Surah 6: Al-An’am (19 – 20)

Persaksian Allah terhadap Kerasulan Nabi Muhammad saw

Surah 6: Al-An’am (19 – 20)


Ayat 19

قُلْ أَىُّ شَىْءٍ أَكْبَرُ شَهَـٰدَةً ۖ قُلِ ٱللَّهُ ۖ شَهِيدٌۢ بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ ۚ وَأُوحِىَ إِلَىَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانُ لِأُنذِرَكُم بِهِۦ وَمَنۢ بَلَغَ ۚ أَئِنَّكُمْ لَتَشْهَدُونَ أَنَّ مَعَ ٱللَّهِ ءَالِهَةً أُخْرَىٰ ۚ قُل لَّآ أَشْهَدُ ۚ قُلْ إِنَّمَا هُوَ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ وَإِنَّنِى بَرِىٓءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya?” (Bagi menjawabnya) katakanlah: “Allah menjadi Saksi antaraku dengan kamu, dan diwahyukan kepadaku Al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan Al-Quran itu. Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada beberapa tuhan yang lain bersama-sama Allah?” Katakanlah: “Aku tidak mengakuinya”. Katakanlah lagi: “Hanyasanya Dia lah sahaja Tuhan Yang Maha Esa, dan sesungguhnya aku adalah berlepas diri apa yang kamu sekutukan (dengan Allah Azza Wa Jalla)”.

Allah swt memerintahkan agar Nabi Muhammad saw menjelaskan kepada orang-orang musyrik tentang saksi terhadap kenabian Baginda. Dia lah yang menjadi saksi antara Baginda dengan orang-orang musyrik tersebut. Ini bermaksud bahawa Dia Maha Mengetahui risalah yang dibawa oleh Baginda dan tuduhan-tuduhan yang mereka lemparkan kepada Baginda. 

Seterusnya Allah Ta’ala memerintahkan NabiNya menjelaskan bahawa Dia lah yang mewahyukan Al-Quran kepada Baginda bagi memperingatkan mereka dan juga umat manusia yang sampai Al-Quran kepada mereka tentang seksaan yang akan menimpa mereka. 

Selain itu, Baginda diperintahkan agar mengatakan kepada kaum musyrikin tentang sembahan-sembahan yang mereka sekutukan dengan Allah Ta’ala. Baginda tidak akan bersaksi atas apa yang mereka lakukan. Sesungguhnya Allah swt adalah Ilah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya dan Baginda berlepas diri daripada sembahan-sembahan mereka. 

Dalam ayat ini terdapat penegasan tentang hakikat tauhid, iaitu menetapkan bahawa Allah lah yang satu-satunya berhak disembah dan menidakkan sembahan selainNya. Ini merupakan kewajipan melepaskan diri daripada syirik. 

Ayat 20

ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يَعْرِفُونَهُۥ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَآءَهُمُ ۘ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan kitab kepada mereka, mereka mengenalinya (Nabi Muhammad), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.

Allah swt menambahkan keterangan tentang kebenaran kerasulan Nabi Muhammad saw iaitu ahli-ahli kitab daripada kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebenarnya telahpun mengenali Baginda daripada tanda-tanda kenabian Baginda yang sangat jelas tercatat dalam kitab-kitab mereka. 

Setelah itu, Allah swt menyatakan bahawa orang-orang yang telah merugikan diri sendiri adalah orang-orang yang tidak mempercayai kerasulan Nabi Muhammad saw. Bahkan mereka mengingkarinya dengan permusuhan. Oleh itu, mereka sebenarnya mengingkari apa yang mereka telah ketahui. Alasan-alasan oleh pendeta-pendeta Yahudi untuk mengingkari kerasulan Baginda itu sama dengan alasan orang-orang musyrikin Mekah. Pendeta-pendeta Yahudi itu tidak mahu beriman kepada Nabi Muhammad saw kerana takut kehilangan martabat dan kedudukan di tengah-tengah kaumnya, padahal dalam agama Islam tidak ada perbezaan taraf seseorang. Semua sama dari segi kedudukan, tidak berbeza antara pendeta dengan rakyat. Bila melakukan kesalahan yang sama, hukumnya akan serupa pula tak berbeza antara ulama dengan rakyat umum. 

Demikian juga pemimpin-pemimpin Quraisy, tidak mahu beriman kepada Nabi Muhammad saw kerana takut kehilangan martabat dan kedudukan. Bila mereka menganut agama Islam mereka akan duduk sejajar dengan rakyat jelata dan orang-orang miskin seperti Bilal bin Rabah seorang hamba dari Habsyah dan lain-lain. Mereka itulah yang merugikan diri sendiri. Kerugian mereka itu disebabkan lemahnya cita cita dan keimanan mereka serta kehilangan pertimbangan akal yang sihat sehingga mereka mengingkari ilmu pengetahuan yang mereka miliki.