Perbuatan Mengharamkan Memakan Binatang Ternakan oleh Orang Musyrikin
Surah 6: Al-An’am (142 – 144)
Ayat 142
وَمِنَ ٱلْأَنْعَـٰمِ حَمُولَةً وَفَرْشًا ۚ كُلُوا۟ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Dan di antara binatang-binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih. Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Allah Swt menjelaskan bahawa Dia menciptakan binatang ternak itu mempunyai pelbagai manfaat, ada yang berfungsi sebagai alat pengangkutan dan ada pula untuk dimakan.
Dalam ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan manusia agar tidak mengharamkan apa yang telah Dia halalkan dengan mengikut bisikan syaitan, sebagaimana yang telah dilakukan oleh kaum musyrikin. Sesungguhhya syaitan itu adalah musuh manusia dan segala suruhannya mengajak manusia melakukan hal-hal yang merugikan dan mencelakakan mereka. Firman-firman-Nya:
“Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.”
Al-Baqarah 2:168-169
“Wahai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.”
Fatir 35:5
Ayat 143
ثَمَـٰنِيَةَ أَزْوَٰجٍ ۖ مِّنَ ٱلضَّأْنِ ٱثْنَيْنِ وَمِنَ ٱلْمَعْزِ ٱثْنَيْنِ ۗ قُلْ ءَآلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ ٱلْأُنثَيَيْنِ أَمَّا ٱشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ ٱلْأُنثَيَيْنِ ۖ نَبِّـُٔونِى بِعِلْمٍ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
(Binatang ternak itu) lapan ekor – (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar”.
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia menciptakan pelbagai jenis binatang ternak mulai daripada kambing biri-biri, kambing, ada yang betina dan ada yang jantan serta ada yang berbulu putih dan juga hitam. Demikian pula lembu dan unta pada ayat seterusnya.
Allah Ta’ala juga menjelaskan bahawa Dia tidak mengharamkan sedikitpun daripada binatang-binatang itu dan tidak juga mengharamkan daripada anak-anak yang dilahirkan. Dia hanya mengharamkan bangkai binatang dan yang disembelih tanpa menyebut namaNya. Bahkan semua binatang tersebut dicipta untuk manusia, baik untuk dimakan, ditunggangi, diperah susunya dan untuk manfaat yang lain-lain.
Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw mempersoalkan kaum musyirikin, sebagai celaan dan pengingkaran terhadap mereka iaitu bagaimana mereka boleh meyakini bahawa Dia telah mengharamkan ke atas mereka apa yang mereka anggap haram seperti membahagikan binatang tersebut menjadi Bahirah, Wasilah, Saibah dan Ham tetapi menghalalkan sebahagian yang lain. Mereka juga mengharamkan salah satunya apa yang dikandung dalam rahim dan menghalalkan yang lainnya. Firman-Nya:
“Allah sekali-kali tidak pernah mensyariatkan adanya Bahirah, Saibah, Wasilah dan Ham. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti. Apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul.” Mereka menjawab, “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya.” Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?”
Al-Ma’idah 5:103-104
Ayat 144
وَمِنَ ٱلْإِبِلِ ٱثْنَيْنِ وَمِنَ ٱلْبَقَرِ ٱثْنَيْنِ ۗ قُلْ ءَآلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ ٱلْأُنثَيَيْنِ أَمَّا ٱشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ ٱلْأُنثَيَيْنِ ۖ أَمْ كُنتُمْ شُهَدَآءَ إِذْ وَصَّىٰكُمُ ٱللَّهُ بِهَـٰذَا ۚ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا لِّيُضِلَّ ٱلنَّاسَ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan dari unta dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari lembu dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad): “Adakah yang diharamkan Allah itu dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Ataupun kamu ada menyaksikan ketika Allah menyuruh serta menentukan kepada kamu (atau kepada datuk nenek kamu) dengan yang demikian ini?” Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
Allah Ta’ala menegaskan lagi celaan dan pengingkaran-Nya kepada orang-orang musyrikin berkaitan dengan kedustaan yang mereka ada-adakan terhadap-Nya. Dia mempersoalkan adakah mereka hadir dan menjadi saksi di hadapan-Nya ketika Dia menetapkan pengharaman beberapa jenis binatang ternak tersebut. Lalu bagaimana mereka boleh memerintahkan orang lain membuat perkara-perkara yang sebenarnya tidak diharamkan-Nya.
Sesungguhnya tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan kedustaan atas nama Allah Ta’ala dengan maksud menyesatkan orang lain yang disebabkan oleh kebodohan mereka. Oleh itu, Dia tidak akan memberi petunjuk dan taufik kepada mereka atas sikap mereka yang zalim ini.