepada rasul-rasul dahulu. Mereka tidak berasa cukup dengan bukti-bukti dan keterangan-keterangan yang terdapat di dalam Al-Quran, padahal bukti dan keterangan yang terdapat di dalamnya adalah yang paling tinggi nilainya bagi orang-orang yang mahu merenung dan memikirkannya. 

Lalu Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menerangkan kepada mereka bahawa Dia berkuasa menurunkan mukjizat seperti yang mereka kehendaki itu, namun dengan kebijaksanaanNya, Dia tidak berkehendak untuk menurunkannya. Kebanyakan mereka tidak mengetahui bahawa mereka memintanya atas dasar kesombongan dan keangkuhan. Mereka tetap tidak akan beriman seperti firmanNya: 

“Dan jika mereka (orang-orang musyrikin) melihat suatu tanda (mukjizat), mereka berpaling dan berkata, ‘(Ini adalah) sihir yang terus menerus (berlaku).'” 

Al-Qamar 54:2 

Ayat 38

وَمَا مِن دَآبَّةٍ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا طَـٰٓئِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّآ أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِى ٱلْكِتَـٰبِ مِن شَىْءٍ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa semua yang hidup baik yang melata di permukaan bumi, yang terbang di udara, mahupun yang hidup di lautan semuanya adalah makhluk ciptaanNya. FirmanNya:  

“Di antara (ayat-ayat) tanda-tanda (kekuasaan)Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan makhluk-makhluk yang melata Yang Dia biakkan pada kedua-duanya. Dan Dia Maha Kuasa mengumpulkan semuanya apabila dikehendakiNya.” 

As-Syura 42: 29  

Maksud binatang melata (dabbah) dalam ayat ini ialah segala makhluk yang diciptakan oleh Allah di bumi. Dia menyebut, “binatang yang melata di bumi” sahaja adalah disebabkan binatang-binatang melata di bumi itulah yang mudah dilihat dan diperhatikan oleh manusia. 

Abdur Razzaq meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra tentang ayat, “melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).”  dia mengatakan semua makhluk akan dikumpulkan pada hari kiamat, termasuk semua binatang ternak, binatang-binatang yang lainnya, burung-burung dan segala sesuatu ciptaanNya. Lalu dengan keadilan Allah pada hari itu menaungi semuanya sehingga Dia menghukum kambing yang bertanduk untuk membalas kambing yang tidak bertanduk. Kemudian Dia berfirman, “Jadilah tanah.” Oleh itu orang kafir (pada hari itu) mengatakan, seperti firmanNya, “Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah.” (An-Naba’ 78:40). Hal ini telah diriwayatkan secara marfu’ di dalam hadis yang menceritakan As-sur (sangkakala). 

Ayat 39

وَٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا صُمٌّ وَبُكْمٌ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ ۗ مَن يَشَإِ ٱللَّهُ يُضْلِلْهُ وَمَن يَشَأْ يَجْعَلْهُ عَلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli, di dalam gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki: akan disesatkannya (menurut peraturan tetapNya), dan sesiapa yang Ia kehendaki: akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.

Orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat Allah swt yang membuktikan keesaanNya dan kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw itu diumpamakan seperti orang-orang yang pekak. Ini kerana mereka tidak mendengar seruan kebenaran dan tidak mahu menerima petunjuk-petunjuk kepada jalan yang benar. 

Mereka juga diumpamakan seperti orang-orang yang bisu kerana tidak dapat berbicara dan menyampaikan kebenaran yang telah mereka ketahui. Orang-orang seperti yang dinyatakan ini akan tetap berada dalam kegelapan iaitu kegelapan kepercayaan menyembah berhala, kegelapan bertaklid kepada nenek moyang mereka dan kegelapan kebodohan. Mana mungkin mereka ini akan mendapat petunjuk. Oleh itu, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam. FirmanNya: 

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka Jahannam banyak daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah), mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” 

Al A’raf 7:179 

Orang-orang yang dikehendaki oleh Allah swt kesesatannya, maka Allah Ta’ala  membiarkan mereka menempuh jalan yang sesat kerana mereka mendustakan ayat-ayatNya dan tidak mahu memahami petunjuk-petunjukNya. Manakala orang-orang yang dikehendaki Allah swt untuk mendapat taufik, maka Dia menjadikan mereka pengikut jalan yang lurus, jalan kebenaran kerana mereka memperhatikan dan memahami ayat-ayatNya kemudian mereka mengamalkan perkara-perkara yang benar sesuai dengan sunnatullah yang berlaku di alam ini.