Binatang dan Benda yang Haram Dimakan oleh Orang Mukmin dan Orang Yahudi
Surah 6: Al-An’am (145 – 146)
Ayat 145
قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُۥٓ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُۥ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ ۚ فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya dia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menjelaskan kepada orang-orang yang mengharamkan apa yang telah diberikan Allah Ta’ala kepada mereka, dengan membuat kedustaan terhadap-Nya. Baginda diperintahkan mengatakan bahawa Baginda tidak mendapat wahyu tentang sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya. Ada pendapat yang mengatakan, maksudnya ialah Baginda tidak menemukan sesuatu pun daripada apa yang mereka haramkan kecuali bangkai, darah yang mengalir dan daging babi.
Ada juga yang mengatakan, maksud ayat ini ialah Rasulullah saw tidak mendapat wahyu tentang sesuatu pun daripada pelbagai jenis binatang yang haram dimakan kecuali bangkai, darah yang mengalir, dan daging babi. Berdasarkan hal tersebut, segala sesuatu yang haram yang disebutkan dalam surah Al-Ma’idah ayat 3 dan dalam beberapa hadis yang menjelaskan bahawa apa yang diharamkan bukanlah terbatas kepada beberapa perkara yang disebutkan dalam ayat ini.
Berkaitan dengan ayat, “atau darah yang mengalir,” Qatadah mengatakan, “Darah yang mengalir adalah diharamkan, sedangkan daging yang bercampur dengan sedikit darah tidaklah haram.”
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata: “Seekor kambing milik Saudah binti Zam’ah mati, lalu Saudah berkata: ‘Wahai Rasulullah, telah mati seekor kambing.’ Maka Rasulullah saw pun bertanya, ‘Mengapa engkau tidak mengambil kulitnya?’ Saudah bertanya, ‘Apakah kami boleh mengambil kulit kambing yang telah mati?’ Lalu Baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya Allah hanya berfirman, “Katakanlah, ‘Tidaklah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali makanan itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi.” Kamu tidaklah memakannya, kamu menyamak kulitnya bererti kamu memanfaatkannya.’ Setelah itu dia (Saudah) mengutus utusan untuk mengambilnya, kemudian dia menyamaknya dan daripadanya dibuat qirbah (bekas air/susu daripada kulit) dan dimanfaatkannya sampai rosak.”
(HR. Al-Bukhari dan An-Nasa’i)
Allah Ta’ala menyatakan sekiranya berada dalam keadaan darurat, mereka dibolehkan memakan binatang yang diharamkan. Namun bukanlah untuk menikmatinya sebaliknya dimakan untuk menyelamatkan diri daripada kematian. Allah Swt memberikan keampunan dan mengizinkan bagi orang-orang yang terpaksa memakannya.
Ayat 146
وَعَلَى ٱلَّذِينَ هَادُوا۟ حَرَّمْنَا كُلَّ ذِى ظُفُرٍ ۖ وَمِنَ ٱلْبَقَرِ وَٱلْغَنَمِ حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَآ إِلَّا مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَآ أَوِ ٱلْحَوَايَآ أَوْ مَا ٱخْتَلَطَ بِعَظْمٍ ۚ ذَٰلِكَ جَزَيْنَـٰهُم بِبَغْيِهِمْ ۖ وَإِنَّا لَصَـٰدِقُونَ
Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kamilah yang benar.
Setelah Allah Ta’ala menerangkan bahawa Dia tidak mengharamkan kepada orang mukmin selain bangkai dan apa yang disebutkan setelahnya, maka dalam ayat ini pula, Dia menyebutkan tentang pengharaman memakan binatang-binatang yang halal ke atas kaum Yahudi.
Allah Ta’ala mengharamkan ke atas Yahudi binatang yang berkuku iaitu binatang yang jarinya tunggal (tidak terbelah). Ibnu Kathir mentafsirkan binatang dan burung berkuku adalah seperti unta, burung unta, angsa dan itik.
Allah Swt juga mengharamkan kepada mereka lemak lembu dan biri-biri iaitu lemak di sekeliling perut kecil dan di pinggang tetapi Allah Swt halalkan bagi mereka lemak yang terdapat pada punggung dan yang melekat pada saluran usus perut yang keluarnya kotoran.
Kesukaran dan pengharaman ini ditimpakan kepada mereka adalah sebagai balasan atas kezaliman dan pembangkangan mereka terhadap perintah-perintah Allah Swt. Firman-Nya:
“Maka disebabkan kezaliman orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka (memakan makanan) yang baik-baik (yang dahulunya) dihalalkan bagi mereka, dan kerana mereka banyak menghalangi (manusia) dari jalan Allah.”
An-Nisa’ 4:160