Surah 6: Al-An’am (161 – 165)

Perintah untuk Memurnikan Ibadah hanya kepada Allah Swt

Surah 6: Al-An’am (161 – 165)


Ayat 161

قُلْ إِنَّنِى هَدَىٰنِى رَبِّىٓ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ دِينًا قِيَمًا مِّلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًا ۚ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah dia dari orang-orang musyrik”.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw agar menjelaskan nikmat yang diberikan-Nya kepadanya iaitu petunjuk kepada jalan lurus yang tidak ada kebengkokan dan penyimpangan di dalamnya. Agama yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat. Itulah agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as, khalilullah iaitu kekasih Allah Swt. Firman-Nya: 

“Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodohkan dirinya sendiri, dan sungguh Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.” 

Al-Baqarah 2:130 

Nabi Ibrahim as bukanlah termasuk orang-orang musyrik. Baginda adalah orang yang beriman kepada Allah Ta’ala, mengesakanNya dan memurnikan ibadah hanya kepada-Nya. Orang-orang yang meyakini para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah Swt, Isa Al-Masih adalah anak Allah Swt, Uzair anak Allah Swt, mereka adalah orang-orang musyrik yang jauh daripada agama yang dibawa oleh Baginda as. Firman Allah Ta’ala: 

“Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan dia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya.” 

An-Nisa’ 4:125 

Agama Islam adalah agama yang benar, agama semua para nabi yang mengajar keikhlasan beribadat hanya kepada Allah Ta’ala. Hal ini bertentangan dengan pegangan orang-orang musyrik Arab dan para pembesar Quraisy yang menganggap diri mereka adalah orang-orang yang lurus dan berpegang kepada agama Nabi Ibrahim as. Ini juga bertentangan dengan apa yang ada pada ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani yang mengatakan mereka adalah pengikut agama Nabi Ibrahim as, Musa as dan Isa as. Allah Ta’ala menyanggah mereka dalam firman-Nya: 

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberikan kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Sesiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya.” 

Ali ‘Imran 3:19 

Ayat 162

قُلْ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحْيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menyatakan kepada orang-orang musyrik yang menyembah selain-Nya dan menyembelih binatang untuk selain-Nya bahawa Baginda adalah berbeza dengan mereka dalam hal tersebut. Sesungguhnya solat Baginda adalah untuk Allah Swt dan ibadahnya hanyalah berdasarkan perintah-Nya semata iaitu tiada sekutu bagi-Nya. Firman-Nya: 

“Maka dirikanlah solat kerana Rabbmu dan berkorbanlah.” 

Al-Kauthar 108:2 

Ini adalah ayat yang mengumpulkan semua amal soleh iaitu maksud dan tujuan amal yang dilakukan oleh seorang muslim adalah kerana Allah Ta’ala semata-mata, baik ketika dia hidup mahupun amal soleh yang mengiringinya setelah kematiannya. Ini bermakna segala amal ibadatnya hanyalah untuk Allah Ta’ala, kepada-Nya, di jalan-Nya dan kerana ketaatan kepada-Nya. 

Ayat 163

لَا شَرِيكَ لَهُۥ ۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلْمُسْلِمِينَ

Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)”.

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada kaum musyrik bahawa tidak ada sesuatu pun yang bersekutu dengan-Nya sama ada untuk disembah, berkongsi hak mencipta makhluk, menetapkan qadar dan qadha’, bahkan perbuatan makhluk itu sendiri adalah di bawah kekuasaan-Nya. Demikianlah Baginda diperintahkan agar menyuruh manusia mentauhidkan-Nya dan tunduk menjalankan segala perintah-Nya. 

Seterusnya Rasulullah saw diperintahkan agar mengatakan bahawa Bagindalah orang yang mula-mula sekali berserah diri kepada Allah Swt. 

Ayat 164

قُلْ أَغَيْرَ ٱللَّهِ أَبْغِى رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَىْءٍ ۚ وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

Katakanlah: “(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepada-Nya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia-lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.

Allah Ta’ala adalah Rabb yang mencipta dan mengatur segala sesuatu dengan begitu sempurna. Dia lah yang memberi manfaat dan menolak kemudharatan. Oleh itu, setiap hamba-Nya wajib bertawakkal menyerahkan segala urusan kepada-Nya dan tidak menjadikan makhluk lain sekutu bagi-Nya. 

Dalam ayat ini juga dinyatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang, maka dialah yang akan memperoleh balasannya. Orang yang tidak melakukan dosa maka dia tidak akan menanggung dosa orang-orang lain. Semua manusia akan dibalas mengikut amalan masing-masing. Firman-Nya: 

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksaan (daripada kejahatan) yang dikerjakannya………………” 

Al-Baqarah 2:286 

Ayat 165

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَكُمْ خَلَـٰٓئِفَ ٱلْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَـٰتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِى مَآ ءَاتَىٰكُمْ ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ ٱلْعِقَابِ وَإِنَّهُۥ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menjadikan para khalifah di bumi, sebahagian daripada mereka menggantikan sebahagian yang lain. Dia membinasakan orang-orang sebelum mereka dari abad-abad yang lalu, kemudian memberikan kekuasaan kepada orang-orang setelah mereka untuk memakmurkan bumi-Nya. Firman-Nya: 

“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebahagian) daripada hartanya memperoleh pahala yang besar.” 

Al-Hadid 57:7 

Allah Ta’ala meninggikan sebahagian hamba-hamba-Nya atas sebahagian yang lain beberapa darjat dalam kekayaan dan kefakiran, kemuliaan dan kedudukan, ilmu dan kebodohan, penciptaan dan bentuk, akal dan rezeki. Semua ini adalah sebagai ujian atas apa yang diberikan kepada mereka. 

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.” 

Muhammad 47:31 

Daripada Sa’id Al-Khudri, dia berkata, Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya kehidupan dunia adalah kesenangan yang sementara dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu sebagai pengganti bagi generasi sebelumnya untuk melihat apa yang kamu kerjakan. Oleh itu hati-hatilah terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita.  Sesungguhnya fitnah pertama menimpa Bani Israil adalah disebabkan oleh wanita.” 

(HR. Muslim) 

Ayat ini juga merupakan ancaman (tarhib) dan dorongan (targhib) kepada manusia dan Allah Ta’ala sering menggandingkan kedua-dua sifat-Nya ini dalam Al-Quran iaitu sesungguhnya Dia amat cepat seksaan-Nya terhadap orang-orang yang kafir dan bermaksiat kepada-Nya. Namun Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada orang-orang yang mahu beriman kepada-Nya dan beramal soleh serta bertaubat daripada dosa-dosa besar sebagaimana firman-Nya: 

“Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku, bahawa sesungguhnya Aku-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, dan bahawa sesungguhnya azab-Ku adalah azab yang sangat pedih.” 

Al-Hijr 15:49-50