Hiburan kepada Nabi Muhammad saw terhadap Pendustaan Kaumnya
Surah 6: Al-An’am (33 – 35)
Ayat 33
قَدْ نَعْلَمُ إِنَّهُۥ لَيَحْزُنُكَ ٱلَّذِى يَقُولُونَ ۖ فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ وَلَـٰكِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ يَجْحَدُونَ
Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).
Allah Ta’ala menghiburkan Rasulullah saw atas kepedihan, kekesalan dan kesedihan yang dialaminya disebabkan oleh sikap kaumnya yang mendustakan dan menentang Baginda. Dia amat mengetahui perasaan yang Baginda alami sebagaimana dalam firman-firman-Nya:
“Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Quran).”
Al-Kahfi 18:6
“Maka apakah orang yang dijadikan (syaitan) menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia meyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan)? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendakiNya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya, maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”
Fatir 35:8
Sebenarnya orang-orang kafir musyrik menuduh Rasulullah saw berdusta bukanlah kerana mereka tidak mengetahui dan tidak percaya bahawa Baginda seorang yang jujur dan dipercayai. Mereka membuat tuduhan tersebut sebenarnya kerana mereka menentang kebenaran, mengingkari ayat-ayat Allah Ta’ala dan menolaknya dengan sikap-sikap mereka yang angkuh dan sombong.
Ayat 34
وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ فَصَبَرُوا۟ عَلَىٰ مَا كُذِّبُوا۟ وَأُوذُوا۟ حَتَّىٰٓ أَتَىٰهُمْ نَصْرُنَا ۚ وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِ ٱللَّهِ ۚ وَلَقَدْ جَآءَكَ مِن نَّبَإِى۟ ٱلْمُرْسَلِينَ
Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janji-Nya); dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.
Ayat ini juga merupakan hiburan bagi Nabi Muhammad saw dan sebagai sokongan kepada Baginda dalam menghadapi orang-orang yang mendustakannya daripada kalangan kaumnya. Ayat ini juga merupakan perintah kepada Baginda agar bersabar sebagaimana sabarnya orang-orang yang berhati teguh daripada kalangan para rasul terdahulu.
Dalam ayat ini juga terdapat janji Allah Swt kepada Nabi Muhammad saw bahawa Dia akan menolongnya sebagaimana Dia telah menolong para rasul terdahulu yang beroleh kemenangan pada akhirnya sesudah mengalami pendustaan dan gangguan daripada kaum masing-masing. Setelah itu datanglah kepada mereka pertolongan dan kemenangan di dunia dan di akhirat.
Janji-janji kemenangan yang telah ditetapkan-Nya di dunia dan akhirat bagi hamba-hamba-Nya yang mukmin adalah sebagaimana yang disebutkan dalam firman-firman-Nya yang lain:
“Dan sesungguhnya telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi rasul, (iaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan. Dan sesungguhnya tentera Kami itulah yang pasti menang.”
As-Saffat 37:171-173
“Allah telah menetapkan, ‘Aku dan rasul-rasulKu pasti menang.’ Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Al-Mujadilah 58:21
Ayat 35
وَإِن كَانَ كَبُرَ عَلَيْكَ إِعْرَاضُهُمْ فَإِنِ ٱسْتَطَعْتَ أَن تَبْتَغِىَ نَفَقًا فِى ٱلْأَرْضِ أَوْ سُلَّمًا فِى ٱلسَّمَآءِ فَتَأْتِيَهُم بِـَٔايَةٍ ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَمَعَهُمْ عَلَى ٱلْهُدَىٰ ۚ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ
Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.
Allah Swt berpesan kepada Rasulullah saw agar tidak berasa sedih dan berat hati atas sikap orang-orang kafir yang berpaling daripada seruannya. Sekiranya Baginda berasa sedemikian, Baginda diminta mencuba membuat suatu mukjizat yang dapat memuaskan hati mereka. Sudah tentu Baginda tidak mampu melakukannya dan perkara itu juga tidaklah bermanfaat bagi mereka. Ini menunjukkan mereka adalah orang yang tidak diinginkan Allah Swt memperoleh hidayah dan memberi hidayah kepada orang lain bukanlah kemampuan Baginda. Oleh itu, Baginda diminta bersabar sehingga datang keputusan-Nya.
Sesungguhnya Rasulullah saw sangat menginginkan agar semua kaumnya beriman dan mengikuti petunjuk yang dibawanya. Oleh itu, Allah Swt memberitahu bahawa tidak ada seorang pun yang beriman kecuali orang yang telah ditakdirkan oleh Allah Ta’ala mendapat kebahagiaan.